Part 48

841 27 0
                                    

"Dira tak ada. Dia dah balik kampung." Laung Ayra dari dalam rumah.

Shahin Adiy sedang berdiri di luar pagar. Dia tidak dapat masuk kerana pintu pagar telah dikunci dengan mangga besar. Ayra sengaja mengunci pagar dengan mangga besar kerana dia sudah dapat mengagak kehadiran Shahin Adiy.

"Aku nak jumpa kau, bukan Dira."

"Maaf. Aku tak ada urusan dengan kau. Kau baliklah." Ayra terus menarik langsir.

"Ada. Kita masih ada urusan yang belum selesai."

Shahin Adiy masih enggan berganjak. Dia tidak akan pergi selagi dia tidak bercakap dengan Ayra.

"Urusan apa lagi? Kau dah selamat sekarang. Aku dah tak berhutang apa-apa dengan kau."

Ayra berharap Shahin Adiy akan segera beredar. Selama beberapa tahun, Ayra hidup dalam pelarian kerana menyangka dirinya seorang pembunuh.

Melihat keadaan Shahin Adiy ketika itu, Ayra menyangka lelaki itu sudah tidak dapat diselamatkan. Dia yang panik terus meninggalkan rumah tersebut. Tak sanggup dia menghadapi tuduhan sebagai pembunuh. Bukan seorang, tapi dua orang! Dia telah menyebabkan kematian dua orang lelaki. Masih terbayang-bayang lagi, darah merah membasahi pakaian yang membaluti tubuh Shahin Adiy dan muka Marcos. Jika tidak melarikan diri, dia pasti dihukum mati mandatori.

"Kau tak nak tahu ke siapa yang upah Raymond?"

Ayra mengalah. Umpan Shahin Adiy mengena. Ayra terus bersiap.

Shahin Adiy sabar menanti. Dia sudah tahu bukan Ayra dan keluarganya yang merancang peristiwa itu sehingga menyebabkan mereka ditangkap basah. Dan dia juga tahu siapa dalang yang sebenar yang telah merancang bagi memalukan Ayra dan keluarganya.

Ayra menyarung kasut. Tak sabar dia hendak mendengar dari Shahin Adiy. Kisah silam terpaksa diungkap kembali bagi mencari kebenaran.

Sepanjang perjalanan, Ayra terus mengajukan pertanyaan yang bermain-main di mindanya sejak beberapa tahun yang lalu. Shahin Adiy meminta Ayra bersabar. Dia berjanji akan menceritakan segalanya bila mereka sudah sampai ke destinasi yang telah dipersetujui bersama.

Perjalanan ke Pizza Hut memakan masa tak sampai sepuluh minit. Ayra resah gelisah di tempat duduk. Terasa lama pulak perjalanan. Hatinya sudah tidak sabar lagi untuk tahu cerita sebenar.

Ayra yang memilih Pizza Hut kerana di situ tak ramai pengunjung. Dia harus mengira keadaan. Belum pernah lagi dia keluar berdua dengan Shahin Adiy. Risau hatinya andai Suhaila dan Aisyah ternampak kelibatnya bersama Shahin Adiy. Mereka kenal lelaki itu sebagai teman lelaki Nadira. Dean juga tahu Shahin Adiy milik Nadira. Kalau mereka nampak dia berdua-duaan dengan Shahin Adiy, pasti dirinya akan dipandang serong.

"Pada mulanya, niat aku masa nikah dengan kau dulu sebab aku nak balas dendam." Shahin Adiy memulakan cerita setelah selesai mengambil pesanan.

"Balas dendam?"

Nada suara Ayra secara automatik bertukar tinggi. Bila menyedari beberapa pasang mata memandang ke arahnya, nada suaranya kembali normal.

"Sabar. Biar aku habiskan cerita dulu."

Shahin Adiy meneguk air yang baru sampai. Ayra mengawal diri. Dia belajar untuk bersabar.

"Sehari sebelum peristiwa malam tu, aku terima surat. Pengirim mengingatkan aku supaya berhati-hati dengan kau dan keluarga kau. Dia tuduh kau dan keluarga kau mahu merampas harta keluarga aku."

"Surat apa? Siapa yang tulis surat tu?"

"Sabar. Tunggu aku habiskan cerita dulu. Bila baca surat tu, aku tak ambil peduli sikit pun. Tapi, bila kita kena tangkap basah, terus aku percaya isi kandungan surat tu. Masa tu, aku yakin sangat keluarga kau yang merancang apa yang berlaku malam tu."

"Jadi, kau kurung aku sebab nak balas dendam?"

"Itu salah satu sebabnya. Masa aku terlantar kat hospital, barulah otak aku ni dapat berfikir dengan tenang. Kalau benar kau rancang nak dapat harta keluarga aku, kenapa pulak kau beria-ia mintak aku lepaskan kau. Ada yang tak kena. Bila aku dah sihat, aku terus ke Kundasang."

"Kenapa lambat sangat baru kau nak sedar?" soal Ayra bengang.

"Biasalah, bila tengah sakit, rasa dah nak mati, baru kita akan sedar segala kesalahan masa lalu."

Ayra telan air liur. "Er... teruk sangat ke keadaan kau masa tu?"

"Teruk lagi kehilangan kau."

Kelu lidah Ayra untuk berkata-kata. Dia mengalihkan pandangan ke luar, tak mampu hendak melawan renungan Shahin Adiy.

"Aku ingat kau ada di kampung. Puas aku cari kau. Seluruh Sabah dan setiap pelusuk negeri. Pandai kau menyembunyikan diri dari aku."

"Kau jumpa keluarga aku?" soal Ayra yang tak selesa mendengar bicara Shahin Adiy mengenai dirinya.

"Aah."

"Apa khabar mereka?"

"Sihat. Semua sihat."

Ayra menadah tangan, syukur kerana keluarganya diberikan kesihatan yang baik.

"Mereka terkejut bila tengok aku balik sorang. Macam-macam soalan mereka tanya pasal kau. Terpaksalah aku berbohong. Aku bagitahulah yang aku balik kampung sebab nak maklumkan pada mereka yang kau dah daftar di sebuah universiti di semenanjung. Seminggu aku di sana, di rumah bapak. Masa tulah aku makin mengenali sikap bapak, mak dan adik-adik. Langsung tak ada ciri-ciri seperti yang didakwa pengirim surat. Dari Ayza, aku dapat tahu pasal Raymond. Terus aku upah orang cari Raymond."

"Kau jumpa Raymond?"

Shahin Adiy mengangguk.

"Raymond bagitahu kau tak siapa yang suruh dia tipu aku bapak sakit?"

"Dia ada bagitahu aku."

"Siapa???"

Ayra dah tak sabar ingin tahu perancang utama yang tak berhati perut itu. Dia berharap penabur fitnah itu akan menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.

"Syidah."

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now