Suhaila memarkir keretanya berhadapan dengan blok B. Belum ramai lagi penuntut yang hadir. Tempat parkir masih banyak yang kosong. Selesai memarkir, Suhaila, Aisyah dan Ayra melangkah turun dari kereta. Mereka bertiga langsung menuju ke pejabat untuk mendaftar.
Mereka telah merancang awal. Suhaila dan Ayra sama bilik. Aisyah akan mengambil bilik berhadapan. Aisyah tidak kisah siapa yang akan menjadi rakan sebiliknya asalkan orang itu bukan Nadira. Dia tidak mahu ditempatkan sebilik dengan Nadira kerana dia sudah bosan dengan pembohongan Nadira.
Selesai mendaftar, mereka terus meninggalkan pejabat.
"Kita makan dulu la, lepas tu baru angkut barang ke bilik."
Aisyah memegang perutnya yang sudah kelaparan. Suhaila dan Ayra tidak membantah. Mereka terus menuju ke kafeteria.
Mereka bertiga membeli nasi campur. Ketika sedang enak menjamu selera, Aisyah tiba-tiba menendang kaki Ayra perlahan. Terus Ayra merenung Aisyah.
"Iqa tengah menuju ke sini," bisik Aisyah.
Ayra dan Suhaila serentak menoleh ke belakang. Syafiqah menghampiri mereka. Dia memberi salam.
"Kak Ayra apa khabar?"
"Alhamdulillah, baik."
Ikutkan hati, malas Ayra hendak menjawab pertanyaan Syafiqah. Namun, dalam hal ini, Syafiqah sebenarnya tidak bersalah. Dia terperangkap dengan tipu helah Nadira. Nadira pandai berlakon. Dia mampu memperdaya sesiapa sahaja.
Syafiqah menunggu sehingga Ayra habis makan. Ada sesuatu yang ingin disampaikannya. Dan dia juga mahu meminta maaf daripada Ayra atas kesalahannya yang lalu.
"Ada apa?" soal Ayra.
Dia sudah selesai makan. Sebentar tadi, Syafiqah mahu bercakap sesuatu kepadanya. Namun, gadis itu mahu dia habiskan makanan dulu, barulah dia akan bercakap.
"Iqa nak minta maaf. Iqa baru sedar yang Iqa ditipu hidup-hidup oleh Kak Dira. Maafkan Iqa. Iqa tak tahu yang Kak Ayra dan Abang Adiy dah lama kawin. Iqa ingat Kak Ayra masih solo."
"Siapa yang bagi tahu Iqa?" soal Ayra kehairanan.
"Abang Dean."
"Dean?"
Syafiqah mengangguk. "Bila dah tahu cerita sebenar, apa yang Kak Dira cakap sebelum ni Iqa dah tak percaya. Iqa yakin dia hanya reka cerita. Tak perlulah Iqa sebut satu-satu. Sebab semua tu tipu belaka. Kak Dira pandai, dia nak bagi Iqa percaya cakap dia, dia tuduh Kak Ayra buruk-burukkan nama Iqa belakang Iqa. Iqa yang tengah panas terus percaya apa yang Kak Dira cakap pasal Kak Ayra."
"Kau masih tinggal dengan dia ke?" tanya Aisyah.
"Aah. Tak lama lagi Iqa nak pindah."
"Ke mana?"
Syafiqah senyum-senyum. Dia mengangkat tangan, menunjukkan cincin di jari manisnya.
"Kau dah bertunang?"
Syafiqah mengangguk.
"Dengan siapa?" tanya Aisyah.
Suhaila dan Ayra berpandangan. Mereka tersenyum.
"Orang kuala jugak. Insya-Allah kalau tak ada apa-apa, lepas habis kursus ni kami kawin. Dia dah ada rumah sendiri. Kat Taman Bunga Raya jugak."
"Diam-diam dah nak kawin rupanya member kita ni."
"Korang mesti datang tau." Syafiqah mengeluarkan kad jemputan dari dalam beg tangannya lalu menghulurkannya kepada Suhaila, Aisyah dan Ayra.
"Wah, cantiknya. Hitam putih." Puji Aisyah selesai membelek kad jemputan Syafiqah.
"Oh ye, Kak Dira cakap dia pun nak kawin hujung tahun ni. Iqa tak pasti dia cakap betul ke tak sebab Iqa ada nampak dia buat persiapan. Dia tempah kad jemputan secara online."
Melopong Aisyah dan Suhaila mendengar berita tersebut. Namun berbeza dengan Ayra. Dia kelihatan tenang. Berita tersebut langsung tidak mengejutkannya. Dia sudah menjangkakannya.
"Aku pun tak percaya. Dira mesti syok sendiri tu. Ish, takkanlah Adiy nak ambik dia jadi isteri. Adiy pun tahu sikap Dira tu," tukas Suhaila sambil menjeling wajah Ayra.
Ayra hanya diam. Dia menghela nafas. Suhaila memandangnya kesedihan. Ayra lempar senyuman. "Aku okeylah." Walaupun dalam hati hanya Allah yang tahu perasaannya. Berita yang baru diterima umpama sebutir bom yang baru meletup.
"Tapi, Adiy tu suami kau. Dia cintakan kau... ni mesti ada yang tak kena ni."
Ayra angkat bahu. Andai benar berita yang didengarnya, dia terpaksalah menerimanya dengan hati yang terbuka. Kemesraan yang terjalin di antara Nadira dan Shahin Adiy semalam bermain-main di fikirannya.
'Patutlah mesra, dah nak kawin rupanya.' Ayra ketap bibir, cuba tahan air mata dari jatuh.
p/s : 25 vote please...
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...