-1-

2.8K 110 45
                                    

Susuk tubuh berpakaian serba hitam itu berdiri senyap dalam rengkuhan malam yang semakin dingin dengan angin sejuk yang terasa mengelus belakangnya.Dia tidak perduli kepada butir embun dinihari yang berguguran menimpa kepalanya ketika itu.

Dari kejauhan telinganya menangkap lengkingan bunyi siren kenderaan pasukan keselamatan yang setia mengitari seluruh metropolitan secara bergilir-gilir. Malahan set radio yang ditala agar mampu memintas frekuensi sistem perhubungan pasukan keselamatan berdesis-desis lalu sayup pula menghantar suara dan perbualan ringkas antara pusat kawalan dengan anggota lain yang sedang menggunakan frekuensi yang sama untuk berhubung antara satu sama lain.

Berdiri lama-lama di tepi tasik tersebut atau lebih tepatnya di hadapan pohon rendang itu adalah rutinnya saban malam. Hakikatnya, tidak sukar untuk dia menyelinap keluar tanpa diketahui oleh sesiapa.

Dan lebih daripada itu, dia tidak mahu pemergiannya membuahkan pelbagai tanda tanya daripada sahabat-sahabat karibnya itu. Ditanyai dan bertanya adalah dua perkara yang paling tidak disukainya walau dalam apa keadaan sekalipun.

Perlahan-lahan, dia merapatkan belakangnya ke arah perdu pohon tersebut lalu melabuhkan punggungnya ke atas permukaan tanah yang ditumbuhi rumput subur nan menghijau. Sambil memejamkan matanya, jari-jari tangan kanannya meraba ukiran tenggelam yang ditorehkan ke salah sebuah akar paling besar daripada pohon tersebut dan dia cukup hafal letak akar timbul itu dimana.

Dengan nafas yang berat menunjang dada, dia menutup mata. Merasai selirat ukiran tersebut dengan hujung jari dan mindanya menerawang jauh. Menyusup antara kegelapan malam .Berselirat antara hingar-bingar warga koloni yang seperti tidak pernah mengenal erti malam.

Dalam kegelapan malam, sepasang matanya merayapi binaan-binaan yang mencuar dan ditandai dengan kerlipan neon yang berwarna-warni.Sejauh mata memandang, nun sehingga ke garis horizon di hadapan sana binaan-binaan bangunan tinggi memenuhi penglihatannya.

Dan daripada sekian banyak bangunan pencakar langit yang dibina, bangunan paling tinggi daripadanya adalah sebuah bangunan bermenara kembar yang kelihatan di sebelah kirinya ketika itu. Berkalih menatap langit malam yang kelam pekat,kilat sabung menyabung menyambar penglihatannya membuatkan dia mengeluh.

Merasakan kesatnya kulit kasar pohon tersebut di hujung jarinya, sekali lagi dia mengeluh dalam diam. Hanya apabila memerhatikan koloni yang tegak dalam rengkuhan malam sambil bersandar pada pohon tersebut, tenaganya bagaikan pulih semula walaupun dia tahu ada sesuatu yang sedang menunggunya.

Andai sahaja kepekatan malam boleh memberikan respon kepada segala remuk redam dan resah gelisah yang mengamuk fikirannya ketika itu, pasti akan ditumpahkan semahu-mahunya agar dia dapat lagi berdepan dengan mereka yang lain dengan tubuh dan hati yang lebih ringan.

Dalam diam dia tahu tindakan yang bakal diambilnya itu adalah satu tindakan nekad yang lebih cenderung kepada perkataan gila namun apalah erti kehidupan dan perjuangannya selama ini andai dia tidak berani mengambil risiko tetapi dia juga arif tentang kenyataan bahawa dia perlu mengakhiri segalanya sendirian tanpa melibatkan ramai orang terutama sekali para sahabat dan rakan karibnya itu.

Jauh daripada itu, dia juga faham bahawa tindakannya adalah satu perbuatan yang sangat melanggar hukum alam tetapi hanya itu sahaja jalan penyelesaian yang mampu dijangkau oleh logik akalnya ketika itu.

Tambahan pula, bukan dia yang memulakannya. Dia hanya melakukan apa yang patut dilakukan untuk menjadi benteng terakhir bagi menyonsang arus kejahatan dan kerosakan yang sedang bermaharajalela kini.

Lebih lama dia tidak melakukan apa-apa, akan lebih ramai yang menghadapi natijah buruk bagi melindunginya dan hal itu adalah hal yang paling tidak diingininya tetapi itu jugalah yang sedang berlaku.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now