-32-

243 33 23
                                    

Suara gemersik hujung jubah labuh yang mengheret ke lantai dan di selang-seli dengan bunyi tapak kaki yang dikuak tergesa-gesa kedengaran bergema memantul-mantul ke segenap arah.Sementara obor bertiang tinggi dan besar dengan ukiran timbul corak naga yang menunjang kawah besar itu menyala menebarkan cahaya putih kekuningan lorong tersebut.

Di sisi kiri dan kanan,tingkap-tingkap tinggi mencecah siling.Tidak berlangsir dan memperlihatkan sebahagian daripada wajah bulan yang tenggelam di sebalik gumpalan awan dinihari. Lalu, di hujung lorong-satu singgahsana megah dengan diapit obor yang lebih rendah kelihatan menadah satu susuk tubuh berjubah dari kepala hingga ke mata kaki.

" Aku harap langkah kaki kau yang tergesa-gesa begitu adalah untuk membawa berita yang menyenangkan. "

Suara rendah itu menyapa membuatkan susuk tubuh yang melangkah tergesa-gesa itu segera menundukkan wajah.Hormat.

" Mereka akan sampai ke pekan dalam masa tengah hari esok. "

Tangan yang menjulur dari sebalik jubah itu mencengkam kejap tongkat di tangannya.

" Persiapkan segalanya. "

" Tapi, Tuan..."

Sang suruhan menundukkan kepala sekali lagi apabila merasakan ada sepasang mata yang memandangnya dari hujung sana dengan tatapan jengkel.

" Katakan! "

" Tuan patut tahu. Dia berjaya mengalahkan Raksasa Pirrha dan Sihir Adratos malahan terselamat daripada Deukalion. Dan seperti yang Tuan arahkan. Saya memerhatikan mereka sepanjang malam. Aneh apabila mereka tidak berjaya dihampiri oleh makhluk Kryez walaupun sepanjang malam makhluk tersebut berlegar-legar di kawasan tersebut dan saya sendiri melihat mereka seolah-olah dilindungi oleh sesuatu seperti lingkungan sihir yang tidak pernah saya lihat. "

" Apa yang cuba kau katakan
sebenarnya? "

" Besar firasat saya mengatakan bahawa gadis tersebut adalah kunci terbesar untuk mendapatkan Kitab Mirria, Tuan. "

" Jika dia akan membawa kita kepada Kitab Mirria.." Suara dingin nan kasar itu jeda seketika " Pastikan dia tidak sempat bertemu dengan Rabay Bertiga. Walau apa sekali pun, bawa dia kepada aku! "

" Akan saya laksanakan, Tuan."

+                +               +

Hari belum boleh dikatakan sudah siang dengan cahaya fajar sidik yang keperakan masih bersisa di langit Timur tatkala mereka mulai bergerak meninggalkan tebing di mana mereka bermalam itu. Unggun yang meninggalkan abu putih dijirus dengan air bagi memastikan tidak ada bara yang tinggal.

Sebenarnya kantuk masih bergayut di kelopak mata Ara tetapi dia tidak membantah apabila tiga susuk tubuh yang hampir sama ketinggian itu mulai menyarung jubah masing-masing dengan senyap dan tahulah dia bahawa itu isyarat agar mereka meninggalkan tempat tersebut.

Terlalu banyak hal yang berlegar didalam benak Ara tetapi dia tahu sangat tidak wajar untuknya bertanya kepada mereka bertiga apatah lagi dalam keadaan dia hanya mengenali tiga orang pemuda itu belum pun mencecah sehari semalam.

" Kami akan meneruskan perjalanan apabila kita tiba di pekan nanti. "

Seperti biasa Panglima Cassiuslah yang lebih banyak meladeni Ara berbanding sahabatnya Panglima Zethus.Putera Reiid usah dikata lagi. Siapa juga tidak mengenali keperibadian pemuda yang satu itu. Dingin dan selalu tidak perduli jika menyangkut hal yang tidak berkaitan dengannya.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now