" Kalian tahu bukan apa yang perlu kalian lakukan? "
Tuan Erion yang hanya berdiri mematungkan diri antara perbualan-perbualan susuk tubuh di hadapannya itu mendengarkan dengan saksama. Walaupun hal tersebut berkaitan dengannya selaku pemimpin tertinggi Majlis Empayar, orang nombor satu kerajaan-tetapi jika hendak dibandingkan dia dengan susuk tubuh berkot hitam itu-memang dia bukan siapa-siapa.
Membuat segala keputusan terutama sekali tentang hal berkaitan kesinambungan dan kelangsungan Empayar-ya, memang benar dia yang melakukannya itupun setelah mendengar suara majoriti Ahli Majlis tetapi hakikat yang terpaksa diakuinya adalah segala keputusan terakhir terletak di dalam tangan lelaki itu. Jika hitam katanya, mengatakan sebaliknya bakal meminta imbalan yang sangat besar. Nyawa!
Maka, secara tidak langsung Majlis Penasihat bukan apa-apa sementara dia pula adalah topeng yang menyembunyikan wajah sebenar susuk tubuh tersebut.
Tuan Erion tidak tahu sejak bila hal itu mula berlaku tetapi apa yang diingatinya, sebaik sahaja memenangi pungutan suara untuk memahkotakan gelaran Ketua Majlis Penasihat dan dia terpilih dek hasil kerja keras kempen akar umbi di bawahnya, majlis inisiasi tersebut dilakukan dalam sebuah suasana yang sangat aneh. Hanya dihadiri olehnya dan juga bekas Ketua Majlis Penasihat yang lama. Chateu. Begitu mereka menamakan rumah agam yang membiaskan aura seram itu dan ke situlah dia dibawa pada suatu malam.
Melihat puncak bumbung rumah agam yang tirus dan dibungkus kabus seakan tidak pernah mahu menipis itu, Tuan Erion masih ingat benar bagaimana bulu romanya meremang. Dan tatkala telapak tangannya ditoreh sehingga darah menitik ke dalam sebuah bekas tembaga dengan ukiran-ukiran aneh diiringi gumam bahasa asing yang tidak pernah didengarinya sebelum ini, tahulah dia bahawa dia sedang berhadapan dengan satu kuasa kegelapan dan mistik yang tidak boleh dipandang remeh.
Kuasa dan kekuatan ghaib dalam zaman serba canggih adalah dua perkara amat bertentangan antara satu sama lain tetapi itulah hakikat sebenar yang tidak diketahui oleh ramai orang.Sedang segala urusan seharian hampir 80 peratus dikendalikan oleh robot dan android yang berwujud manusia, di situlah dia. Berhadapan dengan susuk tubuh yang sehingga ke hari ini tidak diketahui akan asal-usulnya tetapi memegang seluruh tampuk pemerintahan Empayar melalui tangan-tangannya dalam bentuk manusia sama ada secara benar ataupun secara salah.
" Erion.. " suara dingin tersebut menerpa pendengaran Tuan Erion membuatkan dia tersentak. " Bagaimana dengan barang yang aku minta tempoh hari? "
Tergesa-gesa Tuan Erion meletakkan satu sampul surat yang diletakkan dalam saku kotnya hari itu .Dan tatkala isi sampul surat itu ditumpahkan, jelas kelihatan dua butir kelonsong peluru yang sudah kemik.
Tanpa mengatakan apa-apa,lelaki di hadapannya itu yang hanya dibatasi sebuah meja daripada kayu jati yang licin berkilat-kelonsong peluru tersebut dicapainya manakala empat susuk tubuh lain yang berada di dalam bilik tersebut selain daripada Tuan Erion masing-masing kelihatan tidak berminat sedikit pun.
Sebaik sahaja kelonsong peluru tersebut hilang dalam genggaman lelaki itu, tidak semena-mena sahaja ruangan bilik itu yang kedap dengan tingkap tertutup rapat menjadi berangin. Langsir-langsir gelap yang berat pada tingkap berolak kasar manakala lampu di atas siling berkelip-kelip tidak keruan.
" Aneh.. "
Desis lelaki itu seraya membuka matanya semula dan serentak dengan itu juga suasana bilik tersebut yang kucar-kacir buat seketika menjadi tenang semula. Demi apa sahaja. Tuan Erion sempat menangkap bola mata lelaki di hadapannya itu dengan pantas berubah daripada warna hitam legap kepada sinar mata cokelat cerah dalam hitungan hanya beberapa detik.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...