KSPK
'TALAM DUA MUKA!'
Terus Ayra padam mesej yang kesemuanya ditulis dengan huruf besar. Sama seperti komen yang dihantar ke blog Mawar. Dadanya berdebar-debar. Dia pandang kiri dan kanan.
Suhaila dan Aisyah sedang khusyuk membantu Dean menyiapkan tugasan. Mereka yang mempelawa diri untuk membantu Dean sebagai balasan pada Ayra yang telah sudi mewakili mereka semua untuk menghadiri kenduri kahwin kakak Nadira.
'Siapa yang hantar mesej?'
Persoalan itu mengganggu hidup Ayra sekali lagi, membuatkannya jadi tak senang duduk selagi ianya belum selesai. Selagi belum tahu pengirimnya...
Sebelum ini, komen yang mengganggu seluruh hidupnya dihantar ke blog kesayangannya. Dua tiga hari Ayra cuba melupakan komen tersebut. Tapi bila mesej pula diterima, dia tak boleh duduk diam lagi. Pengirim misteri itu mengetahui nombor telefonnya. Nombor yang dia tidak pernah diberi pada sesiapa melainkan kawan-kawan rapat sahaja.
Ayra mula diganggu dengan mesej-mesej yang menyentak jantung sejak petang semalam ketika berada bersama Dean. Pengirimnya langsung tak dikenali. Ayra beranikan diri dengan menghubungi nombor telefon yang tertera. Namun, panggilan tidak berangkat.
'Tahu pun takut! Kalau berani, dah tentu dia tak akan ugut aku secara senyap. Tentu dia akan datang jumpa aku sendiri! Siapa sebenarnya yang sedang menakut-nakutkan aku? Tunjukkanlah siapa diri kau yang sebenar!'
Kadang-kadang Ayra jadi takut dan resah bila menerima mesej yang menakutkan, namun kadang-kadang sakit hati pulak apabila terasa seolah-olah dirinya sedang dipermainkan oleh seseorang.
Tiada sesiapa yang tahu nombor telefon bimbitnya melainkan Syafiqah, Suhaila, Nadira, Aisyah dan Dean. Guru besar dan kerani tempat dia bertugas juga mengetahui nombor telefon yang baru didaftarnya dua bulan yang lalu.
Sebelum ini, Ayra tidak pernah memiliki kad SIM, apa lagi telefon bimbit. Atas desakan Dean dan pihak sekolah, dia terpaksa akur untuk menggunakan alat telekomunikasi tersebut. Kata mereka, senang untuk berhubung dengannya. Secara rasminya, dia mula menggunakan telefon bimbit baru dua bulan lepas.
Bila dah ada telefon bimbit, ini pula yang terjadi! Ini yang dia tak suka! Terasa menyesal pulak dia kerana akur dengan permintaan rakan-rakan untuk menggunakan telefon bimbit.
"Pucat saja muka kau! Kenapa?"
Ayra tersentak lagi bila ditegur Dean.
"Sakit?"
Suhaila bimbang dengan keadaan Ayra yang dilihatnya sejak sehari dua ini asyik termenung panjang saja. Bimbang juga dia andai Ayra marah padanya kerana enggan memenuhi jemputan Nadira. Malah, pandai-pandai pulak dia memberi cadangan agar Ayra mewakilinya. Mungkin Ayra rasa terbeban dengan cadangannya itu.
Ayra menggelengkan kepala. Telefon bimbit berada erat dalam genggaman. Tak ingin telefon tersebut jatuh ke tangan sesiapa pun saat ini. Jika ianya berlaku, hidupnya akan musnah sekali lagi. Ya, sekali lagi! Ayra tak sanggup. Dia bahagia dengan kehidupannya sekarang.
"Mesej dari siapa?"
Dean perasan perubahan pada raut wajah Ayra sebaik sahaja membaca mesej yang baru diterimanya. Muka Ayra kelat semacam.
"Er... keluarga di kampung."
Ayra terpaksa berbohong. Ada getar dalam nada suaranya. Harap Dean tak perasan.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...