Berbanding si No. 7, No. 4 sedikit lebih mampu mengawal kemarahannya walaupun ada rasa jengkel yang bukan kepalang menohok ulu hatinya tatkala menatap lengan Iria yang berbalut dan satu tompokan darah kelihatan membulat pada balutan tersebut.
Iria, adik bongsu kepada Kembar Olga-antara Shiya terbaik Empayar itu tidak bereaksi apa-apa walaupun sebenarnya dia sedikit terperanjat ketika No. 7 menghentam buku limanya ke permukaan meja dengan otot pipi yang mengeras.
No. 7 bukan menghentam penumbuknya tanpa alasan yang jelas tetapi ia adalah representasi rasa marahnya apabila mereka gagal lagi menyelesaikan misi untuk ke sekian kalinya.
Hendak disorok ke mana air mukanya di hadapan Tuan Erion kelak? Selama ini, semua misi yang diberikan kepada mereka berjaya diselesaikan tanpa sebarang masalah. Namun lihatlah kini.
Bukan sekadar sekali tetapi telah dua kali berturut-turut!
Kegagalan bagi para Shiya seperti mereka adalah merupakan antara perkara yang tidak boleh dikompromikan sama sekali. Mereka-terutamanya dia-ada reputasi yang perlu dijaga.
Gagal menyempurnakan misi akan membuatkan Shiya lain memandang rendah kepadanya dan dia akan melakukan apa sahaja bagi memastikan hal tersebut tidak berlaku kepadanya.
Lebih daripada itu, dia tidak tahu bagaimana rancangan rapi yang telah diatur berminggu-minggu itu terdedah begitu sahaja sedangkan hal tersebut hanya diketahui oleh mereka berempat.Menetapkan sasaran. Menyusup masuk. Menetapkan situasi dan akhir sekali melaksanakannya. Itu adalah rutin biasa bagi mereka jika diberikan arahan untuk membunuh seseorang dan setakat ini rancangan begitu tidak pernah tersasar.
Menetapkan sasaran sudah. Seperti yang diarahkan kepada mereka. Sasaran mereka kali ini adalah seorang gadis yang bernama Luna Arabella.Salah seorang daripada tiga pewaris kepada kekayaan Keluarga Lycan.
Sementara menyusup masuk bukan juga satu hal yang sukar bagi mereka kerana menyusup masuk melalui cara penyamaran adalah antara hal penting yang perlu dikuasai sebelum berjaya mendapatkan gelaran Shiya Empayar.
Dan rasanya, penyamaran No. 7 sebagai seorang daripada pemilik butik terkenal di Metro Sentral yang sudah pasti dikuatkan dengan pemalsuan identiti itu berjaya mengelabui semua orang termasuklah adik beradik kembar pemilik Kumpulan Lycan yakni Eiiden dan Aiiden.
Majlis pelancaran koleksi pakaian sepanjang tahun itu adalah situasi yang telah ditetapkan sebagai hari dimana mereka melunaskan arahan yang telah diberikan. Dia menyusup masuk di antara para tetamu yang hadir, Iria dengan kepakarannya sebagai penembak tepat , No. 4 yang dikenali kerana kebolehannya sebagai pemandu terbaik yang bersedia
di luar Kompleks Keluarga Lycan dan juga Irisa-penggodam handalan mereka yang bertindak menggodam sistem kawalan lalulintas sebagai cara untuk melepaskan diri sekiranya rancangan mereka terdedah.Segala-galanya sudah sempurna namun rancangan rapi mereka itu berkecai begitu sahaja disebabkan kehadiran seorang penembak tepat yang berjaya mencederakan Iria! Dan bukankah ia membawa makna bahawa ada seseorang yang mengetahui rancangan mereka untuk membunuh Ara?
Jika tidak, mana mungkin lokasi Iria menetapkan sasaran dari atas bumbung bangunan berhadapan dengan Kompleks Keluarga Lycan itu diketahui dan dia digagalkan malah mendapat habuan berupa sebutir peluru terbenam ke dalam daging lengannya.
Jika difikirkan dengan cermat, tembakan pada lengan Iria bukan kerana tembakan tersebut tersasar ataupun nasib baik sedang menyebelahinya melainkan ia adalah satu bentuk amaran yang amat memalukan. Seorang penembak tepat dicederakan oleh penembak tepat yang lain adalah hal yang mencalarkan maruah sesiapa sahaja lebih-lebih lagi kepada Iria sendiri.
" Keadaan terlalu gelap masa itu. "
Iria -walaupun sakit hati dengan kegagalan yang menimpanya ketika itu namun meredakan kemarahan No. 7 adalah satu hal yang lebih penting.Jika No. 7 merasakan darahnya sudah meruap sehingga ke ubun-ubun difahami Iria sebagai respon biasa akibat beban yang ditanggungnya sebagai ketua mereka didalam misi tersebut,ia masih tidak seberapa berbanding maruah Iria sebagai penembak terbaik Shiya yang sudah tercalar.
