Ruang makmal penyelidikan yang terletak di tingkat bawah itu kelihatan terang benderang dengan semua lampu besar segiempat tepat di atas siling dinyalakan serentak sementara pendingin hawa juga dipasang.
Walaupun pada waktu kebiasaan ruangan tersebut sememangnya begitu-begitu sahaja tetapi hari itu kawasan khas di tingkat atas dihiasi dengan pasu-pasu berisi bunga hiasan manakala ruangan itu berderet dipenuhi dengan deretan kerusi bersarung biru putih yang siap dengan hiasan berupa sulaman yang membentuk logo Keluarga Lycan.
Ruangan peninjauan tersebut sudah hampir penuh dengan tetamu yang hadir bagi menyaksikan sendiri majlis pelancaran perisian teknologi Android M 2.0 .Ia adalah sebuah teknologi ciptaan terbaru kumpulan penyelidik daripada jabatan Reka Cipta Kumpulan Lycan yang diketuai oleh Ken dan juga Rein.Sebuah program hasil daripada usaha keras dan penyelidikan selama bertahun-tahun untuk mencari sumber tenaga buruh alternatif bagi menggantikan tenaga buruh sedia ada.
Sementara tangga di sudut kiri dan kanan ruang tersebut menghubungkan tingkat bawah dengan ruang peninjauan, ruangan lantai bawah hampir dipenuhi oleh belasan orang lelaki dan wanita yang menyarung baju makmal berwarna putih dan ada diantara mereka yang sibuk menaip sesuatu pada panel digital di hadapan masing-masing.
Yang paling sibuk pastinya Ken dan juga Rein yang merupakan tunggak utama penemuan teknologi android tersebut. Ken dengan kaca mata bertenggek di atas batang hidungnya sibuk meneliti paparan pada skrin besar di hadapan ruangan peninjauan tersebut yang akan memaparkan secara terperinci penemuan tersebut serta faedah dan juga kebaikan yang tersembunyi di sebalik teknologi tersebut.
Lantai atas yang berbentuk bulat dan merupakan beranda berdinding kaca menganjur keluar daripada ruangan persidangan serta pintu utama kompleks penyelidikan itu.Jika Ken dan Rein sibuk mengendalikan segala aspek teknikal di sebalik pelancaran program android tersebut, si kembar Lycan - Eiiden dan Aiiden, Vixx, Mark juga N melayani tetamu penting yang menghadiri majlis tersebut.
Mengenakan sut formal yang kemas membalut tubuh masing-masing, mereka kelihatan kemas,megah, berkarisma,segak dan menebarkan persona yang menerbitkan rasa kagum para pengunjung awal tengah hari tersebut.
Sementara Rein juga tidak kalah apabila dia kelihatan meneliti skrin tablet mini yang dipegangnya lalu sekali-sekala bercakap sesuatu dengan seorang lelaki muda yang merupakan pembantunya bagi melicinkan majlis pelancaran itu.
Jika tidak bercakap dengan pembantunya, dia akan melihat sekali lagi paparan pada skrin komputer yang disambungkan kepada projektor dan kemudian akan bercakap dengan seseorang di hujung talian menggunakan peranti bersaiz telefon bimbit berantena di tangannya.
Sebagai personel yang bertanggungjawab dalam hal-hal teknikal majlis pelancaran tersebut, dia tidak mahu usaha keras mereka selama bertahun-tahun menjadi sia-sia disebabkan kesilapan kecil. Bukan sahaja kerana dia tahu majlis tersebut amat penting kepada mereka, tetapi juga Rein sedar kejayaan majlis juga merupakan landasan kejayaan mereka pada masa akan datang.
" Qiffy.."
Rein menggamit seorang gadis berwajah cerah yang leka mengatakan sesuatu kepada seorang pemuda lain. Qiffy, gadis muda dalam usia pertengahan 20-an yang jika berdiri hanya separas bahu Rein.Mengenakan sepasang pakaian formal berupa sut feminin hitam yang dikancing rapi membalut tubuh langsingnya.
Dengan sedikit solekan bernuansa cokelat muda, rambut hitamnya disanggul rapi ke belakang kepala. Sepasang kakinya direngkuh oleh kasut warna sama bertumit tinggi manakala kaca mata berbingkai warna gangsa bertenggek di atas batang hidungnya . Gadis tersebut merupakan salah seorang daripada jurutera bunyi daripada Jabatan Teknikal yang dipinjamkan khusus untuk majlis tersebut.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...