BAB BONUS : MISI N

233 14 54
                                    

BEGINNING OF THE END : ONE SHOT
================================

Rasanya dalam dunia ini,terlalu sedikit perkara yang boleh membuatkan Ara naik darah dan jika dihitung-hitung-ia tidak pun melebihi tiga hal.Dan salah satu daripadanya ialah dibawa ke majlis rasmi dan dia terpaksa mengenakan pakaian mengikut protokol majlis tersebut.

Menggunakan alasan biasa bahawa dia perlu menjaga anak-anak Rumah Agam,tatkala itu alasan tersebut tidak boleh diguna-pakai.Kerana anak-anak sedang dalam musim libur menjelang hujung tahun, Erza dan Gray sudah beberapa hari di Perkampungan Nymph kerana mengikuti Ten yang menghabiskan masa cutinya dengan keluarga sang ayah. V pula dijemput Istana Besar sementara Leo pula baik-baik sahaja dalam gendongan Puan Nara malahan sempat-sempat lagi anak itu melambaikan tangan ke arahnya semasa mereka bertolak awal malam tadi.

Menghadiri jamuan-jamuan begitu adalah perkara paling tidak disukai Ara.Bukan sahaja kerana dia terpaksa mengenakan pakaian yang entah apa-apa malahan didandani begitu rapi oleh pembantu Rumah Agam. Rambutnya disikat rapi lalu diklipkan ke sebelah kiri dengan klip rambut platinum bergemerlapan.Buat beberapa ketika matanya terasa perit apabila kaca matanya digantikan dengan kanta lekap yang serta-merta menghantar kesan bundar pada bingkai matanya.

Polesan warna hitam,gangsa dan cokelat mendominasi solekannya .Itupun dibawah pengawasan ketat N yang berpeluk tubuh dan memasang tampang seperti akan menjangkau cuping telinga Ara bila-bila masa sahaja sementara Ara sudah beberapa kali tersengguk-sengguk menahan kantuk yang aneh sekali mendadak bergayutan pada kelopak matanya.

Dan daripada sekian banyak fesyen gaun yang diperlihatkan oleh Puan Eilin daripada butik di pusat membeli-belah Kumpulan Lycan ,gaun paling ringkas dipilih Ara.Sehelai gaun satin labuh dengan kolar berupa lipatan rumit membentuk kelopak mawar pada dadanya. Berlengan panjang tetapi anehnya lengan gaun tersebut terbuka dari paras siku hingga ke pangkal lengan.Maka,setiap kali menggerakkan tangan,fabrik satin gaun tersebut akan berkibar lembut.

Semua fesyen gaun yang diperlihatkan oleh Puan Eilin melalui tablet di tangannya dipandang dengan tatapan ngeri oleh Ara.Ditunjukkan model yang lain, dia menggeleng kepala. Ditayangkan fesyen terbaru, dia diam seperti lagak orang sedang bertafakur.

Ada yang pada hematnya kelihatan mirip seperti pakaian isteri seorang lelaki yang hidup di dalam hutan dan mampu berkomunikasi dengan haiwan dan hanya perlu melolong-lolong untuk memanggil para sahabatnya itu serta bergayut dari akar ke akar seperti monyet malahan kartun aneh itu menjadi motivasi terbesar untuk anak-anak Rumah Agam gemar bergayut pada langsir sehingga memeningkan kepala Puan Nara .Tidak berlengan dan disangkutkan ke salah satu bahu.

Ada pula yang langsung tidak berlengan. Kolar gaun tersebut luas sekali memperlihatkan tulang selangka.Dan pada ketika jari Ara hinggap pada permukaan imej sehelai persalinan berupa kot yang mirip dengan sut dipakai Ryu,N mulai menayangkan gerakan persis jurus tinju mabuk dan burung bangau yang jengkel kerana makanannya direbut paksa sehingga para pembantu Rumah Agam mengulum senyum.

Tanpa ada perincian lain.Seutas rantai perak yang halus dikalungkan ke leher.Dan,hanya itu.Tidak lebih,tidak kurang.Dan kasut yang dibawakan dari butik itulah yang membuatkan trauma Ara kambuh sekali lagi.Sepasang kasut bertumit tinggi dengan butiran gemerlap kristal-kristal kecil.Melihat kasut tersebut,kening Ara sudah berkedut tetapi dengan tatapan N-Ara hanya mampu menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Sebenarnya Ara berkali-kali menyatakan bahawa tidak ada kepentingan yang mewajibkan dia turut hadir ke majlis tahunan Kumpulan Lycan itu.Seperti tahun-tahun sudah adanya.Majlis yang akan dilangsungkan menjelang akhir tahun bagi memberikan penghargaan kepada seluruh warga kerja Kumpulan Lycan yang telah bertungkus-lumus sepanjang tahun.Atur caranya juga itu-itu sahaja.Ketibaan para tetamu,ucapan,penyampaian anugerah-anugerah cemerlang,makan persembahan dan majlis akan tamat menjelang tengah malam.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now