Panji putih dengan lambang berupa sejalur petir yang membelah satu bulatan berwarna merah itu berkibar megah pada puncak pos kawalan paling tinggi di atas banteng istana kota ! Satu perkhabaran yang disambut dengan sorak-sorai para tentera yang sedang menunggu arahan seterusnya untuk memasuki Istana Marduk.
" Tuan.."
Salah seorang daripada pemuda yang melihat kibaran panji tersebut berlari pontang-panting menuju ke sebuah tenda kecil yang dipasang berdekatan pohon besar dan dua orang pengawal bertubuh tegap tinggi berdiri tegak seperti gerbang mengawal susuk tubuh yang dipanggil Tuan itu sedang duduk bersila.Khabar tersebut perlu disampaikan kepada sang ketua dengan segera.
Susuk tubuh yang lengkap berbaju perang itu meletakkan kendi berisi air ke atas tanah.
" Apa benar? " Soalnya dengan pandangan mata yang mencerun.
" Tuan boleh lihat sendiri. "
Lelaki dipanggil Tuan itu segera berdiri dan melangkah keluar daripada tenda yang menaunginya daripada cahaya panas. Tenda sementara yang dipasak jauh daripada sempadan kawasan permukiman dan terlindung daripada jangkauan rondaan tentera sempadan Istana Marduk yang melakukan rondaan berkala di sekitar kawasan tersebut.
Melihat panji tersebut berkibar megah,sekelibat senyuman tersungging dari ulas bibirnya.
" Kita bertolak sekarang sebelum Istana Marduk menghantar utusan ke kawasan sempadan utara. Kepulangan Panglima Kefeus akan membuatkan keadaan tidak akan memihak kepada kita !"
Perintah daripada sang ketua tidak di sahut tetapi tidak bermakna mereka tidak mematuhinya.Dengan pantas tenda tersebut dibuka dan dikemaskan.Diketuai lelaki tersebut, mereka memacu kuda tunggangan dengan pantas dan bersemangat. Euforia kemenangan serta janji kemewahan yang bakal ditunaikan sebaik sahaja mereka berjaya menguasai Istana Marduk semakin membuatkan mereka tidak sabar-sabar untuk memasuki istana kota tersebut.
Gemertak ladam kuda yang menghentam jalan bertanah merah yang membelah Pekan Oords pagi tersebut menghantar rasa riang kepada beberapa orang penduduk yang lalu lalang di kawasan tersebut.Ratusan lelaki berpakaian hitam lengkap dengan baju perang tetapi hanya memperlihatkan mata sahaja mengenderai kuda tunggangan masing-masing dengan lagak gagah dan penuh siap siaga.
Begitu juga dengan para tentera berpangkat lebih rendah yang berarak di belakang rombongan berkuda tersebut. Pucuk tombak dan kilau perisai yang dibawa mereka menimbulkan rasa hormat dan gerun apatah lagi apabila bunyi tapak kaki mereka kedengaran sedarun sahaja diorak silih berganti antara kanan dan kiri.
Ringkik kuda yang dipacu perlahan,denting hulu pedang yang berlaga serta kilauan baju perang yang menyarung tubuh lelaki-lelaki tersebut membuatkan sesiapa sahaja yang melihat mereka segera menepi dan dan bagi yang tidak sempat menepi akan melambai-lambaikan tangan bagaikan menyambut kepulangan panglima perang Istana Marduk dan pasukan tentera yang memenangi peperangan di sempadan.
Kerana sebelum ini bagi penduduk permukiman tersebut ,kemuncak Upacara Simiera dianggap sebagai pesta paling meriah bagi seluruh Bangsa Apollyon-maka kedatangan pasukan lelaki berpakaian perang lengkap dengan pedang,panah dan kuda tungganggan masing-masing bukan sesuatu yang aneh.
Seperti tahun-tahun yang sudah,walaupun putera mahkota tidak menemui seorang pun calon yang dianggapnya berkelayakan menjadi puteri mahkota dan bakal permaisuri Istana Marduk tetapi kemuncak upacara tersebut tetap sahaja menjadi keraian yang disambut meriah di ibu kota dan menjadi masa untuk para penduduk yang datang dari segenap pelusuk Lembah Zardus saling mengenali di antara satu sama lain
Menjelang upacara kemuncak malam nanti,Pekan Oords mendadak bertukar menjadi sebuah pekan mati.Terlalu sedikit kedai yang berniaga seperti hari kebiasaannya.Hampir keseluruhan daripada rumah-rumah kedai tersebut ditutup rapat kerana para peniaga dan hampir seluruh penduduk permukiman Bangsa Apollyon berbondong-bondong ke istana kota untuk menyaksikan pemasyuran puteri mahkota yang bakal menjadi permaisuri kerajaan dan melahirkan pewaris tahta yang meneruskan kegemilangan Istana Marduk.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...