Part 51

884 20 0
                                    

Ayra baca mesej dari Dean lagi dan lagi. Termenung seketika. Sudah agak lama mereka tidak bersua muka. Dean pun sudah jarang hantar mesej dan menghubunginya. Kesibukan membataskan segalanya. Ayra sendiri tidak pernah menghantar mesej pada Dean kerana dia tak mahu ganggu lelaki itu.

Kekadang, hatinya teringat pada Dean. Ingin bertanya khabar dan sebagainya. Rindu dengan celoteh Dean. Rindu dengan sikap mengada-ngada lelaki itu. Namun, sejak kemunculan semula Shahin Adiy dalam hidupnya, Ayra jadi serba salah. Lelaki yang dibencinya satu tika dulu kini sudah berubah.

Shahin Adiy dah tak macam dulu lagi. Lelaki yang sombong dan bongkak sudah hilang. Dia juga sudah memohon maaf atas kesilapan lalu. Shahin Adiy tidaklah sejahat yang disangka. Mereka menjadi mangsa akibat rasa cemburu dan iri hati seorang gadis.

Hati Ayra terusik dengan permohonan maaf Shahin Adiy. Dalam masa yang sama dia merasa kagum dengan keberanian Shahin Adiy yang tidak malu mengakui kesalahan sendiri. Lelaki itu mengaku yang dia menyesal kerana mengurung Ayra di rumahnya.

"Aku tak fikir panjang masa tu. Apa yang aku lakukan hanya mengikut perasaan."

"Aku pun nak minta maaf jugak. Sebab akulah perut kau tercucuk pisau. Aku bertindak di luar dugaan. Aku hanya fikir nak lari masa tu."

"Dah lama aku maafkan."

Ayra terharu mendengar kata-kata Shahin Adiy. Dia hanya memaafkan perbuatan Shahin Adiy selepas lelaki itu memohon maaf darinya. Sebaliknya lelaki itu sudah lama memaafkan perbuatannya tanpa perlu mendengar permohonan maaf darinya terlebih dahulu.

Shahin Adiy adalah lelaki pertama yang bertakhta di hatinya. Ya, mungkin cinta monyet ketika itu. Tapi cinta monyet berjaya jugak mendirikan masjid walaupun dalam keterpaksaan. Biarlah walaupun pelamin dan majlis tak ada sekalipun. Hakikatnya, mereka sudah sah menjadi suami isteri sehingga ke hari ini.

Status! Itulah yang membuatkan Ayra resah sekarang. Status sebagai isteri bukan boleh dibuat main-main. Tak bau syurga nanti kalau dia tak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Status sebagai isteri juga menghadkan dia dalam melakukan banyak perkara. Semuanya perlu keizinan suami. Keizinan daripada Shahin Adiy!

Selama ni dia menyangka sudah tidak ada apa-apa ikatan lagi antara dia dengan Shahin Adiy. Dia menyangka suaminya sudah mati, dan dirinya adalah janda muda.

Shahin Adiy menyuarakan hasratnya mahu menebus kesilapannya yang lalu...

Mesej Dean masuk lagi.

'Salam. Dah lama kita tak jumpa. Jom minum petang ni. Ada sesuatu aku nak beritahu kau. Penting!'

Ayra tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Jika dia tidak berterus terang pada Dean, lelaki itu akan terus menagih cintanya. Jika dia berterus terang, masalah yang lebih besar pula akan timbul.

* * *

Ayra menumpang kereta Nadira hingga ke Pekan Kuala Kangsar. Nadira turunkannya di Laman Budaya, pinggir sungai Perak. Di situ ada kedai makan dengan pelbagai lauk-pauk, ada bazar kraf, Arena Square tempat pelbagai acara dilangsungkan, juga ada medan selera popular yang menjual cendol dan laksa kuala.

"Ayra!"

Dean yang baru turun dari kereta melambai tangan. Dia melempar senyuman. Ayra terus menghampiri lelaki itu.

