-5-

516 42 33
                                    

Lelaki pemandu teksi separuh usia itu memandu tenang di tengah jalur lalulintas yang tidak terlalu sibuk.Bukan sahaja kerana jalur lalulintas tersebut agak jauh daripada pusat bandar tetapi juga adalah kerana waktu puncak sudah lama berlalu dan dia tahu jalanraya kembali sibuk lagi apabila waktu bekerja tamat kira-kira empat jam dari sekarang.

Siaran radio pagi yang menghidangkan lagu-lagu yang menjadi halwa telinganya jelas kedengaran melalui peranti pembesar suara di dalam kenderaan tersebut sementara lelaki dalam pertengahan usia 20-an yang menjadi penumpang keduanya itu senyap tetapi kelihatan tidak terganggu kerana sesekali kedengaran dia turut menggumamkan bait-bait lagu yang menarik minatnya ketika itu sementara menunggu teksi tersebut tiba di lapangan terbang.

Dalam ulitan suhu sejuk pendingin udara yang persis sekali dengan cuaca nyaman awal musim bunga di luar sana ,pemuda tersebut menyandarkan kepalanya sambil cuba untuk menutup mata dan kelakuannya sempat dikerling oleh pemandu teksi yang berwajah cerah itu.

Namun belum beberapa detik dia memejamkan matanya, kenderaan yang ditumpanginya ke lapangan terbang itu mendadak menekan brek mengakibatkan kepalanya terhantuk ke tempat duduk di sebelah tempat memandu dan wajah cemas lelaki tua itu memenuhi penglihatannya.

" Kenapa? "

Soalannya tergantung tidak berjawab sebaliknya lelaki itu tergesa-gesa turun dari perut teksi dan meninjau sesuatu.

Dengan sedikit teragak-agak, lelaki itu membongkokkan tubuhnya cuba meninjau sesuatu di bawah kereta yang dipandunya. Sungguh. Hari masih terlalu awal untuk dia terlelap ataupun mengantuk sehingga membuatkan tumpuan memandunya hilang tetapi dia memang tidak silap.

Dia benar-benar terlanggar sesuatu yang membuatkannya menekan brek kecemasan secara mendadak sebentar
tadi.Hari cerah tidak mendung dan tidak hujan tetapi di hadapan matanya sejalur kilat menyambar dan memanah tepat ke atas permukaan jalanraya dan dalam masa itu jugalah dua tayar hadapan teksi yang dipandunya terasa merempuh sesuatu yang keras. Sesuatu atau.....

Seseorang??

Lelaki pemandu teksi tersebut benar-benar terjajar ke belakang dan terduduk di atas jalanraya yang panas apabila di atas bonet hadapan teksinya berdiri satu susuk tubuh yang dibaluti dengan sepasang pakaian berwarna hitam berupa jaket kulit labuh yang licin berkilat tetapi mempunyai hud bagi menutupi kepalanya.

Lelaki tersebut hanya berdiri bagaikan tidak ada apa-apa seraya mengibas bajunya bagaikan menepuk debu halus yang hinggap walhal bonet hadapan teksi tersebut sudah kemik seperti tin minuman soda yang dihimpit dan mulai mengeluarkan  asap yang berkepul.

" Maaaaffkknnn sayyyaaa, Tuan. "

Walaupun berada di ambang antara percaya dengan tidak, lelaki tua tersebut berdiri dengan lutut menggeletar dan cuba menghampiri susuk tubuh lelaki itu.

" Tttuuaannn ttthhakkk aapa-aapa? "

Lelaki berpakaian serba hitam itu menoleh perlahan-lahan dengan wajah datar  tetapi tidak mengatakan apa-apa sebaliknya mendongak ke langit dan kelihatan seperti sedang cuba mengagak-agak suatu arah.

Sekali lagi lelaki tua itu seakan-akan hendak tumbang apabila tanpa berkerut sedikit pun, kepingan kaca hadapan teksi tersebut yang terbenam di dalam pipi kanannya ditarik begitu sahaja walaupun ada darah yang kelihatan pada wajah dan lengannya malahan lututnya yang kelihatan berdarah juga tidak diendahkan. Seketika dia tunduk lalu menyandang semula sesuatu yang panjang serta tirus berbalut dengan sarung yang juga diperbuat daripada kulit. Hitam dan berkilat di bawah limpah sinar matahari.

" Tuuannn ttak aapa-aapa? "

Seperti tadi, lelaki itu masih juga tidak menyahut tetapi sebaliknya terus berpaling meninggalkan tempat tersebut tanpa mengatakan apa-apa. Menatap tidak percaya antara susuk tubuh lelaki itu yang muncul tiba-tiba di tengah jalanraya-lalu kemudian kepada bonet hadapan teksinya yang kemik seperti dirempuh lori  -dan kepada  jalanraya tepat di hadapan keretanya yang retak dan meninggalkan kesan seperti lubang jerlus dengan simen yang terbenam beberapa kaki ke dalam tanah tidak ubah bagaikan ditimpa sesuatu yang beratnya ratusan tan.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now