-17-

271 30 29
                                    

Walaupun tidak tahu apa yang sedang diperkatakan pemuda berselubung itu namun naluri bawah sedar Ara pantas bertindak. Tepat beberapa inci sebelum mata pedang di tangan lelaki itu singgah mengenai bahunya, Ara melenting tinggi melepasi kepala si penyerang lalu mendarat di belakangnya.

Oleh kerana lantai rakit yang licin dan separa tenggelam ia memaksa Ara mendarat pada bahunya dan kemudian menggolekkan diri. Berhenti dalam keadaan separuh melutut dengan mata pedang di tangan kanannya dijadikan tunjang penahan agar tubuhnya tidak terhumban ke dalam tasik.

Pemuda berselubung hingga ke kaki itu berpusing pantas namun tidak pula dia segera menyerang melainkan menatap Ara dengan pandangan nanar bercampur tidak percaya. Kali kedua serangannya berjaya dielak oleh susuk tubuh di hadapannya itu.

Sedang pemuda yang melibas Ara dengan pedang itu masih berdiri sambil menyeringai sinis, Ara sendiri terbingung-bingung. Bagaimana dia boleh melompat setinggi itu dan mengelakkan libasan maut yang ditujukan kepadanya, dia sendiri tidak tahu apatah lagi apabila pemuda itu menyebutkan satu nama yang tidak pernah didengar oleh Ara sebelum ini.

Dan yang paling menghairankan adalah mengapa susuk tubuh di hadapannya itu memanggilnya dengan nama Tetua Myn?

" Seperti yang aku duga! "

Ara yang masih sedikit bingung mengitari wajah tidak kelihatan pemuda di hadapannya itu dengan tatapan awas. Sambil melangkah mendekati Ara, pedang ditangannya dilibas-libas dalam lagak penuh intimidasi.

" Tetua Myn?  Apa maksud Tuan? "

" Teruskan sahaja berpura-pura tetapi bau darah daripada tangan kau itu tidak akan dapat membohongi aku! "

" Ara.."

Suara ' Ara ' yang berambut putih keperakan di dalam sana kedengaran menyeru penuh khuatir.

"Bertenang dan biarkan kami menguruskannya! "

Mata Ara mengernyit kebingungan kerana setiap patah perkataan yang didengarnya daripada suara-suara lain di belakang kepalanya itu tidak difahaminya sedikit pun.

Bagaimana mungkin suara-suara itu mampu menewaskan susuk tubuh di hadapannya itu yang kelihatan amat bernafsu sekali untuk memenggal kepalanya ketika itu.

Hambatan kejutan demi kejutan membuatkan kepala Ara terasa berdenyut dan penglihatannya sedikit kabur. Sedangkan dalam masa yang sama dia pula masih belum hilang akal untuk berusaha menenangkan diri di hadapan seorang lelaki yang sedang bersiap-sedia untuk menceraikan kepala daripada lehernya!

Rasa panik dan terkejut yang menyerang Ara secara serentak menyebabkan kakinya sedikit goyah sehinggakan tubuhnya hampir tumbang ke belakang dan kesempatan begitu tidak disia-siakan oleh pemuda tersebut.

Dengan raut wajah yang dingin dan kejam, dia meluru pantas menggenggam hulu pedangnya tinggi separas telinga dan menumpukan seluruh tenaganya ke pergelangan tangan agar dia mudah melibas leher musuh di hadapannya itu.

Namun tatkala mata pedang yang dilibasnya hampir mengenai leher susuk tubuh tersebut, dengan tidak semena-mena muncul satu medan tenaga yang mengenai tubuhnya membuatkan dia terhumban ke belakang dan mendarat kasar di atas permukaan rakit. Sedangkan buat pertama kali ada seseorang yang mampu menghumbannya sebegitu, pedang di genggamannya yang berhulukan jalinan ranting berwarna cokelat hitam itu bergetar pula di dalam genggamannya.

Matanya serta-merta mengecil dan dengan pandangan tidak percaya dia bingkas bangun tanpa memperdulikan mantel pengembara berhud yang dipakainya basah.

Nun di hadapan sana, satu susuk tubuh mencuar tegak dalam samar kabus yang nipis. Tubuh kecil yang basah kuyup dengan rambut berantakan itu sudah tidak kelihatan dan berdiri di sana adalah seseorang dengan rambut putih keperakan yang menjulai panjang melepasi pinggang sementara sepasang matanya kelihatan biru jernih sedang menyorot tajam ke arahnya.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now