BAB 46

159 20 3
                                    

SEBULAN YANG LALU

Seorang tukang tilik nasib telah dibunuh oleh pembunuh upahan dari pasukan Meliniar selepas mendapat maklumat daripada wanita tersebut berkaitan kemunculan Shin Zaori di Jepun. Wanita tua itu dimarahi kerana lambat memberi maklumat dan melepaskan Jauhari pergi dari situ tanpa mendapatkan sebarang maklumat tentang lokasi rumah sasaran mereka. Kata-kata Jauhari kepada wanita tua itu bukan hanya kata-kata.

"Melihat masa depan bukan sesuatu yang saya inginkan. Tapi masa depan yang datang kepada saya untuk dilihat. Kalau betul nenek ni penelek nasib. Mungkin faham maksud saya."

"Sebab masa depan nenek yang saya lihat. Nenek akan mati dibunuh sebab tak nak beri kerjasama. Lagi pun, Meliniar mesti tak akan maafkan nenek sebab bebaskan saya yang ada depan mata ni. Sepatutnya nenek bunuh saya sebab saya tahu pasal ni. Sebaliknya nenek lapor kepada mereka. Nenek tak boleh lawan dengan saya sebab nenek tak mampu. Tu yang saya lihat."

"Dia betul." Kata-kata terakhir wanita itu sebelum menghembus nafas terakhirnya.

Dia kehilangan nyawanya kerana tidak percaya dengan kata-kata Jauhari. Dia fikir remaja itu mengajuknya dengan lagak seorang penelek nasib. Ternyata dia silap.

Situasi ini disaksikan sendiri oleh Jauhari yang keluar pada waktu malam untuk mengekori wanita yang menjadi sebahagian daripada penjual maklumat dan ahli Meliniar. Wanita itu juga mengenali Mose Dante kerana mereka sama-sama penjual maklumat di negara tersebut dan sering bertemu. Namun, dia tidak mengetahui bahawa lelaki itu sebenarnya ketua organisasi. Dia juga yang menyuruh seseorang bertemu wanita itu untuk mendapatkan maklumat sebelum dibunuh. Mose Dante atau Maxsium Bill bimbang jika wanita itu mengetahui identitinya dan bekerjasama dengan Jauhari.

"Sudah aku kata. Ajal dah tiba." Kata Jauhari dengan tenang di sebalik pakaian ninja. Dia berdiri di atas sebuah bumbung bangunan berhampiran.

Lelaki yang membunuh wanita itu merasakan bahawa dirinya diperhati oleh seseorang. Dia melihat ke atas. Jauhari berdiri di situ.

"Kau siapa?"

Jauhari terjun dari bangunan dan berdiri di hadapannya. "Aku dari pasukan ninja. Tengok kau buat kerja."

"Heh! Bos tak percaya aku buat kerja ke?" Lelaki itu kelihatan tenang.

"Entah. Aku ikut arahan je." Jawab Jauhari acuh tak acuh.

"Ah! Susah la macam ni. Sampai bila kita nak terus kejar Shin Zaori macam ni? Dah la maklumat pasal dia pun susah cari." Lelaki itu mengeluh.

"Bos tak ada beri maklumat ke?"

"Ah! Tuan Mose beritahu identiti dengan gambar je. Alamat rumah dan hal lain tak beritahu. Itu yang jadi susah nak cari. Kau tak ada apa-apa maklumat ke? Ketua kau tak ada cakap apa-apa?"

"Tak ada. Aku hanya orang bawahan. Ketua aku tak kata apa-apa pun. Aku datang ni pun sebab ketua aku kata bos suruh perhatikan kau buat kerja. Risau ajal kau tak lama."

"Heh! Dia fikir aku lemah?"

"Tak. Cuma kau terlalu yakin kau kuat." Kata Jauhari sebelum menghilangkan diri daripada padangan lelaki itu.

Sedar sahaja, dia sudah sesak nafas dan tersungkur di atas tanah. Teknik ular berbisa milik Jauhari memang berbisa. Tambahan pula, dia mendapat tahu bahawa seseorang yang dia akui kawan selama ini menjadi dalang di sebalik kes tersebut sehingga melibatkan keselamatan bapanya.

Teknik ini tidak membunuh mangsa segera. Sebaliknya mangsa akan mengalami sesak nafas dan perlahan-lahan akan meninggal dunia jika bernasib malang. Jauhari tidak berminat untuk membunuh. Dia hanya melepaskan perasaan geram sehingga menggunakan seluruh tenaganya dalam satu teknik.

DETEKTIF YAKUZAWhere stories live. Discover now