-52-

316 35 25
                                    

Si No. 4 itu mundar-mandir dengan wajah pucat entah mengapa dan ada rasa aneh yang berdesir di dalam pembuluh darahnya apabila mengenangkan kembali apa yang telah berlaku sebelum ini.

Sementara No. 7 pula cuba untuk mempamerkan riak wajah bersahaja tetapi di dalam hati-dia merasakan ada sesuatu yang sedang berlaku.Hanya sahaja dia tidak dapat menjelaskan dengan perkataan.

Dalam kalangan Shiya, tidak ada sesiapa yang tidak tahu kisah Hawk tetapi jelas sekali tidak ada yang mahu membangkitkan hal itu terutama sekali di hadapan sang empunya tubuh yang kini kelihatan mundar-mandir dengan sangat gelisah.

Bukan dia tidak ingat. Pertama kali pemuda itu dibawa ke Mojjo pada suatu hari oleh Tuan Andrea,Hawk masih berada dalam awal usia dua puluhan. Malahan tampangnya masih lekat dalam memori No. 7 .Berambut sedikit panjang mencecah bahu yang diikat tidak kemas ke belakang kepala dan hanya menyarung baju tanpa lengan-itupun jelas berlumuran darah.

Susuk tubuhnya tinggi dan pejal berotot walaupun tidak kekar dan banyak sekali parut yang melintang pada kedua-dua bahunya. Sorot mata pemuda itu dingin dan tajam tetapi kelihatan kosong. Mati. Dia tidak banyak bercakap malahan tidak keterlaluan jika dikatakan penumbuknya lebih pantas daripada kata-kata ketika dia membuka mulut.

Daripada bisik-bisik yang didengarinya, tahulah dia bahawa pemuda yang dikenali dengan nama Hawk itu ialah seorang jaguh tinju jalanan yang sukar ditewaskan malahan terkenal dengan sikapnya yang tidak teragak-agak pula untuk mengacu pisau kepada sesiapa sahaja. Maka dalam waktu yang singkat, Hawk menjadi susuk yang digeruni sesiapa sahaja di Mojjo.

Dengan reputasi sebagai peninju jalanan yang mampu meninju beg pasir seberat 50 kilogram itu sehingga bergoyang ke kiri dan ke kanan, Hawk rupanya memang memiliki bakat untuk menjadi Shiya elit Empayar. Ketika para penembak tepat yang lain mengambil sedikit masa untuk menenangkan diri di hadapan senjata-senjata khusus untuk para penembak tepat sepertinya-Hawk sama sekali tidak terusik walau dalam suasana apa sekalipun malahan tembakan yang dilepaskannya tidak pernah tersasar.

Malahan,Hawk juga menguasai beberapa jenis seni mempertahankan diri dan mahir pula dalam pertempuran jarak dekat sama ada bersenjata ataupun tidak.

Mahir, seorang penembak tepat yang sukar ditandingi, petarung handal,tidak berperasaan dan berhati kering. Lima ciri khas yang pantas menjadikan dia sebagai antara Shiya terbaik Empayar.Dan pada akhirnya, dia mendapat tahu secara tidak sengaja bahawa Hawk memiliki sejarah lampau yang hitam dan kematian adiknya adalah sebab terbesar yang menyebabkan dia menyerahkan diri dengan rela kepada Empayar.

Mencari siapa yang bertanggungjawab terhadap kematian tragis adiknya dan membalas dendam
adalah dorongan paling kuat dalam hubungan antara Hawk dengan Empayar.

Dalam masa yang sama juga, suasana di dalam bilik sempit itu senyap sunyi dan hanya bunyi gemertak jari kurus Irisa kedengaran mengetuk kekunci komputer di hadapannya ketika itu. Dalam pada dia sibuk menaip sesuatu,sesekali matanya mengerling susuk tubuh No. 4 yang resah tersebut.

" Bagaimana mungkin kau pasti dia adalah Raven?"

Mendadak ruangan tersebut pecah dengan pertanyaan menyelidik daripada No. 7 . Mendengar pertanyaan tersebut, No. 4 memaku langkahnya ke lantai.

" Parut ini " Sahut No. 4 lalu mempamerkan parut pada lengan kanan gadis tersebut yang masih juga tidak sedarkan diri. " Aku yang menyebabkannya. Mustahil untuk aku tersilap. "

" Tetapi wajahnya.... "

" Projek Eusebeia.. "

Irisa mengigit bibirnya yang sejak tadi terasa kaku tetapi menggeletar ingin mengungkapkan sesuatu. Sudah terlalu lama dia ingin memberitahu hal itu tetapi sepertinya tajuk tersebut sangat tidak sesuai untuk dibicarakan mereka apatah lagi dengan janji taat setia yang telah mereka lafazkan kepada Empayar.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now