-16-

278 31 47
                                    

" Tuanku pasti  yang kita tak perlu campur tangan kali ini? "

Pemuda dengan dagu  tegas  serta sepasang kening hitam memagari mata beriris cokelat cerah itu bertanya sambil anak matanya mengawasi sesuatu di bawah sana yang samar-samar diselubungi kabus tebal.

" Membantu dia bukan keutamaan kita, Cassius. "

Seorang pemuda yang bersandar santai menyahut tanpa membuka matanya sedikit pun. Pedang berbalut perca kain pada hulunya sementara mata pedang itu bersarung dengan sarung yang diperbuat daripada kulit tersandang di belakangnya.Terendak yang dijalin daripada batang mensiang menutupi kepalanya sehingga ke  paras kening menyembunyikan raut wajahnya yang sebenar.

Dia tampaknya sangat santai melekapkan belakangnya ke batang pohon besar itu sambil menutup mata walaupun suhu sekeliling terasa sejuk sementara hujan gerimis mulai turun perlahan-lahan.

" Walaupun kita tidak mahu ada sesiapa yang memasuki Apollyon tetapi membiarkan seseorang dengan tubuh kecil begitu merentasi Tasik Erebus bukankah terlalu kejam? "

Seorang lagi pemuda yang juga mengenakan terendak daripada jalinan batang mensiang yang diraut halus itu menyahut dari cabang besar pohon di sebelah kanan pula menyampuk membuatkan pemuda yang dipanggil Tuanku itu tertawa kecil.

" Dapat memikirkan tentang ufti darah Tembikar Thisbe pastinya bukan idea daripada mereka yang biasa-biasa,Zethus."

Zethus, salah seorang daripada dua pengawal rapat kepada putera mahkota Istana Marduk-Putera Reiid-diam lagi. Bukan tidak mempunyai jawapan kepada kenyataan sang putera tetapi dia lebih memilih untuk tidak menanggapi apa-apa.

Cassius tidak mengendahkan perbualan di antara Putera Reiid dengan Panglima Zethus kerana baginya perdebatan sama ada mereka patut membantu ataupun membiarkan sahaja pendatang itu tidak menarik berbanding dengan memerhatikan susuk tubuh kecil berselubung di atas rakit nun di bawah sana.

Melepasi ufti darah Tembikar Thisbe sahaja sudah cukup mengejutkan bagi mereka tetapi bagaimana susuk itu berhadapan dengan Pirrha - sang penunggu Tasik Erebus yang dikenali juga sebagai Raksasa Seribu Rupa adalah perkara lain yang amat menarik bukan sahaja kerana kemampuannya menjelmakan diri kepada bentuk yang lain bagi menghalang pendatang tidak diundang menyeberangi tasik tersebut dengan selamat namun jauh daripada itu, tidak pernah ada sesiapa pun yang terselamat daripada ancaman Raksasa Pirrha selama ini.

Tasik Erebus.Perisai kedua yang perlu dilepasi seandainya ingin memasuki kawasan penempatan Bangsa Apollyon. Erebus sendiri dalam bahasa Apollyon membawa maksud penipuan. Wujud tasik tersebut mungkin kelihatan seperti tasik-tasik yang lain tetapi disitulah manipulasi dan penipuan Raksasa Pirra bermula. Kabus tipis yang sentiasa menyelubungi permukaan tasik bukanlah kabus yang biasa melainkan kabus sihir yang akan menyebabkan sesiapa sahaja yang meredahnya akan mulai berkhayal dengan halusinasi yang bukan-bukan.

Dan siapa pula yang menyangka untuk melepasi Tasik Erebus boleh menjadi suatu hal yang amat mustahil jika cuba menyeberanginya mengggunakan cara yang biasa sama ada menggunakan rakit atau sampan sama seperti apa yang sedang dilakukan oleh susuk tubuh di bawah sana.

Sementara Raksasa Pirra pula adalah makhluk aneh yang sangat misteri.Kemampuannya menukar wujud kepada apa-apa sahaja membuatkan namanya menjadi sangat tabu dan ditakuti.

Kabus halusinasi Tasik Erebus dan Raksasa Pirra. Dua aral paling besar dan tidak mudah untuk dilepasi oleh sesiapa sahaja. Sekurang-kurangnya itu adalah apa yang dikatakan oleh Rabay Tua kepada mereka sebelum mereka bersurai semalam.

" Tapi.. "

Zethus mengangkat terendak yang menyerkupi dahinya menggunakan hulu pedang di dalam genggamannya sementara sepasang matanya masih tetap memerhatikan keadaan di bawah sana.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now