" Ketakutan... "
Ujar Rabay Tua dengan mata yang sangat kabur namun pandangan matanya tidak lepas daripada menatap lidah api yang mencuar daripada potongan-potongan kayu dalam unggun yang terletak di tengah ruangan tersebut.
" Ia tidak akan terpisah daripada semua makhluk.Orang yang berani bukanlah orang yang tidak pernah merasa takut tetapi adalah mereka yang berjaya menaklukkan rasa takut itu sendiri. "
+ + +
Sementara itu, Panglima Cassius menatap resah matahari yang mulai tergelincir dari tengah dada langit menuju ke ufuk barat di sebalik banjaran hijau kebiruan di sebelah kanannya ketika itu.
Panglima Zethus masih juga seperti dalam keadaannya sebaik sahaja tiba di seberang sungai tersebut. Berdiri takzim siaga menggenggam hulu pedangnya seakan-akan berkawal bagi memastikan Putera Reiid yang bersandar nyaman pada sebatang pohon jauh daripada sebarang ancaman bahaya.
Pandangan Panglima Cassius saling bertukar antara wajah berkerut Ara dengan matahari yang sudah terlalu hampir untuk tenggelam.
Disebalik kebenaran tentang bagaimana mereka bertiga sebenarnya diamanahkan untuk memerhatikan gadis itu dengan lebih dekat dan akan menghapuskannya apabila dilihat dia bakal membawa ancaman kepada seluruh Lembah Zardus, ada sebahagian daripada hati Panglima Cassius berharap agar Ara dapat mengatasi masalah itu kali ini seperti mana dia menghadapi Raksasa Pirrha si penunggu Tasik Erebus itu.
Diam-diam dia menghela nafasnya berat kerana dia tahu sungai yang direntasi mereka itu bukan sekadar sebatang sungai berair jernih yang cetek dan pemandangan yang menyenangkan melainkan antara gerbang sihir yang dipacak oleh Rabay Bertiga. Dan mereka tidak terjejas dengan Sihir Adratos itu adalah disebabkan mereka telah diberikan gelang pelindung oleh Rabay Tua.
Wajah Ara yang pucat tetapi kelihatan peluh pada dahinya dengan sepasang bola mata bergerak-gerak disebalik kelopak mata yang terkatup rapat. Malahan sesekali dia cuba untuk menggerakkan tangan dan kakinya yang sudah hampir tidak kelihatan disebalik lilitan akar yang timbul entah dari mana.
Sihir Adratos.
Adratos yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa Elf purba bermaksud ketakutan dan Panglima Cassius tahu ia bukan sekadar nama yang diletakkan tanpa sebarang sebab.
Ia adalah satu sihir yang akan meresap dan mencari sekecil apa pun ketakutan yang cuba disembunyikan oleh sesiapa pun. Dengan ketakutan tersebut, Sihir Adratos akan memanipulasikan minda seseorang sehingga memaksanya untuk mengalah dan pada ketika itulah sesiapa yang menjadi mangsa sihir tersebut akan terperangkap selama-lamanya di dalam alam gelap yang hanya dipenuhi oleh ketakutannya sendiri.
Dan sudah tentu sekali lagi dia perlu memuji kebijaksanaan para Rabay Bertiga tatkala mengambil keputusan untuk memacakkan Sihir Adratos ke dalam Sungai Odisseus itu. Kerana suatu hal yang pasti adalah setiap makhluk pasti memiliki ketakutan yang tersendiri dan ia adalah senjata paling ampuh untuk melindungi Lembah Zardus dan hal itu sehingga kini berjaya menghalang penceroboh daripada memasuki penempatan Bangsa Apollyon.
Dalam pada fikiran Panglima Cassius bersimpang siur begitu, tiba-tiba kedengaran bunyi berderak dan pantas membuatkan dia bingkas bangun. Sejalur akar sebesar pergelangan tangan muncul dari celah batu berhampiran kepala Ara dan bagaikan kecepatan seekor ular lapar yang menjerut mangsanya, akar cokelat kehijauan itu merayap melintasi leher Ara lalu membelit kejap dalam keadaan Ara masih tidak sedarkan diri.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...