BAB 6

246 23 0
                                    

Manusia di atas katil berteknologi tinggi itu dilihat oleh seorang lelaki berkot putih. Cermin matanya ditolak sedikit untuk membetulkan kedudukan. Jari-jemarinya pantas menekan papan kekunci pada komputer riba yang disambungkan dengan wayar di setiap tubuh manusia itu.

Perlahan-lahan mata manusia tersebut dibuka selepas lelaki berkot putih menekan papan kekunci 'Enter'. Manusia yang hanya berseluar pendek itu melihat ke arah lelaki berkot putih yang senyum kepadanya.

"Selamat kembali, Tuan Reez." Sapa lelaki berkot putih itu.

Diri lelaki berkot putih itu diperhatikan oleh manusia tersebut. Rambut berwarna hitam dan terdapat sedikit warna perang. Matanya berwarna biru dengan cermin mata berbingkai hitam. Wajahnya muda seperti berusia 20-an walaupun usianya sudah 35 tahun. Dia memakai subang dan rantai berwarna perak.

"Kau siapa?" Tanya manusia itu kepada lelaki itu.

"Nama saya, Prof. Carlos. Saya ditugaskan untuk menjaga, merawat dan membaiki tubuh Tuan Reez." Jawabnya.

"Apa dah berlaku?"

"15 tahun dah berlalu. 15 tahun juga Tuan Reez tidak sedarkan diri sehingga hari ini. Saya diminta untuk bangunkan Tuan Reez. Tuan Kawazaki minta selesaikan masalah Ame Sakura. Ada orang dah guna nama Ame Sakura dalam Malaysia dan buat onar." Jelas Carlos.

Carlos William.

Nama yang sangat terkenal dalam kalangan saintis Ame Sakura selain Mizuhoshi Kimi. Dia ditugaskan untuk menguruskan Reez sejak Reez mengalami kecederaan yang teruk.

Mohd. Fareez Bin Abdul Ghani.

Manusia yang hebat ini telah dihantar ke Malaysia bersama-sama isteri dan anak Kawazaki pada 15 tahun yang lalu. Dia ditugaskan untuk menjaga keselamatan mereka berdua bersama-sama dengan Híden, Umar dan tiga orang lagi orang kepercayaan Kawazaki. Fareez dikenali sebagai manusia terkuat dalam kalangan ahli Ame Sakura dengan gelarannya, Silent Killer.

Tetapi dirinya mengalami kecederaan yang teruk apabila berhadapan lebih daripada had kemampuannya demi menyelamatkan Puan Aqila, Jauhari dan ahli yang lain daripada pihak musuh yang mengekori mereka dari Jepun sehingga ke Malaysia. Pihak musuh telah berjaya ditumbangkan walaupun tidak semua.

Fareez telah cedera parah. Tulangnya bayang yang telah patah. Organnya juga ada yang sudah tercedera parah. Nasibnya baik kerana Carlos turut ada dalam rombongan itu. Umar dan Hiden pusing kembali ke arah Fareez untuk menyelamatkannya atas arahan Puan Aqila yang tidak mahu ahli keluarga Ame Sakura terkorban.

Maka, di sini Fareez ditempatkan selama ini. Di sebuah makmal bawah tanah berhampiran rumah Jauhari. Sebelum ini, dia berada di hospital untuk mendapatkan rawatan awal. Dia dibawa ke makmal tersebut selepas makmal siap dibina sepenuhnya.

60% daripada tubuh Fareez telah ditukar kepada robotik seperti tulang tangan kiri, kedua-dua kakinya, otak kiri, mata kiri dan telinga kiri. Wajahnya rosak ketika perlawanan kerana pihak musuh membaling bom ke arahnya. Dia sempat melarikan diri tetapi nasibnya tetap malang kerana kedua-dua kakinya tidak dapat digunakan ketika itu. Jantungnya juga sudah ditukar kepada jantung mekanikal dalam projek Heartbeat yang dijalankan oleh pasukan Kiki sebelum ini.

Projek Heartbeat itu diubahsuai oleh Carlos dan pasukannya sebelum dimasukkan ke dalam tubuh Fareez. Sebelum ini, Fareez menggunakan jantung manusia lain daripada penderma. Kesemua jantung yang pernah dimasukkan ke dalam tubuh Fareez memberi kesan negatif. Hal ini menjadi penyebab projek Heartbeat wujud.

Fareez duduk di atas katil. Dia meramas-ramas kedua-dua tangannya. Kedua-dua kaki dilihat. "Macam mana aku boleh hidup lagi? Aku yakin masa tu aku dah terlibat dalam letupan."

DETEKTIF YAKUZAWhere stories live. Discover now