Alfi mengetap giginya sehingga menampakkan bentuk rahangnya di kedua-dua belah kiri dan kanan. Wajahnya memerah menahan amarah yang amat sangat. Gambar-gambar intim isterinya bersama seorang lelaki yang tidak dikenalinya itu dicampak di atas meja kerjanya. Melihat gambar-gambar itu seperti merobek-robek dan mencarik-carik hati lelakinya. Entah siapa yang mengirimkan gambar-gambar itu dia tidak tahu. Yang dia tahu, saat ini hatinya mendidih apabila mengetahui kecurangan isteri yang dicintai sepenuh hati itu.
Mood kerjanya terbang melayang padahal masih banyak dokumen-dokumen yang perlu disemak semula. Tidak semena-mena, segala fail dan kertas-kertas di atas meja kerjanya ditolak hingga jatuh ke bawah. Dadanya berombak kencang. Hanya Tuhan yang tahu betapa sakitnya hati seorang Alfi Hareez saat ini.
***
Jam sudah menginjak ke angka dua belas tengah malam namun kelibat Alfi masih belum kelihatan. Hasya mulai resah. Belum pernah Alfi berkelakuan begini. Selalunya suaminya itu akan memaklumkan kepadanya apabila dia terpaksa pulang lewat. Saat ini, bukan sahaja dia tidak dimaklumkan tentang kelewatan suaminya pulang ke rumah, malah telefon bimbit suaminya itu turut dimatikan. Isteri mana yang tidak risau apabila tidak mendapat sebarang khabar berita daripada suaminya.
Tidak betah menunggu lama, Hasya bersiap-siap. Dia perlu mencari suaminya. Risau sekiranya terjadi apa-apa kepada suaminya itu.
Saat Hasya hendak keluar dari pintu rumah, tiba-tiba kelihatan kereta Alfi masuk ke perkarangan garaj rumah mereka. Hasya menarik nafas lega. Segaris senyuman diukir lalu dia menghampiri kereta suaminya yang diparkirkan di belakang kereta miliknya.
Dari dalam kereta, perasaan Alfi begitu benci dan meluat melihat wajah isterinya saat itu. Senyuman yang selama ini mendamaikan jiwanya selama ini tiba-tiba bertukar menjadi racun berbisa yang mampu merosakkan hatinya kala ini.
Alfi keluar dari perut keretanya dengan wajah yang tegang bahkan tiada segaris senyuman pun yang terpamer di wajahnya.
"Lambatnya abang balik? Sayang risau..."
Hasya bersuara manja. Ikutkan hati wanitanya, mahu saja dia membebel kepada suaminya itu namun dek kerana melihat wajah tegang suaminya itu, dia membatalkan niat untuk membebel.
Mungkin suaminya penat. Itulah yang bermain-main di fikiran Hasya apabila melihat wajah tegang suaminya itu. Dia cuba berfikiran positif.
Alfi diam tidak membalas kata-kata isterinya. Selama ini dia begitu teruja untuk pulang ke rumah dan tidak sabar-sabar mahu berjumpa isteri dan anaknya namun kali ini situasi agak berbeza. Saat ini, dia begitu benci melihat wajah tidak bersalah Hasya dan kepura-puraan isterinya itu!
Hasya menghulur tangannya untuk menyalami tangan suaminya seperti kebiasaan mereka namun Alfi langsung tidak menyambut huluran tangan isterinya sebaliknya dia terus saja berlalu melintasi Hasya membuatkan Hasya terkedu. Bahkan, tiada langsung ciuman hangat di dahinya seperti biasa.
'Apa salah aku?'
Soal Hasya di dalam hatinya.
***
YOU ARE READING
HASYA ✅
RomanceBerkahwin dengan duda anak satu??? Ya. Itulah keputusan yang dibuat oleh Hasya Fathini setelah dilamar oleh seorang duda anak satu, Alfi Hareez demi keinginan seorang kanak-kanak yatim yang merindui belaian manja dari seorang ibu. Nyatanya, Hasya t...