-61-

318 31 7
                                    

Gumpalan-gumpalan awan hitam yang berarak memayungi langit di perkarangan hadapan balairong seri Istana Marduk itu semakin lama semakin tebal. Semakin sarat seperti akan jatuh menimpa kepala pada bila-bila masa sahaja.Dan dalam masa yang sama pula,angin yang tadinya berhembus sekejap perlahan sekejap kencang itu mulai bertukar menjadi ribut kecil yang membadai kawasan sekitar.

Debu-debu halus berterbangan,berpusar-pusar digulung angin memaksa mereka menyepetkan mata ataupun menghadang penglihatan dengan tangan masing-masing.Sementara rumput yang tumbuh melata meliang-liuk tidak tentu arah,daun-daun kering juga berterbangan di udara dan turut sama melayang dalam pusaran angin.

Eiiden dan yang lain-lain tetap sahaja mencuba untuk menghampiri Ara yang seperti sedang ditunjang oleh tangan ghaib tidak kelihatan dan hanya mampu terkulai lemah mengikuti ke mana sahaja langkah Tetua Myn di dalam tubuh tentera pemberontak itu.

Air mata Eiiden sudah mengalir tanpa disedari dengan urat-urat hijau bertimbulan pada dahi dan lehernya,merah padam menahan amukan rasa yang menggila melihat keadaan Ara begitu.Ara yang berlumuran darah dengan anak panah masih tertancap pada dada kirinya sedang diperlakukan sewenang-wenangnya oleh lelaki keparat tersebut.

Setiap kali Eiiden hendak bangun,ada kesakitan yang terasa mencengkam jantungnya memaksa dia terduduk melutut dan mengetap gigi menahan rasa aneh itu.Disebelahnya,Mark dan Aiiden juga rupanya sedang berada di dalam situasi yang sama.Malahan Vixx yang memaksa dirinya untuk kembali berdiri tegak di dalam amukan badai yang menghentam kawasan tersebut sudah terbatuk-batuk dengan darah kelihatan meleleh dari sudut bibirnya.

Sementara itu,Ken yang terpelanting kasar lalu mendarat di atas perutnya itu mencengkam permukaan tanah dengan sendi-sendi yang menggigil.Ada rasa sakit yang bagaikan merentap tulang-belulangnya memaksa dia menggeram.Peluh dan air matanya berbaur menjadi satu.

Apa lagi yang paling dibenci mereka berlapan selain daripada melihat Tetua Myn sedang tertawa kasar tatkala dirinya sedang melang-buana dan berada di atas angin melihat keadaan sebegitu?

Dan keadaan jelas sekali tidak berpihak kepada mereka ketika mereka tidak mampu hatta untuk menggerakkan jari sekalipun.Terbaring sebarangan arah dan berdarah di sana-sini.Ketidakmampuan menghalang lelaki licik nan kejam itu adalah hal paling mengecewakan daripada seluruh rentetan kejadian yang berlaku tiba-tiba itu.Dan mereka tahu puncanya.

Lelaki itu-Tetua Myn telah mengenakan sihir kepada mereka sehingga mereka tidak mampu untuk bergerak sedikitpun !

Sementara itu,Ara yang sedang berada di ambang batas antara sedar dengan tidak -menggagahi juga dirinya dengan sisa kekuatan yang ada untuk membuka mata.Dalam keadaan terapung beberapa kaki dari permukaan tanah begitu,Ara dapat melihat darahnya sendiri menitis meninggalkan jejak berupa titisan-titisan kemerahan di atas permukaan tanah.Segenap tubuhnya terasa dicarik oleh kesakitan yang sukar dijelaskan dan sesekali pandangan kabur matanya bertukar menjadi pintasan gelap yang sunyi sepi.

Ara memang tidak mengetahui apa yang sedang berlaku tetapi dia dapat merasakan kehadiran Tetua Myn tetapi dengan kekuatan gelap yang lebih dahsyat berbanding apa yang pernah dirasakannya dulu.

Ketika Tetua Myn mengitari Eiiden dan yang lain-lain dengan pandangan jijik,daripada celah kelopak mata yang semakin tertutup rapat- ada wajah yang dikenali Ara sedang menatapnya dengan ketakutan.

Wajah-wajah itu adalah wajah para saudara dan sahabatnya sekaligus. Yang tidak akan pernah teragak-agak untuk membentenginya daripada sebarang bahaya.Mereka,satu-satunya keluarga yang dia ada....

" Urrrukkk-Rhnulllll..."

Gumaman nama yang tiba-tiba terlintas di dalam fikirannya itu disertai dengan genangan darah di dalam mulutnya sendiri. Nafas Ara semakin lama semakin pendek dan singkat-singkat.Setiap kali dia mencuba untuk menarik nafas,ruang udara pada dadanya bagaikan mengecut membuatkan dia terbatuk dengan keras namun ia tetap tidak banyak mengurangkan rasa sesak yang menggumpal di pangkal dadanya kerana setiap tarikan dan hembusan nafasnya disertai dengan darah yang membuak keluar dari mulut ataupun hidung.

" Urrrukkk-Rhnullll..."

