Sama ada cuaca di kawasan tersebut memang sentiasa remang atau hari sudah beranjak menghampiri senja, Ara langsung tidak pasti kerana sejak masih berada di seberang tasik sana-suasana persekitaran kelihatan samar-samar dengan cahaya matahari terlalu sedikit dapat menembusi litupan kabus dan juga naungan pohon tinggi yang mencuar tegak ke atas.
Sambil berdiri dalam keadaan separuh tidak percaya, Ara hanya memerhatikan sahaja rakit senget separa tenggelam yang ditumpanginya sebentar tadi bergerak perlahan menjauhi tebing landai dan becak itu.
Tepat ketika rakit tersebut tenggelam perlahan ke dasar tasik, rumpai air dan mensiang yang memenuhi permukaan tasik kelihatan kembali bercantum bagaikan tidak pernah terusik sedikitpun. Suasana senyap dan tenang kembali memeluk tebing berkabus itu.
Seperti apa yang dijanjikan oleh pemuda misteri berselubung itu, rakit tersebut benar-benar menyentuh tebing tasik sebelum ia kembali bergerak ke tengah lalu tenggelam begitu sahaja.
Sebuah tebing yang landai dan becak menyambut Ara dengan akar-akar pohon berselirat separa tenggelam di antara timbunan daun yang memenuhi permukaan tanah. Besar dan dilitupi lumut hijau. Begitu juga dengan bonggolan batu yang kelihatan di mana-mana. Tanah yang becak dan licin dilitupi daun lembab serta ranting yang nampak basah menyeruakkan bau lumpur sekaligus bau tengik yang aneh.
Dengan menghela nafas,Ara melangkah pantas mendaki tebing dan akar kayu yang berselirat memudahkannya untuk menaiki tebing tersebut walaupun tebing tersebut agak sedikit curam ditambah dengan permukaan tanah yang licin dan berlumpur.
Pohon-pohon tinggi yang dipenuhi lumut hijau memenuhi penglihatan Ara.Walaupun tidak rapat, namun saiz yang hampir sama sahaja pada matanya membuatkan dia sukar untuk membezakan arah apatah lagi dengan bilah cahaya matahari yang amat sedikit mencecah dasar hutan.
Di mana-mana, akar pohon bertimbulan di antara bonggolan batu dan juga daun serta ranting mati. Sementara lumut tebal menutupi batu dan tumbuh pada sesetengah cabang pohon yang besar dan ada diantaranya menjulai ke bawah hampir menyapu kepala, sayup-sayup Ara mendengar bunyi gemersik air yang mengalir.
Hanya itu.Selain bunyi air yang mengalir, tidak kedengaran bunyi haiwan ataupun serangga hutan seperti kelazimannya.
Setelah melangkah buat beberapa ketika, tatkala matanya singgah ke sebuah kawasan yang rata dan terlindung di antara dua bonggolan akar yang besar dan kelihatan telah berusia ratusan tahun-Ara mengambil keputusan untuk berehat sebentar di situ. Mengambil sedikit masa untuk kembali menyusun fikirannya setelah berhadapan dengan hal yang dianggapnya sangat tidak masuk akal.
Dengan keadaan yang semakin gelap, cuaca dingin pula terasa menyelubungi kawasan sekitar menyebabkan Ara mengerekot kedinginan.Dia tahu tidak ada gunanya jika dia meneruskan perjalanan dalam keadaan begitu apatah lagi berada di sebuah tempat yang sangat asing. Lantai hutan yang lembab dan becak ditambah angin sejuk yang berhembus sesekali membuatkan gigi Ara bergemertak kedinginan.
Masih sangat beruntung macis yang dibawa Ara tidak basah dan masih boleh digunakan untuk menyalakan api walaupun beg yang disandangnya sudah lembab dan berat. Beg diletakkan ke tanah dan Ara segera menggumpulkan ranting kecil yang berselerak di atas permukaan tanah yang dilitupi daun-daun mati itu.
Melonggokkan ranting tersebut di satu tempat dan mula menyalakan api namun dek kerana keadaan yang sedikit basah ,ranting dan daun yang dikumpulkan Ara hanya mampu mengeluarkan api yang sangat kecil sedangkan asap pula memutih tebal melenggang-lenggok naik ke udara.
Semakin ditiup, semakin banyak asap yang terhasil dan Ara akhirnya membiarkan sahaja unggun kecil itu begitu menyisakan Ara yang terbatuk-batuk dengan mata perih.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...