Ayra melangkah turun dari kereta Cikgu Salmah. Setiap hari, dia ke sekolah dengan menumpang kereta Cikgu Salmah yang melalui depan rumah sewanya untuk ke sekolah. Cikgu Salmah tinggal di kawasan perumahan yang sama. Dia sudah berbelas tahun mengajar. Pengalamannya banyak. Ayra banyak belajar dari Cikgu Salmah.
Ayra membimbit beg ke bilik guru, beriringan dengan Cikgu Salmah. Sepanjang perjalanan, tak henti-henti dia disapa murid yang memberi salam. Murid-murid memang diajar untuk memberi salam jika bertembung dengan guru dan staf di kawasan sekolah. Jika berada di luar sekolah, murid-murid turut digalakkan memberi salam pada mereka yang lebih tua. Malangnya, murid-murid jarang mempraktikkannya. Mereka hanya memberi salam di kawasan sekolah sahaja.
Setelah meletakkan fail dan buku atas meja bilik guru, Ayra dan Cikgu Salmah terus melangkah ke kantin. Masih ada setengah jam lagi sebelum loceng berbunyi tepat pukul 7.40 pagi. Begitulah rutinnya seharian. Waktu pagi, wajib bersarapan supaya mendapat tenaga ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku sehingga tengah hari.
"Kalau nak pindah sekolah, macam mana prosedurnya Kak Sal?"
"Ayra nak pindah?" terbeliak mata Cikgu Salmah.
"Saja tanya je kak. Kan saya masih lagi dalam kursus. Belum lagi dilantik. Mana boleh mintak tukar."
Surat pelantikan akan diterima setelah dia selesai menamatkan pengajian di institut perguruan yang dijangka berlangsung satu setengah tahun. Dengan syarat, dia mestilah lulus.
"Oh, Kak Sal ingat Ayra nak pindah. Sebenarnya Ayra, kalau nak pindah mohon dalam talian je. Tak payah guna borang dah. Tapi kalau boleh, Ayra tunggu sampai sah jawatan dulu kalau nak mohon."
"Sah jawatan dulu? Berapa lama tu Kak Sal?"
"Biasanya selepas tiga tahun dari tarikh pelantikan. Bila dah sah jawatan, barulah mohon pertukaran. Tapi kalau nak cepat, bila dah dilantik dah boleh mohon dah. Cuma, urusan pengesahan jawatan tu lambatlah sikit sebab melibatkan dua buah sekolah tempat Ayra bekerja."
Ayra menghela nafas berat. Bulan September tahun depan barulah pengajiannya tamat. Selesai pengajian, dia perlu mengikuti Kursus Induksi dan Biro Tatanegara. Kemudian barulah dia akan dapat surat tawaran dan penempatan dengan Gred DC41. Mengikut perjanjian, para pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah yang mengikuti Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah atau LPBS kena berkhidmat di sekolah yang sama tiga tahun daripada tarikh surat tawaran.
Sejak bertemu semula dengan Shahin Adiy, soal pertukaran mula bermain di fikiran Ayra. Dia tak mahu tinggal di dalam daerah Kuala Kangsar lagi. Dia mahu pergi jauh, ke tempat yang tidak boleh dijejaki Shahin Adiy. Kalau terpaksa ke pedalaman sekali pun, dia sanggup. Tentu Shahin Adiy tidak dapat menjejakinya di sana.
Belum sempat menghirup teh, telefon bimbit berdering. Ayra mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangan.
Dadanya terus berdebar-debar! Sudah agak lama dia tidak menerima mesej-mesej yang menuduhnya macam-macam. Dia dah boleh agak pengirim mesej misteri yang menghantuinya beberapa minggu lalu. Tak lain dan tak bukan tentunya Shahin Adiy!
Panggilan dari Dean. Ayra menarik nafas lega.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Sihat hari ni?" soal Dean.
"Alhamdulillah sihat. Kat kantin ni."
"Tengah bersarapan ye. Aku pun sama. Petang ni kita jumpa, nak tak?"
"Petang ni?"
"Ye. Dah seminggu kita tak jumpa. Aku rindu nak berbual dengan kau."
"Eh, ke situ pulak!"
"Boleh tak?"
"Okeylah."
Ayra bersetuju memandangkan dia tidak ada sebarang program petang nanti.
"Petang ni, lepas Asar, aku jemput kau ye."
Dean terus mematikan panggilan.
Sebentar kemudian, loceng berbunyi. Ayra cepat-cepat menghabiskan bihun goreng dan teh. Cikgu Salmah juga tergesa-gesa menghabiskan makanannya.
* * *
Ayra menapak ke persimpangan taman perumahan. Sebentar kemudian Dean muncul dengan Satria Neo.
"Seminggu tak jumpa, kau dah berubah." Tegur Dean sebaik sahaja Ayra duduk si sebelahnya.
"Berubah?" Ayra meraba pipi. "Aku makin gemuk ke?"
Dean ketawa.
"Tak adalah. Kau makin cantik. Itu maksud aku."
Pipi Ayra terus berona merah. Dia melempar pandangan ke luar. Kereta baru sahaja memasuki tol Kuala Kangsar. Tiba-tiba statusnya mengganggu fikiran.
Sudah lama masa berlalu. Dia yakin Shahin Adiy sudah melepaskannya. Namun, kata-kata Shahin Adiy malam itu, mengganggu fikirannya. Shahin Adiy mendakwa dia masih isterinya. Ayra bingung. Untuk mendapatkan pengesahan, dia harus ke pejabat agama.
Setiap kali mengisi borang status, dia akan menanda pada ruangan 'balu'. Masalah akan timbul nanti andai pekahwinannya dengan Shahin Adiy masih sah! Dia tidak berniat hendak menipu. Dia tersalah sangka. Suaminya masih lagi hidup!
"Agaknya, bila kau akan bersedia untuk menerima aku?"
Dean terus mengajukan pertanyaan yang sama. Dia masih mengharapkan cinta Ayra.
"Aku dah pun terima kau. Kau kan kawan aku sekarang."
"Tak, maksud aku, bila kau akan terima cinta aku?"
Ayra terdiam sejenak. Dean masih belum berputus asa menagih cintanya.
"Aku belum bersedia."
"Bila kau akan bersedia? Bulan depan? Tahun depan?"
"Aku tak tahu Dean. Ini semua bersangkut dengan hati dan perasaan."
"100 tahun lagi pun aku akan setia menunggu kau."
Terharu Ayra mendengar pengakuan Dean. Kalaulah Shahin Adiy tidak pernah muncul dalam hidupnya, sudah pasti dia akan menerima cinta Dean. Bukan mudah hendak mencari lelaki yang benar-benar serius hendak mengambil perempuan sebagai isterinya. Lelaki zaman sekarang lebih suka bercinta, namun berkahwin belum pasti. Mereka tidak suka terikat. Bila umur sudah menjangkau 40 tahun, barulah mereka fikir untuk berumah tangga bagi mendapat penyambung keturunan.
TQ YG SUDI BACA DAN VOTE ;-)
Follow my ig : karya_zz
Like my FB Page : Karya ZZ
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...