" Jangan !!! "

Telinga Rabay Tua yang mendengar sayup-sayup nama itu diucapkan oleh Ara mendadak terbeliak ngeri dan dengan nada ketakutan dia berteriak.Segenap bulu romanya meremang apabila mendengar nama itu disebutkan kerana dia sepertinya merasakan ada sesuatu yang memintas naluri tajamnya.

Darah pewaris dan ibu semangat !

Tidak !! Itu adalah apa yang dimahukan oleh lelaki penyihir tersebut !

Para Rabay tahu apa yang dikatakan dengan nama Uruk-Rhnull itu. Naga ratusan tahun yang menjadi simbol dan kehormatan Bangsa Apollyon.Dan mereka tahu kepada siapa semangat tersebut merelakan dirinya.

Aithra.Sang tuan pemilik kepada semangat naga terakhir dari kaumnya.Tempat makhluk purba nan sakti itu menumpahkan taat setianya tanpa berbelah-bahagi.

Raksasa Pirrha tidak mungkin membohongi mereka.Gadis itu-Ara- entah bagaimana mewarisi sebilah pedang yang ditempa dengan nafas naga terakhir tersebut dan ia sebenarnya sudah merupakan sebuah kejadian yang sangat langka dan menakjubkan.

Menempa sebilah pedang dengn nafas bermakna sang naga sudah memberikan sumpah taat setianya dan menganggap susuk tubuh tersebut sebagai tuan-tempatnya mengabdikan diri.Dan kesetiaan semangat naga terakhir dari kaumnya itu bukan kesetiaan yang boleh digugat dengan mudah.Semangat di dalam pedang itu hanya menunjukkan kesetiaan kepada darah tulen sang tuan.

Semangat Uruk-Rhnull yang ditempa ke dalam mata pedang tersebut adalah hal terakhir yang diperlukan untuk melengkapkan cita-cita Tetua Myn bagi mendapatkan semula sisa jiwanya !

Tetua Myn meligas dengan sinar mata yang kemerahan lantas menyunggingkan sebingkai senyuman yang kejam dan sinis.Hanya dengan sekali libasan tangan,tubuh renta Rabay Tua sudah tercampak menimpa tiang utama beranda balairong seri Istana Marduk.

Nyata sekali dalam keadaan dia sangat hampir dengan dua sisa jiwanya itu ,kekuatan Tetua Myn sangat sukar untuk dikalahkan.Bukan sahaja berjaya mengunci Eiiden dan tujuh saudaranya itu,malahan para Rabay pun sudah terkapar dan luka parah akibat serangan sihirnya.

" Perlukah aku melakukan ini?"

Tetua Myn menyorot kejam ke belakang dan dengan sengaja menyentak tangannya mengakibatkan tubuh Aiiden yang berlumuran darah itu terseret hampir dalam sekelip mata ke arahnya dalam keadaan meniarap.

Tiba sahaja di hadapannya,sambil menatap jijik wajah lelaki Alfa Lycan itu,dia mengangkat kaki kanannya tinggi lalu mendaratkan ke atas dada Aiiden membuatkan lelaki itu melenguh kesakitan.Jari-jemarinya tegang .Terketar-ketar menahan sakit dengan darah sudah mengalir dari mulut ,hidung dan telinga pemuda tersebut.

Sedikit sahaja lagi !

" Atau ini?"

Giliran Ryu pula yang terpekik dalam suara yang menyayat hati apabila tubuhnya yang juga tidak berada dalam keadaan lebih baik daripada mereka yang lain itu melayang laju lalu lehernya tepat berada dalam cengkaman Tetua Myn yang berkuku hitam dan runcing itu. Deraman Aiiden yang berada di bawah tapak kakinya dan wajah Ryu yang merah kehabisan nafas itu hanya membuahkan senyuman kepuasan yang tidak terhingga kepadanya.

" Barangkali ini.."

Tempik Tetua Myn lalu menggerakkan tangannya di udara dan sebilah pedang meluncur laju berdesing membelah udara menuju ke arah Eiiden yang tergeletak tidak berdaya.

Tetapi barangkali hanya dalam jarak beberapa inci sebelum mata pedang kepunyaan salah seorang daripada para Rabay itu menghampiri leher pemuda itu, bunyi berdenting yang kuat kedengaran disertai dengan percikan anak api membuatkan mereka tergamam sementara Tetua Myn tersenyum licik.Menyeringai.

Sambil melepaskan cengkaman mautnya ke leher Ryu,dia berpaling ke belakang.Meninggalkan Aiiden yang sudah hampir tidak sedarkan diri dan mengabaikan Ryu begitu sahaja.

Mata pedang yang dilancarkannya untuk memenggal leher Eiiden itu sudah patah dua di hujung kaki seseorang.Sementara itu,sebilah pedang dengan hulu seperti deretan gigi serigala kelihatan berkilauan dengan cahaya putih keemasan di dalam genggaman kejap susuk tubuh tersebut.

Aura yang terpancar daripada tubuh tersebut begitu kuat dan terasa panas seperti luapan api yang membahang, malah menguarkan kebencian bukan kepalang yang menyeruak dari sepasang mata dengan iris keemasan itu.Seperti sedang berada di dalam gelembung udara yang panas,setiap langkahan kakinya membuatkan tanah di bawah tapak kakinya itu merekah dan terbenam beberapa inci.

" Tidakkkkkk.." Rintih Rabay Tua " Jangan lakukannya,Ara !!"

+              +              +

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now