-50-

283 32 41
                                    

Rupanya ringkik kuda yang resah dengan kehadiran ramai sekali lelaki berpakaian tentera serta pedang itu hanya membuatkan susuk tubuh di atas pelana kuda putih itu tersenyum santai. Melihat wajah tegang Putera Reiid, dia melorekkan sebingkai senyum sinis.

Satu percaturan yang sudah diduganya sejak awal-awal lagi. Helah budak hingusan begitu tidak akan membuatkannya leka sama sekali. Pekan yang mendadak sunyi sepi, gerbang istana kota yang terbuka bagaikan menyambut kedatangannya malahan istana yang seperti tidak berpenghuni. Bukankah ia terlalu mudah ?

Dididik dengan segala bentuk kemungkinan dan peluang, mana mungkin dia tidak mencurigai perjalanan mereka menakluk istana kota yang tampaknya begitu lancar tanpa sebarang penentangan begitu?

Melihat Jeneral Arke yang memandangnya seperti hendak menelannya sekaligus itu, susuk tubuh berselubung hitam itu tertawa kecil lagi. Segalanya sudah berada di dalam perkiraannya. Jeneral Arke tiba di istana mungkin masuk akal tetapi bagaimana mungkin ketumbukan tentera seramai lima belas ribu orang itu dapat dikumpulkan ke ibu kota hanya dalam masa dua hari?

Sedangkan Gerbang Timur yang terletak paling dekat dengan istana kota sendiri memakan masa dua hari berkuda tanpa singgah bermalam di mana-mana. Apatah lagi Gerbang Utara yang terpaksa merentas kawasan bersalji itu.

Maka disimpulkan bahawa tentera yang ada di ibu kota hanyalah tentera yang terletak dibawah kuasa Balai Temenggung dan jika dihitung, jumlahnya tidak pun mencecah seribu orang!

Seribu orang menentang dua ribu orang. Satu jumlah yang sangat tidak seimbang dan keadaan yang sangat memihak kepada mereka asalkan segala-galanya berjalan mengikut apa yang telah mereka rancangkan sebelum ini.

" Bukankah terlalu biadap untuk tidak menyambut kedatangan ayah saudara sendiri wahai Putera Reiid?  Telah kau kemanakan tatasusila istana selama ini? "

Panglima Cassius sudah menapak ke hadapan sambil meraba hulu pedang di belakangnya namun Putera Reiid pantas mencengkam pergelangan tangannya.

" Datang tiba-tiba membawa sekumpulan tentera yang lengkap dengan baju perang.Meletakkan mata-mata di istana dan cuba meracuni para pembesar.Sambutan bagaimana yang Tuan Medea harapkan daripada istana? "

Putera Reiid mencebik melihat wajah yang sudah terlalu lama tidak dilihatnya itu. Sekali imbas, masih ada garis-garis yang sangat menyerupai bingkai wajah ayahnya pada wajah itu kerana hakikatnya lelaki di hadapannya itu tetap sahaja merupakan ayah saudaranya yang pernah pada suatu ketika dahulu menggendongnya di belakang dan mengajarkannya bagaimana untuk menaikkan layang-layang jika hari sedang berangin.

Lama dulu sebelum seluruh Keluarga Eurus dikenakan hukuman buang negeri kerana terlibat dalam pakatan untuk menggulingkan pemerintahan beraja yang pada anggapan mereka menjalankan sistem pemilihan yang tidak adil dan korup.

Itu lama dulu! Satu persengketaan dalaman yang hanya diketahui oleh para pembesar istana tetapi lihatlah kini. Lelaki itu bukan lagi ayah saudaranya yang mengajarkannya bagaimana cara menaikkan layang-layang atau bagaimana untuk menunggang kuda dengan betul melainkan seorang lelaki  yang dikaburi rasa dendam serta keinginan untuk menaiki takhta istana.

" Perlu masa lebih empat hari untuk mengumpulkan semua tentera yang berada di sempadan untuk melindungi ibu kota. "

Medea,lelaki berambut kelabu yang diikat tinggi di atas kepala itu melompat turun daripada pelana kuda tunggangannya  dengan yakin dan bersahaja tetapi tetap sahaja kelihatan angkuh dan dingin.

" Maknanya, tidak sukar untuk menakluk istana kota. Tidak begitu, Jeneral Arke? "

Pandangan mata setajam helang milik lelaki yang menyandang gelaran jeneral itu menggerenyat benci.Hulu pedang di tangannya sudah digenggam kejap. Hanya menunggu masa Putera Reiid memberikan isyarat-tidak akan teragak sedikitpun dia akan memutuskan kepala lelaki pengkhianat tersebut.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now