Suasana meriah yang menyelubungi seluruh Istana Marduk sedikit pun tidak menghilangkan suasana jengkel hati sang putera.Bumbung-bumbung tinggi yang memayungi balairong istana dengan lantai daripada jubin berwarna ungu kemerahan itu terasa menyakitkan hati jika dipandangnya lama-lama.
Walhal daripada bumbung berkubah yang melengkung indah sehinggalah kepada lampu hiasan dalam bentuk tembikar berukir tebuk dengan motif bunga-bungaan yang direka khusus bersusun pada tiang-tiang besar yang menyanggahi binaan balairong itu seperti kuntum mekar bunga yang memenuhi dahan pada musim bunga itu sudah ditata rapi menerangi ruangan tersebut pada malam hari dan jumlahnya semakin bertambah mendadak hanya dalam tempoh masa sehari sahaja sementara lantai marmar itu seperti bertambah sahaja kilauannya akibat digilap setiap pagi dan petang pasti mengundang kagum kepada sesiapa sahaja yang memandangnya.
Pada waktu masih siang begitu,sinar matahari menerobos masuk ke dalam ruangan tersebut melalui tingkap tinggi hampir mencecah siling dengan langsir daripada baldu berwarna merah yang bersulam benang keemasan yang diikat kejap ke bingkai kiri dan kanan.
Sementara singgahsana yang menjadi lambang kedaulatan Kerajaan Apollyon itu tampak gagah dengan ukiran halus serta berwarna keemasan.Pada bahagian belakang singgahsana tersebut, sehelai sutera tebal yang direntang tegang memperlihatkan jata negara berupa seekor naga yang merentangkan sayapnya serta menyemburkan api dari celah rahang.
Waktu begitu balairong memang senyap sunyi kerana para petinggi negara hanya menghadap baginda pada waktu pagi bagi mempersembahkan permasalahan daripada bahagian masing-masing dan juga berita yang dibawa oleh para utusan dari setiap daerah yang menjadi jajahan Kerajaan Apollyon.
Sementara balairong senyap-sunyi,Putera Reiid yang berjalan di antara dua pengawal peribadinya itu tidak menyahut walaupun disapa hormat oleh para dayang istana yang sibuk ke hulu ke hilir mengerjakan sesuatu sesuai seperti lagak semut kebanjiran sesuai dengan arahan ketua istiadat dan majlis rasmi Istana Marduk yang pasti mahukan setiap ceruk istana kelihatan bersih dan kemas menjelang upacara tersebut.
Ada pula para pengawal berpakaian khas berupa pakaian tentera yang lengkap dengan baju besi lalu-lalang memenuhi tugas rondaan masing-masing dan siap siaga memegang tombak.Lalu kelibat para petinggi negara berjalan dalam kumpulan-kumpulan kecil dan berbincang sesuatu sambil bergerak sedikit tergesa-gesa.
Begitu juga dengan para pembantu lelaki istana yang sibuk merapikan taman hadapan dan tanaman hiasan sama ada yang ditanam di dalam pasu ataupun yang ditanam di dalam pasu gantung besar yang digantung pada cucur atap beranda istana.Tanaman berdaun hijau yang berkilat yang ditanam rapat ke tembok batu itu kelihatan sudah dipangkas rapi hanya kira-kira setinggi dada.
Sementara sebuah arca batu berbentuk naga yang menjadi jata rasmi kerajaan Apollyon yang tersergam megah di hadapan istana tepat di hadapan pintu masuk ke balairong itu sedang digilap dengan hati-hati oleh beberapa orang pembantu istana bagi membersihkannya.
Sebenarnya walaupun Putera Reiid tidak menyukai suasana begitu,dia tidak mempunyai pilihan lain dan tidak betah pula dia memerap di dalam bilik menghadap tingkap tinggi serta katil bertiang empat dengan kelambu sutera itu.
Baginya sendiri,dia tidak pernah mahu mengambil tahu hal-hal persiapan majlis Simiera tersebut kerana walau apa sahaja persiapan yang dilakukan seluruh istana,jawapannya sudah lama dihafal oleh pemuda itu.Jawapan sama yang tidak pernah berubah sejak kali pertama upacara itu dilangsungkan ketika usianya mencecah 21 tahun.
Dari kejauhan,matanya sempat menangkap imej beberapa buah pedati yang sedang menjalani pemeriksaan ketat oleh ketua garrison Istana Marduk sendiri kerana hal-hal keselamatan adalah tanggungjawab langsung yang terpikul di bahunya.Dia perlu memastikan bahawa tidak ada musuh yang mengambil kesempatan untuk menyelinap masuk ke dalam istana di tengah kesibukan Istana Marduk untuk menyambut kedatangan tetamu kehormat dari setiap daerah begitu.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...