-29-

229 30 16
                                    

Menyesap rasa kopi yang pahit dan manis dengan rasa kayu manis pada hujungnya itu pada kebiasaannya membuatkan Mark sedikit tenang tetapi kali ini walaupun sudah tiga cawan kopi buatan Dayang Chi itu diteguknya, fikirannya tetap sahaja berselirat dan melantur ke mana-mana.

Selepas apa yang berlaku beberapa hari lepas, dia sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Ara yang tingkahnya tampak terlalu biasa membuatkan Mark semakin serba-salah.

Eiiden dan Ryu -setiap kali bertembung pandang dengannya akan menatapnya dengan raut wajah yang aneh tetapi diam mereka membuatkan Mark semakin salah tingkah.

Memandang wajah Ken dan Rein yang berkeladak setiap kali terpandang akhbar pagi yang menyorot lagi berita penurunan saham Kumpulan Lycan itu, Mark menghela nafas berat.

Dia tahu tidak ada seorang pun yang menyebutkan hal tersebut secara terbuka demi menjaga hati sesama mereka tetapi kejadian memalukan yang berlaku semasa pelancaran Projek M 2.0 itu masih membekas kepada mereka.

Ada sesuatu yang sedang berlaku tetapi dia tidak tahu apa!

Mengangkat sekali lagi cawan putih dengan hiasan kuntum bunga berwarna biru nila menghampiri bibir dan meneguk cairan hitam pekat itu,tidak terlalu lama untuk dia menyedari bahawa segala keanehan yang sedang melingkari mereka kali itu berpunca daripada kejadian beberapa bulan lepas di hadapan gedung membeli-belah Kumpulan Lycan.

Atau lebih tepatnya kehadiran seorang pemuda berambut kelabu keperakan itu!

Dan Ara yang mendadak terlalu normal pada hematnya ! Daripada caranya bercakap dan melayani para pekerja Rumah Agam mahupun para staf Kumpulan Lycan kadang mengundang kerut kening yang tidak kunjung sudah kepada Mark. Caranya berpakaian juga semakin hari semakin aneh.

Bahkan mungkin agak keterlaluan apabila Mark merasakan bahawa Ara yang berada di Rumah Agam itu bukan lagi Ara yang dikenali mereka lama dulu. Gadis terpilih yang kepadanya mereka sudah berikrar akan melindunginya daripada segala ancaman dan bahaya.

Pemuda itu tahu adalah sangat salah untuknya kerana berfikir yang tidak-tidak tentang Ara. Apabila mengenang semula apa yang telah mereka hadapi bersama, tentang bagaimana Ara selalu mendahulukan mereka dalam apa sahaja hal termasuklah dengan tidak teragak-agak merisikokan dirinya sendiri demi memastikan dia selamat-ada ketikanya Mark ingin memaki dirinya sendiri kerana mahu tidak mahu, rasa syaknya kepada Ara semakin ketara.

Lebih daripada itu, dia juga merasakan bahawa dia sudah melanggar sumpah taat setia moyang Keluarga Evas kepada Keluarga Lycan. Pada Keluarga Evas, berkhidmat turun-temurun melindungi Keluarga Lycan adalah satu tanda terima kasih mereka kepada keluarga tersebut.

Hanya keluarga tersebut yang berani menentang arus dengan memberikan hak sama rata kepada Keluarga Evas tatkala keluarga lain memandang sinis kepada mereka dan memberikan gelaran yang sangat tidak menyenangkan.

Digelar Keluarga Gasar kerana mereka adalah suku nomad yang sering berpindah-randah dan kebiasaan mereka dianggap sebagai antara definisi kaum tidak bertamadun berbanding keluarga Kaum Zinxs yang lain.

Dan ketika Keluarga Evas terlibat dalam persengketaan berdarah dengan Keluarga Etnos, hanya Keluarga Lycan yang turun tangan menyelesaikan masalah tersebut dan hal terbesar daripada keseluruhan hal itu adalah - ketua kepada Keluarga Lycan ketika itu yang secara ajaibnya adalah keturunan kepada Eiiden,Aiiden dan Ara.

Bukan sahaja dipertahankan, diberikan sebuah kawasan yang subur untuk menetap malahan juga dianggap sebagai sahabat karib bahkan sebahagian daripada keluarga walaupun mereka berlainan suku.

Tatkala pemerintahan beraja masih diamalkan ketika itu, sementara Keluarga Lycan merupakan sebuah keluarga bangsawan yang dihormati-Suku Evas secara turun -temurun adalah satu suku yang paling ramai melahirkan para pahlawan dan panglima perang Bangsa Zinxs. Dan sehingga beberapa dasawarsa,persahabatan Keluarga Lycan dengan Keluarga Evas terus berlanjutan. Mark adalah bukti paling nyata sumpah taat setia tersebut.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now