Perit. Itulah yang dirasakan Ara pada kelopak matanya sehingga memaksa dia untuk bingkas duduk hampir serta-merta.
Hanya perlu beberapa detik untuk Ara segera mengenali tempat tersebut. Pohon rendang di tengah-tengah hamparan padang rumput yang hijau dengan satu buaian tergantung pada dahan paling besar. Bukit rendah yang dilitupi rumput dengan bunga-bungaan liar di mana-mana sejauh mata memandang. Dan akhirnya sebuah rumah agam berbumbung kelabu yang dikelilingi pohon-pohon berdaun hijau.
Rumah Agam. Sah. Tidak silap lagi!
Namun belum sempat seluruh tubuhnya berdiri, beberapa susuk tubuh berdiri tegap menghalang cahaya matahari daripada mencecah wajahnya dan membuatkan seluruh tubuhnya berada di bawah bayang-bayang tersebut.
Dan salah seorang daripada mereka sedang mengacu pedang ke lehernya!
"Aiid.. "
Bingkai wajah dan susuk tubuh yang amat dikenali Ara itu sedang mencerunkan matanya dan tidak kelihatan pun segurat senyum pada riak wajah pemuda tersebut.
" Apa yang...."
Tanpa sempat menyudahkan katanya, Ara kembali terduduk apabila merasakan kulit lehernya perit sekali dan wajah nekad Aiiden tidak mengalihkan mata pedang itu membuatkan Ara menyedari bahawa pemuda itu sedang tidak bergurau dengannya. Tidak berkedip sekalipun, Ara meraba lehernya dan apabila dia menatap lagi hujung jarinya-ada darah merah yang masih suam di situ.
" Pengkhianat !!"
Mark pula menatapnya dengan pandangan jijik menyebabkan Ara lagi-lagi tergamam. Diperlakukan demikian, dia benar-benar tidak tahu apa yang telah berlaku sehinggakan dia digelar dengan satu gelaran yang paling tidak masuk akal.
" Pengkhianat? "
Bersama seringai sinis yang tidak pernah dilihat Ara dibingkaikan oleh Eiiden, dia merentap kasar kolar baju seseorang dan menolaknya ke arah Ara.
Satu kepala berambut putih keperakan tersembam di hujung kaki Ara. Baju yang menyarung tubuh pemuda itu koyak-rabak dan kelihatan ada darah pada tengkuknya. Nafasnya berat dan tinggal satu-satu. Menghela nafas bersama rintihan kesakitan.
" Aarrraaaa..."
Buat beberapa ketika, Ara tergamam apabila jelas sekali pada pendengarannya satu suara yang tersekat-sekat menyeru namanya dalam nada suara antara dengar dengan tidak.
Ara menoleh ke kiri dan ke kanan dengan pandangan bingung. Wajah Eiiden yang tegang, wajah Aiiden yang menatapnya penuh kebencian, Mark memandangnya seolah-olah dia adalah benda paling menjijikkan yang pernah dilihat pemuda itu seumur hidupnya sementara Ken dan Ryu yang mencebik jengkel. Segala-galanya terlalu nyata. Bahkan wajah tidak bersahabat Vixx juga Rein serta N yang berpeluk tubuh memandangnya seperti seekor lipas yang perlu dipijak sehingga lunyai.
Rahang Ara kaku dan dia tidak tahu hendak melakukan apa tatkala Ken menggolekkan tubuh separuh sedar itu dengan menggunakan kakinya.
" Andra!! "
Ara segera menerpa tubuh berlumuran darah itu dan dibalas dengan decihan benci daripada N.
Wajah Andra yang selalu menguntum senyuman sehingga menyerlahkan lesung pipi pada pipi kanannya itu sudah tidak lagi kelihatan sama seperti bentuk asalnya. Sepasang matanya tenggelam dalam bengkak yang membonjol membuatkan matanya hanya seperti dua garis yang kecil. Bengkak biru keunguan mengelilingi mata Andra sementara darah segar mengalir perlahan dari kelopak mata kanannya.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...