Di hujung jalan tanah merah dan dalam keadaan rumah-rumah penduduk mulai rapat sementara atap rumah tersebut sudah ada yang diperbuat daripada genting dengan dinding yang lebih kukuh,perbatasan di antara kawasan perdesaan dengan kawasan pekan jelas ditandai dengan binaan tembok yang tinggi daripada batu-bata membataskan penglihatan Ara untuk melihat apa yang berada di sebalik tembok tersebut.
Sebuah pintu berdaun dua yang besar ternganga manakala pada kiri dan kanan pintu tersebut berdiri tegak empat orang pengawal yang lengkap dengan senjata masing-masing. Dua pada sebelah kanan dan dua lagi pada sebelah kiri mengawasi penduduk yang keluar-masuk ke kawasan pekan dengan pandangan mata setajam helang.
Sementara itu di bahagian atas tembok tersebut,ada susuk tubuh para pengawal yang lalu lalang dengan membawa tombak-mengamati seluruh kawasan dengan lagak bersiap-siaga tidak akan teragak-agak untuk merejam tombak tersebut ataupun mengisyaratkan para pemanah yang bersiap sedia pada pos-pos kawalan yang beratap untuk melepaskan panahan jika ada kelakuan yang mencurigakan mereka berlaku di bawah sana.
Di atas tembok tinggi,berderet panji-panji lambang kebesaran kerajaan berupa bendera berwarna merah dengan jata seekor naga yang sedang menyemburkan api daripada celah rahang yang disulam dengan benang emas .Berkibar megah ditiup angin yang sedikit kencang lewat tengah hari itu.
Ara hanya berdecih melihat Putera Reiid menurunkan terendak yang menyerkup kepalanya lebih rendah dan dalam masa yang sama pula menanggalkan butang besar yang menautkan hujung mantel yang dipakainya dan Ara tahu mengapa pemuda itu melakukan hal sedemikian.
Bukannya sukar untuk ditebak kerana jata pada bendera kebesaran Istana Marduk itu persis sekali dengan jata yang terukir pada butang besar pada mantel pengembara yang sedang dikenakan Putera Reiid.Melihat kelakuan pemuda itu,Ara segera mengerti bahawa jata tersebut hanya digunakan oleh keluarga diraja sahaja dan jelas dia tidak mahu identitinya yang sebenar diketahui oleh para pengawal di hadapan pintu besar tersebut.
Tumpuan Ara tidak beralih daripada gerak-geri aneh tiga pemuda di hadapannya itu. Panglima Cassius mara ke hadapan seraya mengeluarkan sesuatu daripada celah saku baju yang dipakainya.
Melihatnya,pengawal yang berada dihadapannya itu tunduk hormat lalu separuh berlari anak ke arah seorang lagi pengawal yang tampak lebih megah penampilannya dan diyakini Ara sebagai pegawai atasan mereka.Mereka berbisik-bisik seketika sebelum lelaki yang satu lagi mengekori pengawal tersebut juga separuh berlari.
Hanya sekilas Ara melihat Panglima Cassius menganggukkan kepalanya manakala Panglima Zethus mengangkat terendak yang dipakainya bagi memperlihatkan wajahnya dan hampir serta-merta kedua-dua pengawal tersebut tunduk hormat.Barangkali segera mengenali wajah dua pengawal rapat kepada putera mahkota Istana Marduk.
Hanya kerana Panglima Cassius dan Panglima Zethus sudah memperlihatkan wajah masing-masing dan sekaligus memberi jaminan bahawa dua lagi susuk tubuh yang mengekori mereka tidak akan mendatangkan ancaman walau dalam apa bentuk sekalipun,kedua-dua pengawal tersebut pantas membenarkan Ara lalu di hadapan mereka dan dalam masa yang sama juga menunduk hormat kepadanya namun kembali tegak dan mengeraskan suara dalam nada mentertibkan apabila ada beberapa orang penduduk kampung yang berjalan tergesa-gesa mengekori rombongan di hadapan mereka.
Keriuhan pekan yang hiruk-pikuk adalah hal pertama yang disedari Ara.Jika kawasan perdesaan di luar tembok sana adalah merupakan kawasan penempatan penduduk yang lebih senyap dan tidak sibuk,hal itu amat berbeza sekali dengan keadaan yang sedang terhidang di hadapan matanya ketika itu.
Rumah-rumah beratap genting terletak saling berdekatan antara satu sama lain mengapit lorong pejalan kaki pada kedua-dua belah.Dan daripada pemerhatian sekilas Ara,sepertinya pembinaan rumah-rumah beratap genting itu dirancang dengan baik kerana pada setiap lorong yang berbeza,barang-barang yang dipamerkan juga berlainan.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...