🥀BAB - 68

35.5K 982 94
                                    

HARI demi hari berlalu, berita perihal perkahwinan Riyyadh dan Tiara yang bakal berlangsung tidak lama lagi akhirnya singgah ke telinga Rayden.

Pandangan dibuang jauh ke hadapan sambil memandang pemandangan kota raya yang sibuk itu dari cermin pejabatnya.

Kad jemputan perkahwinan Riyyadh juga masih setia dipegang oleh Rayden.

Sebentar tadi, Ash datang ke syarikatnya semata-mata untuk menyampaikan kad yang dikirimkan oleh Riyyadh untuk Rayden sekeluarga.

Sungguh tindakan Riyyadh itu membikin hati Rayden bara dan terbakar.

Hati bapa manakah yang tidak terkilan apabila dia langsung sama sekali tidak terlibat dan tidak mengetahui perihal majlis perkahwinan anaknya dan tiba-tiba, kad dikirimkan kepadanya sebagai seorang tetamu biasa di majlis nikah darah dagingnya sendiri.

Malah, Safiyah serta anak-anaknya yang lain juga turut terkilan dan terasa hati dengan layanan Riyyadh yang lebih mengutamakan cinta berbanding ahli keluarganya sendiri.

Kolam matanya mulai panas terasa. Amarah yang ingin terletus mula merebut-rebut untuk dihamburkan.

Kali ini, barannya sudah benar-benar tercabar dengan perilaku biadab Riyyadh.

DUM!

Kerusi kerjanya ditendang kuat sehingga jatuh mencium lantai.

Deruan nafasnya kencang kedengaran menandakan amarahnya sudah melepasi kepala.

Pintu pejabat yang dikuak kasar dari arah luar membuatkan Rayden menoleh ke arah gerangan yang sedang melangkah masuk ke dalam pejabatnya.

Wajah cemas Alan terhidang di hadapan retina mata Rayden.

Jejaka Inggeris yang sudah dilanjut usia itu masih kelihatan tampan dan gagah seperti waktu mudanya dahulu.

Dia bergegas mendapatkan Rayden bersama wajah yang jelas bimbang terpancar.

"Ray?"

Iris biru Alan ditatap sayu. Tidak semena-mena, tubuh sahabatnya itu didakap erat. Tangisan dilepaskan pada bahu Alan.

Dia sudah tidak boleh menahan kesedihannya lagi.

Alan terkejut.

Namun, dia mengetahui apa yang sedang membelenggu fikiran Rayden.

Berita majlis perkahwinan Riyyadh dan Tiara sudahpun tersebar luas. Jadi, tidak usah ditanya lagi, jawapannya sudah pasti hanya perkara itu sahaja yang mengganggu fikiran Rayden di saat ini.

Malah, perihal keretakan hubungan di antara Riyyadh dengan Rayden juga turut diketahui oleh Alan.

Sebagai seorang sahabat, hatinya luluh dan terkesan melihatkan ujian yang dilalui oleh Rayden. Tidak dapat Alan sangka, begitu drastik perubahan Riyyadh yang dahulunya tidak berkelaku sebegini.

Tubuh Rayden ditepuk perlahan. Sesungguhnya, ini kali kedua dia melihat tewasnya Rayden di dalam air mata setelah 20 tahun yang lalu. Kali pertama berlaku, kerana khilafnya terhadap Safiyah. Namun tangisannya berbeza untuk kali yang kedua ini.

Tangisan kekecewaan seorang bapa yang merindui sang anak.

"Dia pilih perempuan tu jugak, Alan. Dia pilih kekasih dia dari aku yang bapa kandung dia sendiri. Apa salah aku, Alan? Dekat mana yang aku terkurang dalam mendidik dia? Ini ke balasan untuk dosa-dosa aku sebelum ni? Kenapa Allah uji aku macam ni? Bagitahu aku Alan. Kenapa?...."

Rayden mengongoi di sebalik bahu tegap Alan.

Tangisannya terhambur di hadapan sahabatnya sendiri.

Selama ini di hadapan Safiyah dan anak-anaknya, dia sedaya upaya menyembunyikan kesedihannya di sebalik wajah yang tenang dipamerkan. Bukan kerana dia hendak menunjuk hebat.

𝐌𝐫𝐬.𝐑𝐢𝐲𝐲𝐚𝐝𝐡 𝐙𝐚𝐲𝐲𝐡𝐝𝐢𝐭𝐡 : 𝐇𝐢𝐬 𝐒𝐞𝐜𝐫𝐞𝐭 𝐖𝐢𝐟𝐞 [✓]Where stories live. Discover now