Sudah hampir dua bulan Ayra hidup terseksa. Dia terus dikurung di rumah Shahin Adiy. Dia tidak dapat menghubungi sesiapa. Dunia luar terputus. Khabar orang tua dan adik-adiknya di kampung mengganggu fikirannya. Sihatkah? Sakitkah? Apa khabar Syidah? Bagaimanakah keadaannya sekarang? Adakah dia sudah bekerja?
Pertanyaan-pertanyaan itu tersusun di dalam kepalanya. Soalan yang tiada jawapan selagi dia terus dikurung di rumah itu.
Rindu pada keluarga dan kampung halaman sudah tak tertanggung lagi. Semakin hari semakin menyeksa jiwa raga. Ayra ingin kembali ke tempat asalnya dan melalui kehidupan seperti hari-hari biasa. Dia mahu memulakan hidup baru. Sejarah hitam akan cuba dilenyapkan dari ingatan walaupun dia yakin terlalu sukar untuk melakukannya.
Namun, hanya dengan cara itu sahajalah, hatinya akan kembali tenang. Masa depannya akan kembali cerah. Dan kehidupannya akan kembali berwarna-warni.
Dunianya bukan di rumah besar itu. Dia tidak betah hidup terkurung. Lama-kelamaan boleh jadi gila. Pasti Shahin Adiy akan bersorak gembira apabila otaknya sudah tidak betul lagi. Itulah tujuan Shahin Adiy.
Tak lama lagi, keinginan Shahin Adiy akan menjadi kenyataan. Ayra sudah hampir gila sekarang. Dia sanggup melakukan apa saja untuk melarikan diri dari penjara tidak berjeriji itu.
Setiap kali melihat wajah Marcos, terasa ingin disiat-siat kulit muka lelaki itu. Dia sangat membenci Marcos yang terlalu setiap pada arahan Shahin Adiy. Entah berapa juta dia dapat dengan menurut perintah Shahin Adiy.
Arghhh... Ayra melepaskan keluhan berat. Dia memulas-mulas sarung bantal, cuba melepaskan perasaan marah yang membuak-buak di dada.
'Aku benci kau Adiy! Aku benci kau! Kau tengoklah nanti, aku akan bunuh kau dan aku akan bunuh Marcos. Baru puas hati aku!'
Ayra cuba mengawal perasaannya yang tidak keruan. Dia bangun menghampiri tingkat. Langsir ditolak ke tepi. Ayra membuka tingkap. Ada grille yang menghalangnya untuk terjun dari tingkap tersebut.
Angin berhembus lembut menyentuh wajahnya. Pada angin lalu, Ayra sampaikan kerinduan pada keluarga di kampung. Dia terlalu berharap sangat agar bapak dan emak akan datang ke Kota Kinabalu untuk mencarinya. Tiada khabar yang dikirimkan mungkin akan mengundang rasa rindu mereka terhadapnya lantas membawa mereka ke mari. Hanya itu sahajalah harapannya yang ada. Dia tidak mungkin dapat keluar dari rumah besar itu lagi. Dia dikawal ketat Marcos, lelaki yang tidak pernah mengukir senyum!
Ketukan di pintu mematikan lamunan. Ayra bangun lalu membuka pintu bilik yang sentiasa berkunci dari dalam. Bahaya pasti mengundang kalau dibiarkan pintu tidak berkunci. Lelaki seperti Marcos itu pasti sanggup melakukan apa saja ke atasnya.
"Makan."
"Kenyang lagi," balas Ayra.
Dia menolak daun pintu semula. Tapi Marcos lebih pantas menahan pintu dari tertutup.
"Turun makan." Suara Marcos kasar.
"Aku sudah kenyang ba."
"Aku ndak peduli. Yang penting kau turun makan sekarang. Sudah dua hari kau ndak makan. Badan kau pun sudah susut. Kalau kau mati kelaparan, aku juga yang susah nanti."
"Ndak Adiy kesah kalau aku mati."
"Bukan itu arahan yang aku terima. Dia pesan, aku mesti jaga kau dengan baik."
"Kau ndak payahlah lurus sangat. Dia mau seksa aku sampai mati. Tu tujuan utama dia!"
"Sudahlah. Kalau kau ndak mau turun makan, aku heret kau sekarang!"
Marcos menumbuk dinding sekuat hati. Terpinga-pinga Ayra dengan tindakan Marcos itu. Marcos mencerlungnya tajam. Kecut perut Ayra bila mendengar ugutan Marcos. Jarang Marcos meninggikan suara ke atasnya.
"Kau turun dulu. Nanti aku turun."
"Aku bilang sekarang!"
"Benarkan aku solat dulu."
Marcos akur. Ayra menarik nafas lega.
* * *
Setelah selesai menunaikan solat isyak, Ayra melangkah keluar dari bilik. Dia melangkah menuruni tangga perlahan-lahan. Langkahnya lemah. Sampai sahaja di bawah, dia terus menuju ke meja makan. Ada sebungkus makanan dan air di situ.
Ayra ke dapur untuk mencuci tangan. Lehernya panjang meninjau ke ruang belakang. Marcos tidak kelihatan di ruang tamu dan di dapur. Ayra beranikan diri memulas tombol pintu belakang. Pintu terkunci rapat.
Huh! Dia cepat-cepat melangkah ke ruang tamu setelah mencuci tangan di sinki. Marcos tidak kelihatan di sofa, tempat lepaknya hampir setiap masa. Pandangannya terus menghala ke bilik Marcos. Pintu bilik tertutup rapat. Dia berharap lelaki itu sedang lena dibuai mimpi.
Ayra cepat-cepat ke pintu utama dan berusaha keras untuk membukanya. Gagal!
Dia cuba lagi dan lagi. Pintu ditolak sekuat hati. Grrrr!!!
Bukan sekali dia mencuba, namun sudah berpuluh kali! Peluh menitik di lehernya. Nasibnya tak pernah baik. Dia kembali ke meja makan. Tak guna dia cuba melarikan diri kalau tenaganya itu tidak mampu hendak memecahkan pintu atau beradu tenaga dengan Marcos.
Ayra buka bungkusan. Ada ikan dan sotong bakar. Juga ada plastik air asam dan nasi putih. Kalau di kampung, jarang dia dapat makan makanan yang enak. Tapi dia tetap berselera dengan apa sahaja masakan yang disediakan emak. Berbeza dengan keadaan sekarang. Hari-hari dia dijamu dengan makanan yang sedap-sedap. Tapi selera pula yang hilang.
Tiba-tiba terdengar pintu pagar dibuka. Ayra bangun lalu menarik langsir yang menutupi sliding door. Marcos melangkah masuk bersama seseorang!
TQ sudi baca. Mohon vote ya utk bab seterusnya ;-)
Follow my ig : karya_zz
Like my fb page : Karya ZZ
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...