-38-

255 31 18
                                    

Serangan dari tiga orang pemuda berpakaian hitam itu berjaya membuatkan Ara berundur ke belakang. Walaupun dua lagi susuk tubuh ' Ara' di dalam sana sudah mengepal penumbuk dengan rahang kaku manakala wolf Ara yang berwarna putih itu menggeram dan mengertakkan gigi, Ara masih sahaja tidak mahu mereka bertindak kerana baginya membiarkan salah seorang daripada 'Ara' itu menggunakan sihir adalah pilihan terakhir baginya.

Dia tidak mahu menimbulkan keributan tengah-tengah malam begitu lebih lagi dalam keadaan dia tidak mengetahui satu apa pun mengenai Bangsa Apollyon. Sebagai pendatang baru yang memasuki permukiman bangsa itu, sekurang-kurangnya menimbulkan masalah adalah hal terakhir yang patut dilakukannya kerana sedikit sebanyak pasti Putera Reiid, Panglima Cassius dan Panglima Zethus juga pasti akan terkena getahnya kelak. Maka,selagi dia mampu menahan ataupun sekurang-kurangnya tidak menyebabkan dia terkorban ataupun cedera parah, menggunakan sihir adalah pilihan yang tidak akan diambilnya ketika itu.

" Hiyyarghhhh!! "

Salah seorang daripada lapan penyerang yang tersisa melibas sekuat tenaga pedang yang tergenggam pada tangannya ke arah kaki Ara yang memang sudah bermandi darah akibat darah yang menitis dari hujung jarinya dan memaksa Ara melompat lalu menghumbankan bahu kirinya ke tanah lantas berguling menjauhi penyerang itu.Dengan mengetap gigi, Ara bangkit lagi bertunjangkan Pedang Armos di tangannya.

Melihat keadaan Ara yang mulai tercungap-cungap, salah seorang daripada penyerang itu tiba-tiba sahaja bersiul nyaring bagaikan memanggil sesuatu dan melalui sudut mata Ara dari atas atap genting rumah tumpangan itu muncul belasan lagi kepala berbalut kain hitam.

Dari bunyi berdesing yang tajam menyambar cuping telinga Ara, dia tahu ada sekurang-kurangnya lima batang anak panah yang dilepaskan kepadanya secara serentak dan ketika itu juga Ara memejamkan kelopak matanya kejap.

Barangkali hanya dua atau tiga detik tepat ketika anak-anak panah yang dilepaskan itu mencecah tubuh Ara, lima orang pemanah di atas atap merasakan ada sambaran hawa dingin pada wajah mereka dan serentak mata mereka membulat.

Susuk tubuh yang sebentar tadi dilihat mereka berdiri tempang dengan tangan berlumuran darah sudah berada di hadapan mereka .Berdiri tegak sambil melontarkan senyuman sinis pada bibirnya!

Sedang para pemanah di atas bumbung terpegun kaku, susuk tubuh lain yang berlompatan turun siap menghunus pedang itu saling berpandangan sesama sendiri ketika melihat ruang halaman rumah tumpangan itu berantakan sekali dengan pasu-pasu bunga yang pecah dan beberapa batang tubuh berpakaian hitam itu bergelimpangan tidak sedarkan diri.

Belum sempat mereka melakukan apa-apa, lima susuk tubuh yang dikenali sebagai pemanah yang digalaskan dengan tanggungjawab untuk melepaskan panahan bagi melemahkan sasaran itu sudah berdebuk jatuh menggelongsor melalui cucur atap lalu tersembam seperti guni gandum yang terjatuh daripada pedati.

Dan tidak lagi kelihatan susuk tubuh gadis tersebut di mana-mana.

Kembali mendaratkan kakinya yang tidak beralas ke atas permukaan tanah, Ara menyarung semula Pedang Armos ke belakang dan berlari dalam kegelapan sambil cuba mengagak ke arah mana bakal ditujuinya. Dalam keadaan yang boleh dikatakan gelap dengan hanya terlalu sedikit cahaya daripada celah pintu rumah-rumah penduduk di situ, dia berlari tersusup-sasap dan berusaha untuk tidak terlanggar tiang-tiang penyangga serambi rumah di lorong tersebut ataupun pohon yang tumbuh halaman.

Suara riuh-rendah yang diselang-seli dengan bunyi ladam serta ringkikan kuda membuatkan Ara menyedari dia menjadi sasaran utama dan serangan itu bukan serangan rawak. Dia memang disasarkan sejak dari mula lagi. Dan bagi Ara mengelakkan diri daripada penyerang misteri itu bukan suatu hal yang sukar jika dia mengetahui selok-belok di pekan tersebut .

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now