-37-

269 34 36
                                    

Ruang yang menempatkan bilik tidur Ara sederhana sahaja .Tidak luas dan tidak juga terlalu sempit.Sedang cukup untuk Ara merehatkan diri dengan selesa dengan sebidang kain tebal berisi kapas yang dibentangkan di atas lantai bersama dua biji bantal dan sehelai selimut kapas yang bersih dan berbau bunga Kenanga.Sebuah almari daripada kayu diletakkan rapat ke dinding dan pada bahagian atas almari tersebut ada lilin sebesar pergelangan tangan sedang menyala membiaskan sinar yang samar .

Rasa letih yang membungkus tubuh Ara tidak berjaya mengalahkan rasa siaga yang dirasakannya sejak ditinggalkan sendirian di rumah tumpangan tersebut.Setiap bunyi gemertak lantai yang berderak di bawah tapak kaki orang yang lalu-lalang di beranda membuatkan telinga Ara dipasang curiga .

Sejak selesai menjamah makan malam berupa nasi bercampur barli dan kacang hitam dan diiringi dengan hidangan sampingan sup daging dan dua jenis hidangan sayur-sayuran itu disudahkan dengan cepat tanpa menunggu teh limau madu dihidangkan kepadanya,dia senyap sahaja dalam rengkuhan cahaya lilin yang samar tetapi tangannya tidak lepas daripada menggenggam hulu Pedang Armos .

Di sebalik pintu gelongsor berbingkai buluh yang diraut halus dan dirangkai antara satu sama lain membentuk petak-petak segiempat sama dan kemudiannya ditutup dengan kertas berwarna putih kekuningan serta dihiasi dengan lukisan hitam-putih akan imej pohon tanpa daun tetapi berbunga lebat pada hujung ranting itu,Ara hanya menunggu dalam kesamaran cahaya lilin.

Jika mengikut perhitungannya,matahari sudah terbenam beberapa jam yang lepas dan nyata sekali waktu ketika itu sudah menghampiri tengah malam.Malahan suara hingar-bingar pekan juga mulai senyap dan dengan bunyi kuda yang meringkik-ringkik serta suara orang berbual yang sekali-sekala kedengaran-dia tahu kawasan pekan sudah lengang. Ada sayup-sayup bunyi mergastua malam yang saling bersahut-sahutan entah dari mana.

Bunyi berderak yang amat sayup pada pendengaran Ara disertai dengan bunyi berdesing membuatkan dia kembali membuka matanya dengan pantas dan hampir serta-merta ada beberapa bau lain memenuhi inderanya.Sesenyap yang boleh Ara berjengket memadamkan lilin yang sedang menyala dan ia membuatkan ruangan tersebut diselubungi kegelapan.

Melalui cahaya daripada beranda dan halaman rumah tumpangan yang berbalam-balam menerobosi petak kertas pada pintu yang ditujahnya menggunakan jari telunjuk,beberapa kelibat bayang-bayang hitam kelihatan mengapit pintu bilik itu membuatkan Ara semakin rasa tidak sedap hati.

Sambil merapatkan belakangnya ke dinding,Ara menahan nafasnya dan mengejapkan pegangan ke hulu pedang di tangan kanannya ketika itu.Dia yakin sekali kelibat di luar bilik itu bukan kelibat Putera Reiid,Panglima Cassius dan Panglima Zethus yang sudah berjanji akan bertemu lagi dengannya malam itu.

Ketika melihat salah satu daripada bayang-bayang di luar pintu itu mengangkat tangannya tinggi sementara seorang lagi mencapai bingkai pintu,Ara sudah mengetap bibirnya sambil mencerunkan pandangan dan tepat ketika pintu gelongsor tersebut ditarik ke kiri,Ara melibas mata pedangnya sehingga menyebabkan bingkai pintu terbelah dua dan kelibat di luar pintu itu melompat ke tepi bagi mengelakkan diri daripada dihinggapi mata pedang tersebut.Dan kesempatan itu diambil oleh Ara untuk merempuh pintu yang tergantung senget itu lalu melompat melangkahi tubir beranda yang rendah dan mendaratkan kakinya di tengah-tengah halaman.

Ada lapan orang semuanya,bisik hati Ara sambil mengawasi keadaan sekeliling dengan pedang tergenggam kejap di tangan kanannya sehingga hujung Pedang Armos menyentuh permukaan halaman tanah merah tersebut.

Sambil berundur dua tiga langkah ke belakang,jelas dia melihat susuk tubuh berpakaian hitam yang hanya memperlihatkan bahagian mata itu berlompatan turun melangkahi beranda dan segera mengelilinginya.

Dan jika telahan Ara betul,penyerang-penyerang di hadapannya itu adalah dari kumpulan yang sama dengan gerombolan berkuda yang menyerang hendap mereka berempat dua hari sudah.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now