Malam musim bunga yang semakin dingin membawa embun halus yang gugur seperti diayak oleh dada langit yang gelap.Berguguran menimpa atap jerami rumah berdinding tanah liat yang berdiri di antara batas-batas tanaman tersebut.
Wanita pengasuh yang dipanggil emak oleh Putera Reiid itu melangkah perlahan-lahan dengan sebatang lilin besar di atas pinggan yang sudah sumbing pada tangan kanannya sementara tangan yang satu lagi membentengi nyala kuning tersebut daripada padam ditiup angin yang bertiup sedikit kencang.
Hanya kerana amat jarang sekali dia menerima kunjungan tetamu apatah lagi tetamu yang betah menginap di gubuk tepi jeram itu,maka rumah kecil tersebut tidak dibina dengan ruangan yang terlalu luas dan mempunyai beberapa bilik.Hanya ruang tamu yang kecil dan dua buah pintu yang memisahkan ruang dapur dan juga bilik untuknya.
Untuk Putera Reiid dan juga dua orang pengawal rapatnya yang berkunjung sekali-sekala itu,jika mereka betah bermalam di situ –ketiga-tiga mereka akan lebih senang melelapkan mata di beranda yang tidak berdinding tersebut.
Sudah menjadi tabiatnya jika menerima tetamu,dia amat jarang untuk tidur dengan nyenyak terutama sekali jika anak asuhannya itu bermalam di situ.Sekurang-kurangnya dia akan terjaga dua atau tiga kali sepanjang malam bagi memastikan Putera Reiid mengenakan selimut dengan betul ataupun memeriksa sama ada unggun api di sudut halaman masih menyala atau sudah padam.
Sama halnya seperti kali itu,dia juga tidak dapat melelapkan mata dengan nyenyak dan dia baru sahaja memeriksa sama ada api dalam lubang pemanas di bawah lantai tepat di mana bilik yang menempatkan Ara itu - yang dinyalakan sejak awal malam itu masih menyala bagi memastikan ruang tempat tidur Ara sentiasa hangat.
Dilihatnya gadis tersebut tertidur pulas.Terbaring melentang dengan kedua-dua tangannya ditautkan di atas perut sementara di sisi kanannya sebilah pedang dengan hulu berikat perca kain tergeletak kaku seakan-akan menemani sang tuan dan melindunginya daripada sebarang ancaman.
Seorang gadis yang berbalut pada bahu kanan dan sedang tidur bertemankan sebilah pedang.Gadis muda dengan sebilah pedang sepertinya satu padanan yang sangat tidak sesuai malah ganjil pula.Lazim yang pernah dilihatnya adalah para gadis muda yang berpakaian labuh mencecah tumit dengan baju longgar berpotongan kejap pada bahagian pinggang menyerlahkan ramping lekuk seorang wanita dalam usia yang ranum begitu.
Tidak pernah ada yang dilihatnya berambut pendek seperti Ara kerana rata-rata anak gadis di permukiman itu menyimpan rambut yang panjang sama ada membiarkannya didandan lepas ataupun disanggul rapi dengan bermacam-macam hiasan rambut dari untaian bunga yang dibuat sendiri sehinggalah kepada cucuk sanggul mahal bertatahkan permata yang pada kebiasaannya hanya dimiliki oleh gadis-gadis daripada keluarga bangsawan.
Berpenampilan dan berkelakuan selayaknya seorang wanita .Mahir urusan rumahtangga dan mampu menjadi menantu keluarga dan bakal ibu yang baik.
Dia? Berambut pendek yang tidak pun mencecah bahu malahan dandanannya hampir menyerupai Panglima Zethus yang selalu tampil dengan wajah kaku tidak berperasaan.Baju yang dikenakannya adalah sehelai baju berlengan panjang yang berhud,itupun tompokan sisa lumpur dan warna hijau lebih menyerlah daripada warna asal baju tersebut.Menyarung pula sehelai seluar serta sepasang alas kaki yang aneh.
Dan apa pula yang dibuatnya dengan pedang berhulu dengan motif deretan gigi serigala begitu? Ditambah luka melintang pada bahunya yang terpaksa dibebat dengan ramuan herba penahan darah itu,Dayang Ethra hanya mampu menggelengkan kepalanya tidak faham.
Aneh.Itu adalah tanggapan pertama yang dirasakannya pada kali pertama melihat gadis tersebut.Dan yang paling aneh daripda semuanya adalah gadis tersebut diperkenalkan kepadanya oleh sang pangeran Istana Marduk kepadanya dalam keadaan berlumuran darah.Gadis yang diakui sang putera mahkota junjungan jelata itu telah berhutang nyawa dengannya.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...