Kekecewaan Nadira bertambah. Usahanya dengan menemui Datin Fadhilah tidak berjaya. Shahin Adiy tetap dengan keputusannya walaupun Datin Fadhilah masuk campur. Dia enggan menyambung kembali hubungannya dengan Nadira.
Nadira sukar hendak menawan hati Shahin Adiy semula kerana dia tidak bertemu lagi dengan Shahin Adiy sejak lelaki itu memutuskan hubungan mereka. Panggilan dan mesej-mesejnya tidak dibalas. Kerasnya hati Shahin Adiy, langsung enggan berhubung dengannya lagi.
Muka Nadira makin pucat. Berat badan pula semakin menurun.
Berbeza pula dengan Ayra. Dia dalam dilema. Shahin Adiy terus mengharap agar dia sudi hidup bersama. Hampir setiap malam Shahin Adiy menghubunginya, bertanya khabar dan sebagainya. Sikap ambil berat Shahin Adiy itu sedikit sebanyak menunjukkan yang dia memang serius. Hanya menunggu persetujuan daripadanya saja.
Setuju susah, tak setuju pun susah. Kalau dia setuju, bagaimana penerimaan Nadira nanti. Berkemungkinan Nadira akan menganggapnya sebagai musuh nombor satu selepas dia dan Adiy mengumumkan ikatan mereka.
Pandangan Aisyah, Suhaila dan Dean ke atasnya juga harus diambil kira. Sebelum dirinya dituding sebagai perampas, kisah perjalanan hidupnya dengan Shahin Adiy dari A sampai Z harus diperjelas. Sedangkan kalau boleh, Ayra tak mahu buka buku lama lagi.
Kes tangkap basah agak berat hendak dibicarakan.
Jika dia menolak permintaan Shahin Adiy, bererti dia telah menghancurkan perasaan lelaki itu. Dia juga tidak ada sebab yang kukuh untuk menuntut cerai. Jika dirujuk ke jabatan agama, dia yang akan diberi kaunseling.
* * *
"Kau balik kampung ke petang ni?"
"Tak. Aku ke KL."
Sudah tiga kali Nadira ke Kuala Lumpur. Dia mahu menemui Shahin Adiy. Ayra simpati pada Nadira. Gadis itu takkan berjaya menemui Shahin Adiy. Lelaki itu sudah memaklumkan semalam yang dia akan ke Kuala Kangsar.
'Perlukah aku beritahu Dira yang Adiy akan ke sini?' Ayra rasa bersalah pada Nadira. Dia seolah-olah sedang mempermain gadis itu walaupun di hatinya tiada niat hendak buat begitu.
Satu masa nanti pasti akan terbongkar juga. Setakat ni, segalanya baik-baik saja. Bila semakin kerap Shahin Adiy datang bertemunya, tak mustahil Aisyah, Suhaila atau Dean akan dapat hidu nanti.
"Nak ikut aku ke KL?"
"Nak buat apa kat sana?"
"Jalan-jalan. Kita ke Jalan Masjid India. Kat situ macam-macam jenis tudung, kerongsang dan macam-macam lagi ada dijual."
"Kau kau sana sebab nak jumpa Adiy. Mana ada masa nak keluar jalan-jalan."
"Entah dapat ke tak jumpa dia..." Nada suara Nadira lemah, membayangkan harapannya yang semakin kabur.
"Kenapa kau tak cari orang lain je ganti tempat Adiy tu?"
Ayra tidak mahu Nadira menghabiskan masa mengejar Shahin Adiy. Usahanya itu sia-sia belaka. Shahin Adiy tak akan kembali ke pangkuannya.
"Kau belum kenal apa erti cinta, Ayra. Bila kau dah kenal nanti, baru kau tahu. Cinta sesuatu yang indah, sukar nak dilupakan atau dilepaskan begitu saja bila kita dah memilikinya."
Terkasima Ayra mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Nadira.
"Kau dengan Dean apa cerita? Sampai bila nak berkawan saja."
"Sampai bila-bila." Ujar Ayra. 'Itupun kalau Dean belum tahu status aku. Kalau dia tahu aku isteri orang, tentu dia akan jauhkan diri.'
"Dean kejar kau. Aku pulak kejar Adiy. Hmm... aku dan Dean sama nasib. Aku dapat rasa apa yang Dean rasa."
"Dean tak kejar akulah."
"Dean tu sikit punya baik pun kau tak suka. Entah lelaki yang macam mana la pilihan kau nanti."
"Aku malas nak fikir soal tu." Ujar Ayra.
'Sebab, aku dah berjumpa dengan jodoh aku.' Kalau dia buka cerita, meraung pulak Nadira nanti. Lebih baik dia diam saja. Ayra rasa itulah perkara terbaik yang boleh dilakukannya sekarang. Berdiam diri. Nadira sudah tentu belum dapat menerima ketentuan Ilahi.
"Kita dah 25 tahun. Dah suku abad dah pun. Memang wajar kita mula fikirkan soal jodoh. Kalau lambat, andartulah kita nanti. Aku pergi dulu."
Nadira mencapai kunci kereta atas meja lalu terus meninggalkan bilik. Dia kena bertolak segera sebelum hari bertukar gelap. Ayra ekori Nadira keluar dari bilik. Syafiqah sedang menghirup Milo panas. Ada sepiring jemput-jemput di atas meja kopi.
"Marilah makan sama-sama." Jemput Syafiqah. Dia memang gemar memasak sejak ada dapur gas Nadira.
"Makanlah dulu."
Ayramenghantar Nadira hingga ke kereta. Serba salah dibuatnya dengan sikap Nadirayang masih belum berputus asa menagih cinta Shahin Adiy.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
Lãng mạnAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...