RABAY BERTIGA
IMBAS SEMULARabay Tua. Seperti nama yang diberikan kepadanya,lelaki itu memang terlihat sudah sangat tua. Renta jika boleh dikatakan demikian. Rambut,kening dan jambang yang meliliti rahang juga dagunya sudah putih seperti kapas.
Matanya juga sudah amat kabur dan pendengarannya tidak berkeadaan lebih baik. Malahan kulitnya sudah boleh dikumpulkan dengan tangan. Jika tongkat di tangannya itu tidak ada, hendak berdiri tegak pun dia terasa amat sukar.
Namun dalam keadaannya yang sedemikian, tidak ada pula seorang pun di dalam permukiman Bangsa Apollyon yang tidak menghormatinya.Daripada kalangan bangsawan Istana Marduk sehinggalah kepada rakyat biasa.
Malahan lebih daripada itu, dia adalah saksi hidup kepada kerosakan besar yang dilakukan oleh seseorang daripada Golongan Mereka Yang Suka Berbuat Kerosakan itu. Dia juga yang menyaksikan bagaimana Istana Marduk kembali pulih dan lebih daripada itu dia sendiri adalah orang yang mencetuskan idea untuk memasakkan sihir-sihir pelindung tidak lain bertujuan untuk melindungi kawasan permukiman Bangsa Apollyon daripada sebarang bentuk ancaman luar.
Mata Rabay Tua yang sejak dari tadi terpejam erat dalam keadaan dia bersila kejap menghadap unggun api yang terletak di tengah-tengah Hut Amra itu mendadak terbuka apabila dengan tidak semena-mena telinganya seperti disambar oleh suatu bunyi berdengung yang memenuhi indera pendengarannya.Ada rasa aneh yang sayup seperti pintasan naluri yang tumpul dirasakan.
Tanpa memperdulikan rasa sejuk yang mulai merajai malam begitu,dia bingkas bangun mencapai tongkat yang tergeletak di sebelahnya lalu dengan langkah yang perlahan,pintu daripada jalinan jerami yang dikepit kejap dengan bilah-bilah buluh beraut halus itu ditolak .Serta-merta juga angin kasar dari luar membawa bersama bau-bauan bercampur-aduk menerpa wajahnya.
Dengan nafas yang berat dia menghela nafas lalu mendongak dada langit yang gelap.Bulan pucat yang tergantung di tengah langit berselubung awan menyisakan bintang bertaburan memenuhi cakerawala.Mata Rabay Tua segera menangkap lima butir bintang yang terletak saling berdekatan antara satu sama lain.Dia kenal bintang itu.
Lima butir bintang yang membentuk segi empat dengan sebutir bintang terletak sedikit jauh di bawah bintang yang lain dan jika dilakarkan ianya bagaikan membentuk layang-layang berekor. Rasi Aste yang melakar megah di langit Selatan menandakan musim bertelur untuk ikan Eeng akan segera tiba sebaik sahaja pohon-pohon Itle mulai mengeluarkan kudup berwarna merah darah daripada celah tunasnya nanti.
Lalu ada pula kelihatan Rasi Oard yang merajai bahagian Timur cakerawala.Rasi yang membawa petunjuk bahawa rumpun-rumpun Ysia akan segera berbunga dan ia membawa makna rusa berbintik merah yang berkeliaran di dalam hutan belantara Lembah Zardus akan melahirkan anak-anak rusa yang mungil dan berbulu mulus dan sudah tiba masanya untuk Istana Marduk mengeluarkan dekri pengharaman berburu bagi memberi peluang kepada haiwan-haiwan tersebut untuk membesar dan berkembang biak agar ia tidak pupus.Lagi pula,tempoh masa tujuh bulan bukanlah suatu masa yang lama jika mengambil kira selepas masa tersebut pemburuan kembali dibenarkan walaupun terhad kepada saiz dan jantina haiwan itu.
Langit adalah seperti sebuah kitab terbuka yang mengandungi kebijakan-kebijakan mengagumkan jika diperhatikan secara benar.Sekurang-kurangnya itulah yang diketahui Rabay Tua yang kini berharap hamparan bintang-bintang di dada langit akan berjaya menjawab galau di hatinya ketika itu.
Namun,apabila matanya menangkap beberapa butir bintang di sebelah kirinya ketika itu-mendadak nafasnya tersengal di pangkal dada.Tiga butir bintang berwarna merah darah yang terletak sederet dan kelihatan hampir antara satu sama lain.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...