Sementara itu, buat beberapa ketika masing-masing saling tergamam dan berpandangan antara satu sama lain. Hatta kepada si No.7 sekalipun, hal tersebut benar-benar mencengangkan.
Tanda lahir yang sama bermakna...
" Raven. " Irisa menoleh dengan leher kaku ke arah No. 4 yang tegak di sebelahnya. Terkebil-kebil.Pias dan bingung.
" Bagaimana mungkin? " Iria pula menggumam dengan nada antara dengar dan tidak " Bukankah Raven sudah lama tiada? "
No. 4 menatap susuk tubuh yang terkulai lemah di atas katil itu dengan pandangan ngeri bagaikan telah lupa bagaimana untuk mengelipkan matanya.
Raven.
Pemuda itu memejamkan matanya rapat-rapat.Cuba untuk menafikan hal yang berlaku di hadapannya ketika itu.Sebuah kenyataan yang hampir mustahil.Bagaimana mungkin seseorang yang sudah lama meninggal dunia seperti Raven itu kini sedang berada lagi di hadapannya? Masih bernafas dan kelihatan baik-baik sahaja selain terbaring tidak sedarkan diri akibat terhidu wap sedatif.
Jika benar, apa sebenarnya yang sedang berlaku? Bagaimana Raven boleh menyerupai Ara dalam keadaan Ara adalah sasaran utama mereka dalam misi kali itu?
Apakah Empayar mengetahui hal tersebut?
+ + +
No. 4 yang ketika itu masih dikenali sebagai Hawk,seorang kanak-kanak di ambang usia remaja-dua belas tahun- hanya mampu mengeratkan pelukannya ke tubuh sang adik yang meraung ketakutan. Baginya, dia tidak perduli walaupun tubuhnya patah-riuk asalkan adiknya tidak diapa-apakan oleh lelaki itu.
Segenap tubuhnya sudah terasa sakit apabila menjadi sasaran empuk penumbuk dan penendang yang tidak mengenal belas kasihan dilepaskan kepadanya hanya semata-mata kerana dia tertangkap ketika cuba untuk memasukkan sebungkus roti ke dalam saku untuk sang adik yang sedang kelaparan dan diserang demam panas.
Sepanjang apa yang boleh diingati olehnya, tidak ada secebis pun memori tentang rupa dan bentuk figura manusia bernama ayah dan ibu di dalam kamus hidupnya.
Sejak kecil lagi, mereka sudah hidup dan membesar di jalanan. Menjadi anak gelandangan dan melakukan apa sahaja demi meneruskan hidup sehingga keesokan harinya. Usia semuda lapan tahun, dia telah mengambil keputusan paling drastik dengan melarikan diri daripada jagaan seorang lelaki pemabuk yang bergelar bapa saudara kepada mereka.
Hawk yang tidak membesar seperti selayaknya seorang anak seusia mereka, bertindak sebagai tunggak keluarga tersebut dengan melakukan kerja sambilan menjadi budak suruhan di sebuah restoren. Melakukan kerja yang dilakukan oleh orang dewasa demi mencari beberapa helai wang kertas not 100 penerus kelangsungan hidup mereka.
Sedang dia berhempas-pulas membanting tulang dari awal subuh hingga lewat malam, lelaki pertengahan usia 40-an itu hampir setiap malam pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan jika ada yang tidak berkenaan di hatinya, ia akan dilampiaskan kepada mereka dua beradik.
Hidup dalam keadaan serba kekurangan dan ditindas sepanjang waktu, masih bukan apa-apa kepada Hawk.Segalanya masih mampu ditahan walaupun tubuh kecilnya dengan bekas cambukan tali pinggang serta kesan lebam sepertinya sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Wang yang sedikit untuk menampung kehidupan sehari-hari sering dihabiskan di meja judi dan botol-botol minuman keras. Dalam keadaan lelaki itu tidak mabuk-silap sedikit sahaja mereka akan menerima padah, apatah lagi dalam keadaan waras fikirannya sudah dikuasai alkohol.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...