"Kak Ayra baru balik ke? Dari mana?"
"Tadi lagi. Dah dekat sejam ada kat rumah ni ha. Akak jumpa Dean, Aisyah, Ila kat Laman Budaya. Kami siapkan tugasan yang nak kena hantar Ogos ni."
Syafiqah baru keluar dari bilik. Tengok rambutnya yang kusut masai, Ayra dah boleh agak Syafiqah baru bangun tidur.
"Oo... kumpulan Kak Ayra dah siap tugasan ye. Kumpulan Iqa belum siap lagi."
"Iqa kumpulan dengan siapa?"
"Dengan Miza, Abang Dafi, Kak Nora, Kak Eli. Oh ye kak, tadi Abang Adiy datang. Iqa ingat dia nak jumpa dengan Kak Dira. Tapi Iqa salah. Dia nak jumpa dengan Kak Ayra. Iqa cuba telefon Kak Ayra banyak kali tapi tak dapat."
'Aduh, kenapa datang sini!' Ayra merungut. Dia sudah pesan banyak kali pada Shahin Adiy, jangan datang mencarinya di rumah sewa. Kalau dah sampai Kuala Kangsar, telefon saja. Dia akan keluar bertemu dengan Shahin Adiy di luar.
"Kak Ayra off telefon kut."
"Eh, tak adalah."
Ayra segera ke bilik. Dia keluarkan telefon bimbit dari dalam beg galas. Bateri habis! 'Ya Allah, aku lupa nak cas bateri dari semalam.'
"Bateri habis la Iqa." Ujar Ayra sambil menarik laci meja. Pengecas bateri telefon bimbit dikeluarkan.
"Patut la Iqa telefon tak dapat. Kenapa Abang Adiy nak jumpa Kak Ayra?"
"Oh... mungkin dia nak mintak akak tolong selamatkan perhubungan dia dengan Dira."
Spontan Ayra mereka alasan. Dia teringat peristiwa minggu lepas. Kalaulah Syafiqah beritahu pada Nadira tentang kedatangan Shahin Adiy, akan terbongkarlah segala rahsia. Namun, setakat ini, Syafiqah masih belum buka mulut depan Nadira. Syafiqah dan Nadira jarang berbual. Mereka tidak rapat.
"Lama jugak dia tunggu. Dalam sejam. Lepas tu dia mintak diri."
"Dia balik KL?"
"Iqa tak tanya pulak."
Ayra segera mengecas bateri telefon bimbitnya. Setengah jam kemudian, dia aktifkan telefon. Bertalu-talu isyarat mesej masuk kedengaran. Ayra buka satu persatu. Semuanya daripada Shahin Adiy. Ada 22 panggilan tak berjawab. Tiada anggilan daripada nombor telefon bimbit Syafiqah. Ayra kehairanan. Syafiqah mengaku dia turut menghubungi nombor telefonnya.
"Iqa ada call akak tak?"
"Iqa call guna handset Abang Adiy. Handset Iqa habis kredit."
Ayra menghela nafas. 'Patutlah.'
"Adiy tak pesan apa-apa?"
Syafiqah geleng kepala. Dia kembali ke bilik dan keluar dengan sehelai tuala di bahu.
* * *
"Kenapa off handset tadi?"
Shahin Adiy menghubungi isterinya. Dia sudah berada di Pulau Pinang untuk bertemu dengan klien. Esok, dia akan balik ke Kuala Lumpur.
"Habis bateri. Aku tak perasan."
"Ya ke? Kau ke mana tadi?"
"Aku jumpa kawan-kawan aku. Kami buat tugasan kumpulan sama-sama."
"Kalau ya pun, bagi tahulah aku dulu."
"Kena bagi tahu ke?"
"Eh, tanya pulak. Aku suami kau. Aku berhak tahu."
Ayra terdiam. Seorang isteri kena taat pada suami. Seorang isteri tak boleh keluar tanpa keizinan suami. Dia tahu tanggungjawab sebagai isteri. Tapi, dalam keadaan sekarang, dia belum bersedia untuk memikul tanggungjawab besar tersebut. Dia tahu, semua itu dosa. Tapi...
"Diam saja. Aku tak layak jadi suami kau ke, Ayra?"
"Bukan macam tu, cuma..."
"Cuma apa? Beritahu aku? Kita selesaikan bersama-sama."
"Esoklah kita bincang." Hal penting tak sesuai untuk dibincangkan dalam telefon.
"Okey. Kau sorang ke tu?"
"Iqa ada. Dalam bilik. Dira, kau mesti dah tahu, kan? Dia ke KL, cari kau."
"Ya... banyak kali dia call aku. Iqa ada beritahu tak aku ke sana pagi tadi?"
"Ada."
"Dah lama kau kenal dia?"
"Siapa? Iqa ke Dira?"
"Iqa."
"Tak adalah lama sangat. Sejak bulan tiga. Kenapa?"
"Aku rasa budak tu pelik sikit la."
"Pelik? Maksud kau?"
Matanya tertancap ke pintu bilik belakang yang tertutup rapat.
"Aku mintak kau hati-hati sikit dengan dia."
"Eh, dia okey apa. Tak adalah teruk sangat."
"Nampak okey, tapi tak okey. Esoklah aku cerita pada kau. Aku ada hal ni."
Shahin Adiy menamatkan panggilan. Ayra meletakkan telefon bimbit atas meja kopi. Terngiang-ngiang suara Shahin Adiy yang meminta dia berhati-hati dengan Syafiqah. 'Apa yang tak kena dengan Syafiqah?'
Shahin Adiy sengaja membuatkan dia tertanya-tanya! Malas melayan peringatan Shahin Adiy, Ayra terus bangun menuju ke dapur. Lalu depan pintu bilik Syafiqah, tangan terasa gatal ingin mengetuk. Tapi tak jadi.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
Roman d'amourAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...