Bagi yang tidak biasa dengan kawasan tersebut, pasti tidak ada sesiapa yang akan percaya bahawa di sebalik tembok tinggi berlumut dan dipenuhi tong sampah besar yang berbau itu tersembunyi satu pintu.
Setelah memastikan tidak ada sesiapa yang memerhatikannya,dengan pantas dia membongkok dan menarik satu tombol pintu berkarat yang terletak berhampiran tong sampah paling besar yang terdapat di situ dan menyelinap masuk melalui satu tangga sempit yang hanya sedang muat untuk seorang melaluinya pada satu-satu masa.
Tangga sempit itu membawanya menuruni lorong pengap dan berakhir disebuah pintu lain di hujung lorong dengan sebuah lampu tergantung malap di atasnya. Dengan sebelah tangan diseluk ke dalam poket seluar denim biru kusam yang merengkuh sepasang kakinya, sebelah tangannya pula mengetuk pintu besi berkarat tersebut dengan pola ketukan yang hanya diketahui mereka sambil mendongak keatas bagi memastikan wajahnya terlihat sepenuhnya oleh kamera pengawasan yang tersorok di sebalik selirat sawang labah-labah yang dibiarkan tebal dan tidak terusik.
Hanya jeda beberapa saat ,kedengaran keriut kunci diputar dan daun pintu berkarat tersebut ditarik ke dalam menyerlahkan satu bingkai wajah berambut biru samar yang menatapnya dengan pandangan khuatir.
Pertanyaan yang sudah diduga akan diutarakan kepadanya itu tidak diendahkan dan tanpa menyahut apa-apa, dia mencelah melalui daun pintu yang dikuak kecil lantas menapak perlahan menuju ke tengah ruangan tersebut sambil menanggalkan jaket berhud yang menyarung tubuhnya menyisakan kemeja berkolar bulat berwarna hitam.
Di ruangan tersebut, selain dia dan pemuda berambut biru samar itu-ada lagi empat susuk tubuh lain berada di situ.
Dihadapan sebuah skrin besar yang berkelip-kelip hampir memenuhi separuh daripada dinding dihadapannya, satu susuk tubuh berbahu lebar sedang menaip sesuatu pada papan kekunci digital tersebut dan demi mendengarkan ada seseorang memasuki ruangan tersebut dia memusingkan kerusinya dan menghadap wajah gusar tersebut.
" Apa? " Pemuda tersebut mengangkat bahu dengan menjongketkan kening apabila menyedari dia menjadi tumpuan setiap pasang mata yang berada disitu. " Aku cuma keluar ambil
angin. Salah? "Suasana hening seketika sebelum pemuda berambut hitam pekat dengan sebatang pen terselit dicelah telinganya itu berdehem lalu menekan satu kekunci pada pad digital di hadapannya. Hampir serta-merta pula segenap perhatian yang tumpah kepada pemuda yang satu lagi beralih.
" 200,000 UB.. " Tunding pemuda berambut hitam menggunakan pen pada cuping telinganya. " Teka siapa yang akan terpaksa menelan pil tahan sakit sekarang? "
" Datuk Bandar? " Pemuda berambut biru samar yang membukakan pintu sebentar tadi menyampuk dan meletakkan tangannya ke bahu pemuda di hadapan panel digital tersebut.
" Betul." Sahutnya lalu mengangguk kecil.
" Seperti biasa buat pembelian atas talian.Kita akan agihkan kepada penduduk di seluruh koloni. Utamakan apa yang perlu. Makanan dan ubat-ubatan serta pakaian untuk musim sejuk."
" Baik. Anggap ia sudah selesai."
" Aku rasa mereka sudah memulakannya. Sudah beberapa hari aku dapat merasakan gelombang elektromagnet aneh yang kuat. Apa kalian fikir apa yang disampaikan perisik kita di Pusat Empayar sana betul? "
Seorang lelaki mencelah dalam suram sudut bilik tersebut yang tidak dapat dicapai oleh sinar lampu di atas siling. Wajah tegas yang dibingkaikan oleh pahatan dagu kukuh dan dipayungi oleh rambut panjang mencecah bahu yang diikat tidak kemas di belakang kepalanya menyisakan helaian rambut yang menjulai disisi pelipis kiri dan kanannya tetapi masih menyerlahkan dahinya yang bersih tanpa cacat cela. Walaupun nuansa wajahnya tampak dingin dan tegas dibiaskan oleh sepasang mata yang menyorot tajam begitu, kombinasi hidung mancung dan bibir nya serasi dengan warna kulit yang cerah menyamarkan kesan aneh pemuda itu.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...