-54-

321 37 32
                                    

Bercakap sesuatu dengan Jeneral Arke juga Panglima Cassius serta Panglima Zethus-memang benar tetapi ia tetap tidak membuatkan Putera Reiid lupa melayangkan tatapan menyelidik kepada Ara serta lapan orang pemuda yang sepertinya ingin menyiat telinga gadis tersebut setiap kali dia merasakan tidak ada sesiapa yang memerhatikannya.

Aneh sebenarnya apabila kejadian pemberontakan besar-besaran yang diketuai Tuan Medea itu akhirnya berkesudahan dengan ratusan orang tentera pemberontak yang terselamat daripada belitan akar kayu tersebut menyerah diri dengan sukarela entah mengapa dan serangan tersebut berakhir begitu-begitu sahaja.

Serangan yang pada awalnya seperti akan berakhir dengan pertumpahan darah akibat pertembungan antara pasukan tentera pemberontak dengan tentera kerajaan itu berkesudahan dengan sebuah kejadian yang tidak dijangka sama sekali dan penyebabnya masih menjadi misteri bagi Putera Reiid sendiri.

" Kumpulan yang terakhir, Tuanku. "

Panglima Zethus menghampiri Putera Reiid dan menghulurkan segulung kertas papirus seraya menundukkan kepalanya seketika. Gulungan kertas papirus tersebut dilihat sepintas lalu dan kemudian digulung semula dan kembali di serahkan kepada Panglima Zethus untuk disimpan ke dalam Arkib Diraja.

Senarai nama para pemberontak beserta catatan tentang kejadian tersebut sebagai rujukan di kemudian hari. Para pemberontak yang menyerahkan diri akan diampunkan sementara bagi mereka yang dikesan melakukan kesilapan sama pada masa alan datang akan menghadapi hukuman berat. Satu keputusan pantas yang diambil oleh Putera Reiid bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Mengenakan hukuman mati kepada para pemberontak mungkin suatu hal yang mudah tetapi sejauh mana ia mampu mengelakkan daripada kejadian yang sama tidak akan berulang semula? Bagaimana jika anak-anak mereka yang tidak tahu apa-apa akan bangkit sekali lagi menentang kerajaan disebabkan rasa dendam apabila ayah atau saudara mereka dijatuhi hukuman mati?

Bukankah ia hanya akan mencipta kitaran yang sama berulang-ulang kali dan tidak akan berakhir? Memberikan mereka peluang kedua tidak akan merugikan Istana Marduk sedikitpun.

Banyak bezanya antara patuh kerana takut dengan patuh kerana hormat, Tuanku. Patuh kerana takut akan berakhir apabila mereka mulai berani untuk bangkit semula  tetapi patuh kerana hormat tidak akan mudah untuk diubah melainkan Tuanku melakukan sesuatu yang akan mengikis rasa hormat tersebut. Dan patik percaya, ia adalah hal terakhir yang akan Tuanku lakukan. Bukan begitu?

Kata-kata daripada Ara terngiang setiap kali matanya menatap sengit wajah para pemberontak yang berbaris memanjang itu. Jika hendak diikutkan hatinya, para pemberontak tersebut akan dijatuhi hukuman mati seperti apa yang biasa dilakukan oleh Istana Marduk sebelum ini
Tetapi kata-kata Ara apabila menasihatkan kepadanya secara tidak langsung itu benar-benar membungkamkan Putera Reiid dan diam-diam rasa kagumnya tumpah lagi.

" Tuanku.. "

Segera Putera Reiid menoleh apabila ada suara menyerunya dari belakang.

Lapan susuk tubuh yang hampir sama sahaja ketinggian mereka berderet memenuhi pandangannya.

" Nama saya Eiiden. " Pemuda itu memperkenalkan diri lalu menundukkan kepala " Maaf kerana muncul tiba-tiba seperti tadi. "

" Tidak apalah. " Tiba giliran Putera Reiid pula balas menundukkan kepalanya." Jika bukan dengan bantuan kalian, beta tidak tahu apa yang akan berlaku. "

" Kami benar-benar meminta maaf kerana datang tidak diundang. Banyak hal yang tidak dapat kami jelaskan tetapi percayalah. Kedatangan kami tidak lain adalah untuk membawa Ara pulang semula. "

Seorang pemuda dengan wajah amat persis dengan pemuda pertama tadi mencelah lantas membingkaikan senyuman sekilasnya.

" Aiiden.. " Ujarnya lalu menghulurkan tangan dan disambut pantas oleh Putera Reiid yang kemudiannya mencengkam kejap tangan pemuda itu " Abang Ara. "

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now