" Apakah dia adalah orang yang
sama ?"Irisa mencelah dan menatap wajah No. 4 sekilas sedangkan pemuda itu sepertinya sedang tidak berada di dalam bilik tersebut.Wajahnya datar sahaja walaupun ketika No. 7 sudah mundar-mandir tidak keruan dan menggumamkan kata makian yang keras.
" Bagaimana dia boleh berada di sini dan apa tujuannya melindungi Ara. Itu yang perlu kita ketahui sekarang. "
No. 7 menatap nyalang ke arah Iria di sudut kiri ruangan tersebut kerana menyedari itu adalah isu sebenar yang harus mereka selesaikan dalam keadaan mereka tidak boleh menghubungi Empayar sama sekali ketika itu. Mahu tidak mahu segala keputusan dan tindakan mereka diletakkan ke bahunya sebagai ketua kepada misi kali itu.
Andra!
Getus No. 4 seraya menyedut rokok yang tersepit pada celah ulas bibirnya dalam-dalam dengan sepasang mata yang mengernyit nanar. Sama ada kepada para Petinggi ataupun kepada Empayar secara keseluruhannya dan kini kepada mereka berempat -tetap sahaja dia muncul seperti tikus yang sangat menyakitkan hati. Bagaikan selumbar yang kecil.Sukar dihilangkan tetapi membuatkan mereka tidak senang duduk.
" Aku rasa kalian patut lihat ini. "
Irisa memusingkan skrin komputer riba di hadapannya dan setiap pasang mata yang berada di situ tertumpu kepada skrin sederhana besar itu. Sederet aksara pada sebuah muka hadapan portal berita atas talian dengan satu lambang besar pada sudut kanan serta graf kecil di bawah gambar tersebut.
KEGAGALAN PELANCARAN PROJEK M. 2.0- SAHAM KUMPULAN LYCAN MENJUNAM TERUK.
Tidak perlu mereka membaca keseluruhan laporan itu bagi mengetahui intipati berita yang dibawa oleh portal atas talian tersebut tetapi ia difahami sebagai satu petunjuk bahawa musuh mereka sedang berada dalam satu fasa yang tidak menyenangkan dan keadaan tersebut boleh sahaja ditukarkan menjadi peluang mereka hanya dengan sedikit kerja keras serta kebijaksanaan.
Kata-kata dari No. 7 tentang isi berita atas talian itu tidak singgah ke pendengaran No. 4 ketika itu. Menjejalkan puntung rokok yang sebenarnya masih panjang ke dalam tin minuman berkarbonat di atas meja, sepasang matanya merayapi panorama lewat petang yang tersaji di sebalik kaca tingkap bilik tersebut sambil fikirannya seakan-akan tersangkut pada sesuatu entah apa.
Antara Ara-Andra dan Keluarga Lycan pasti ada sesuatu tetapi No. 4 tidak dapat memikirkannya pada ketika itu. Jika benar penembak tepat yang berjaya mencederakan Iria itu adalah pemuda sama yang menggagalkan percubaan mereka untuk membunuh Ara di gudang tempoh hari, pasti kedatangannya ke situ bukan sesuatu yang tidak dirancang.
Mengimbas kembali bagaimana Andra membentengi gadis tersebut daripada tembakannya tempoh hari membuatkan dia semakin yakin bahawa rentetan kejadian tersebut bukan berlaku secara rawak dan yang pasti Andra sebenarnya mengekori mereka dan cuba untuk menggagalkan misi mereka membunuh Ara!
Ara.
Andra.
Ara.
Andra.
Andra.
Ara.Tiba-tiba sahaja pintasan aneh menyambar benak No 4 membuatkan matanya terbuntang luas.
" Irisa.. " Ujarnya pantas menyambar kot denim kelabu kusam yang tergeletak di atas meja. " Cari tahu tentang Projek M. 2.0 Kumpulan Lycan. "
Irisa tidak sempat mengiyakan,batang tubuh pemuda itu sudah hilang di sebalik tautan daun pintu menyisakan No 7 yang mengetap gigi geram serta Iria yang terkebil-kebil tidak faham.
Senyuman aneh terukir pada ulas bibir No 4 sebelum penutup muka topi keledar penuh hitam yang disarungkan ke kepalanya itu diturunkan.
Andra. Ara. Dua nama yang membuahkan senyum sinis pada pemuda itu. Bagus! Kalau telahan aku benar, aku akan membunuh mereka sekaligus tanpa perlu bersusah payah! Bisik No 4 dengan nada yang dipenuhi kesumat dan dendam.
+ + +
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...