-44-

255 28 10
                                    

Sebuah pedati yang ditarik oleh dua ekor kuda itu hampir benar melanggar lututnya membuatkan Ara segera menepi dan keriuhan pasar pagi memenuhi indera pendengaran dan penglihatannya.Pekan Oords yang memang diketahui Ara sebagai sebuah pekan yang sentiasa sibuk dengan hiruk-pikuk para peniaga melariskan barang dagangan masing-masing bertambah semarak bagaikan sedang dipersiapkan untuk menyambut satu pesta keramaian.

Belum pun terlalu lama dia berada di situ,sudah ada belasan pedati yang kelihatan lalu dan semuanya berduyun-duyun menuju istana kota dan daripada pedati tersebut dapat dilihat ada beberapa buah daripadanya yang kelihatan lebih besar dan diiringi oleh pengawal-pengawal berwajah sangar lengkap dengan senjata masing-masing malahan ada pula yang siap membawa wanita-wanita pembantu yang menapak di belakang pedati yang ditarik perlahan-lahan.

Daripada saiz pedati dan bilangan pengawal serta pembantu wanita begitu dapat dipastikan pedati tersebut pasti kepunyaan keluarga bangsawan atau sekurang-kurangnya peniaga yang kaya-raya.Setiap kali ada rombongan mewah yang lalu,para pengunjung Pekan Oords akan saling berbisik-bisik sesama mereka.

Pada halaman rumah kedai yang berderet mengapit jalan menuju ke sebelah utara yang diketahui Ara sebagai jalan terus ke istana kota terpacak tiang-tiang tinggi dengan panji berwarna-warni yang berkibar.Sedangkan pada setiap hujung atap bergantungan bekas-bekas tembikar yang ditebuk dengan pelbagai motif ukiran bunga-bungaan berisi lilin yang akan dinyalakan pada waktu malam.

Malahan pasu-pasu bunga semakin bertambah dan disusun saling berdesakan pada perdu-perdu pohon berbunga lebat di penjuru halaman manakala kedai yang menjual perhiasan-perhiasan kecil serta pelbagai warna dan jenis kain menambahkan meja jualan mereka di hadapan kedai masing-masing.

Sementara itu,pada garis ufuk tepat di mana deretan kedai di pekan Oords berakhir -sebuah jambatan yang dibina melengkung melintangi sebatang sungai yang berair jernih gabungan antara warna biru dan sedikit hijau.Di kedua-dua tebing,deretan pohon berbunga putih dan merah muda meriah sekali mengeluarkan bunganya da nada antara kuntum bunga yang sudah mekar beberapa hari itu berguguran di tiup angin.

Menebar ke halaman rumah kedai dan ada pula yang terus jatuh menimpa permukaan air yang mengalir tenang di antara tumbuhan air berupa bunga-bunga teratai yang juga mengeluarkan kuntumnya yang berwarna putih,merah muda,ungu cerah ataupun yang berwarna kuning cair.

Sama seperti kedai-kedai yang dihiasi lilin dalam tembikar,alang tepi jambatan melengkung itu juga dilihat Ara penuh dengan hiasan yang sama dengan panji-panji segitiga pelbagai warna dipacak pada tiang tinggi yang mengapit kedua-dua pangkal jambatan tersebut.

Dalam balutan pakaian begitu,sekilas pandang tidak ada bezanya antara Ara dengan para lelaki pertengahan usia yang lalu-lalang di antara deretan rumah dan kedai yang berada di kawasan pekan tersebut.

Berbaju longgar daripada tenunan kapas yang kasar berwarna putih sedikit kekuningan dengan seluar labuh cokelat gelap mencecah tumit sementara kakinya disarungkan capal bertapak kulit kayu dan diikat saling bersilang pangkah ke kaki dengan menggunakan tali jerami.Rambut pendeknya diserkupkan topi segitiga yang dianyam daripada batang mensiang yang sudah diraut sehingga halus dan licin.

Ara arif jika dia menggunakan baju dan seluar serta kasut yang dipakainya sebelum ini,dalam kiraan hanya beberapa detik dia akan mudah dibezakan daripada penduduk di kawasan pemukiman tersebut dan itu adalah perkara terakhir yang dikehendakinya ketika itu apatah lagi sudah ada percubaan untuk menangkapnya sebelum itu.

Kesempatan diambil oleh Ara tatkala Dayang Ethra tidak kelihatan di mana-mana barangkali sedang leka mengerjakan sesuatu di kebun belakang pondok tersebut.

Hanya membayangkan sebuah tempat yang sedikit tersorok di sebalik selekoh yang sekilas dilihat Ara ketika dia melalui pekan tersebut bersama Putera Reiid dan dua pengawal rapatnya dua hari lepas,diiringi bunyi berdesing yang didengari Ara dan juga merasakan tubuhnya seperti tersedut ke dalam satu pusaran yang kuat,dia sudah berada di tempat tersebut sebaik sahaja dia membuka matanya semula.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now