"Lama tak jumpa, kau tambah cantik."

"Ye ke? Terima kasihlah. Nanti aku belanja cendol dengan laksa ye."

"Ok. Aku nak pesan tiga mangkuk cendol dan tiga mangkuk laksa. Boleh?"

Ayra ketawa kecil.

"Tak kisah kalau kau boleh habiskan semua. Nak ke gerai mana?"

"Tu, yang hujung sebelah sana tu."

Ayra dan Dean berjalan menuju ke medan selera. Di situ ada banyak gerai yang menjual cendol dan laksa. Di sebelahnya, sungai Perak mengalir tenang. Sayong, yang popular dengan labu sayongnya terletak di seberang sungai.

Labu sayong ialah sejenis tembikar yang dihasilkan dengan menggunakan tanah liat. Perusahaan membuat labu sayong telah berkembang di kalangan waris asal pembuat tembikar ini ke sekitar perkampungan dalam daerah Kuala Kangsar. Pada asalnya, labu sayong dijadikan sebagai bekas menyimpan air. Kini, labu sayong salah satu cenderamata yang paling popular di Kuala Kangsar. Pelancong yang datang pasti akan membeli labu sayong sebagai kenang-kenangan.

"Kau sihat?"

"Alhamdulillah. Kau?"

"Macam nilah." Perlahan saja nada suara Dean.

"Hal penting apa yang kau nak beritahu aku tu?"

"Sabarlah. Kita pesan makanan dulu."

Dean terus mengangkat tangan lalu melambai ke arah pelayan.

Ayra melihat jam di tangan. Sejam lagi Nadira akan menjemputnya. Mereka sudah berjanji. Nadira ke kedai kain. Dia mahu membeli kain untuk dibuat baju kurung moden.

Sebentar kemudian dua mangkuk cendol pulut dan laksa kuala terhidang atas meja.

"Aku nak tunjuk kau sesuatu."

Berdebar-debar hati Ayra bila mendengar kata-kata Dean. Lelaki itu menyeluk saku. Dia mengeluarkan telefon bimbit. Dean menekan punat telefon bimbitnya. Kemudian, telefon bimbit dihulurkan kepada Ayra.

"Baca. Aku terima malam tadi."

Mata Ayra terus melekat pada skrin i-phone 4.

'Jangan dekati Ayra. Awas! Dia perempuan kejam!'

Ayra terkedu. Dia perhatikan nombor telefon pengirim yang tertera. Nombor tersebut berbeza dengan nombor telefon pengirim mesej misteri yang sudah agak lama menyepikan diri. Beberapa minggu dia dihantui mesej misteri tersebut sehinggalah kemunculan Shahin Adiy. Sebaik sahaja lelaki itu muncul, mesej misteri tidak lagi diterimanya.

Ayra terus mengandaikan mesej-mesej yang sering diterimanya sebelum ini adalah mesej daripada Shahin Adiy yang sengaja hendak menakutkannya.

Shahin Adiy sudah memohon maaf. Ayra sudah lihat sendiri perubahan sikap lelaki itu. Mustahil dia yang menghantar mesej tersebut pada Dean. Shahin Adiy mengaku yang dia sudah lama memaafkan kesalahannya. Dan lelaki itu juga tidak menganggapnya perempuan kejam.

"Aku tak tahu siapa pengirimnya. Aku cuba call tapi tak berjawab."

Siapa sebenarnya penghantar mesej tersebut?

"Kau ada syak sesiapa?"

Ayra angkat bahu.

"Aku rasa pengirim mesej ni seorang lelaki, lelaki yang menyimpan perasaan pada kau. Dia sengaja hantar mesej ni supaya aku jauhkan diri dari kau. Bodoh!"

Dean tergelak.

"Memang tak ada otak, macamlah aku ni bodoh, percaya bulat-bulat dengan apa yang dia tulis ni. Dia kata kau perempuan kejam... lawak betul..."

Dean terus ketawa.

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now