-18-

293 26 67
                                    

Menjadi orang terakhir yang menyelit dari celah pintu tersebut, Mark segera menuju ke arah sofa panjang di mana sudah kelihatan rakan-rakannya yang lain berada di situ. Eiiden dan Vixx leka membincangkan sesuatu sambil menatap skrin tablet di atas meja manakala yang lain-lain sedang di persiapkan oleh jurugaya yang bertanggungjawab dalam acara awal malam itu.

Malam pelancaran koleksi pakaian sepanjang tahun yang bakal bermula dalam masa sejam lagi semakin bersemarak dengan kesibukan para krew pentas dan begitu juga krew yang bertanggungjawab dalam persiapan belakang tabir termasuklah mempersiapkan para model bagi memperagakan koleksi pakaian tersebut.

Ruangan pameran di tingkat dua berubah wajah dengan salah satu daripada sudut dinding ruangan tersebut dilatari sehelai kain putih yang memenuhi dinding dan tertera tulisan dalam huruf yang bersaiz besar dipancarkan melalui projector bagi mewar-warkan majlis pada malam itu.

Sementara layar putih itu silih berganti menayangkan imej helai demi helai pakaian yang akan diperagakan, lampu-lampu sorot pelbagai warna memancarkan cahaya mengikut tataan krew juruteknik yang diberikan tugasan khusus untuk memastikan majlis tersebut berjalan dengan lancar.

Begitu juga dengan dua tiga orang juruteknik pentas yang mundar-mandir sambil bercakap sesuatu melalui alat perhubungan pada telinga masing-masing.

Di tengah ruangan pula satu pelantar yang sedikit tinggi membentuk huruf T kelihatan berbalut kemas dengan pelapik berwarna putih sementara tubir pelantar tersebut dipenuhi kuntuman bunga pelbagai warna.Dan berderet mengapit kedua-dua sisi pelantar tersebut, ratusan kerusi teratur kemas dan mulai dipenuhi oleh tetamu yang hadir.

Sementara menunggu majlis tersebut bermula, muzik mewah daripada alunan gesekan biola kedengaran dalam temaram ruangan yang samar.Pelayan-pelayan berkot hitam dan bertali leher bertebaran ke segenap ruangan menyajikan minuman dan juga cicipan kecil untuk para tetamu.

Eiiden dilihat Mark sudah selesai digayakan oleh jurugaya yang bertanggungjawab dalam pertunjukan fesyen itu.Seperti kebiasaannya dandanan pemuda itu biasa-biasa sahaja tetapi tetap membiaskan penampilan yang kemas dan tampak elegan.

Dia memilih sepasang persalinan berwarna hitam dari atas ke bawah. Eiiden menyarung kemeja berkolar tinggi yang mengapit leher jinjangnya sehingga mencecah dagu dan kemeja itu diselitkan kemas di celah pinggang sehelai seluar yang juga berwarna hitam. Tidak terlalu ketat dan tidak pula terlalu longgar. Merengkuh kaki sehingga ke buku lali dan mengakhiri penampilannya dengan sepasang kasut hitam yang berkilat dengan sedikit tumit.

Sementara sut hitam yang menindih kemeja itu dibiarkan tidak berkancing. Jam tangan bertali perak melingkar pada pergelangan tangan kanannya. Sedangkan pakaian yang dipilihnya serba-serbi berwarna hitam, rambut Eiiden yang berwarna hitam bertona ungu gelap itu kelihatan kontra dengan wajahnya yang berkulit cerah apatah lagi apabila rambutnya didandan menyerlahkan dahi begitu.

Jika Eiiden memilih sepasang sut serba hitam, Vixx di hadapannya itu pula memilih untuk menyarung kemeja lengan panjang berwarna ungu kelabu yang sedikit berkilau. Sama seperti Eiiden, dia juga memadankan kemeja berkolar itu dengan sut luar berwarna hitam tidak dikancing.Rambut berwarna cokelat pekat menghampiri warna karamel itu disikat memperlihatkan sedikit dahinya lalu menyerlahkan lagi bingkai wajah yang tegas dan maskulin pemuda berbangsa Nymph itu.

Rein yang sedang duduk menghadap cermin besar hampir memenuhi dinding itu mengerling sekilas ke arah Mark yang berdiri di sebelahnya sambil membetul-betulkan letak kot merah darah yang menyarung tubuhnya ketika itu. Rambut pemuda itu berubah nuansa menjadi warna gabungan antara sedikit ungu muda dan warna merah muda samar serta keperakan menyerlahkan tampang wajah berdagu tirus tersebut.

Rambut Mark yang kebiasaannya ditata menutupi dahi didandan dengan menyikatnya ke sebelah kanan menyerlahkan sebahagian dahinya dan sempat Rein tersenyum melihat penampilan sang sahabat. Jika selama ini Mark kelihatan seperti ulat buku yang pendiam, namun dengan disolek sebegitu rupa dia berubah wajah tidak ubah bagaikan model ternama.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now