"Dah terima surat panggilan kursus?" Dean menghubungi Ayra.
"Dah. Seminggulah kita berkampung di IPG nanti."
Ayra sedang mengemas alat tulis dan buku-buku atas meja guru. Loceng sudah berbunyi. Murid-murid berpusu-pusu keluar dari kelas menuju ke pagar sekolah.
"Kau nak ke IPG dengan siapa?"
Wajah Nadira terbayang di ruang mata. Namun bila teringatkan sesuatu yang akan berlaku petang nanti, wajah gadis itu terus terpadam. 'Dira tentu tak sudi pelawa aku menumpang keretanya.'
"Belum tau lagi."
"Kita pergi sekalilah." Dean terus mempelawa.
"Tengoklah dulu."
Ayra yakin Shahin Adiy yang akan hantar menghantarnya nanti. Hubungan mereka tidak menjadi rahsia lagi ketika itu.
"Aku sorang je ni. Kalau kau ikut sekali, ada juga teman berborak sepanjang perjalanan. Macam selalu." Dean memancing.
"Tengoklah dulu ye. Aku tak janji."
Ayra tak mahu Dean terlalu berharap. Bila Dean dah tahu statusnya sebagai isteri orang, pasti Dean akan menjauhkan diri. Walau bagaimanapun, Ayra berharap agar Dean berfikiran terbuka agar persahabatan mereka akan berkekalan.
"Jom!"
Cikgu Salmah mencelah. Dia sudah siap sedia hendak menuju ke kereta. Ayra segera menamatkan panggilan. Dia mengekori Cikgu Salmah ke garaj.
* * *
"Kak Sal nak tanya sesuatu ni. Harap Ayra tak marah ye."
"Kak Sal nak tanya apa?"
Berdebar Ayra bila Cikgu Salmah bersuara. Mereka baru sahaja melepasi pagar sekolah. Macam ada sesuatu yang penting saja. Perkataan 'harap Ayra tak marah ye' itu yang buat Ayra tak senang duduk.
"Hal peribadi sikit."
Berkerut dahi Ayra. 'Hal peribadi apa pulak ni?'
"Ayra dah ada ke? Maksud Kak Sal, Ayra dah ada yang punya ke?"
"Er... kenapa Kak Sal tanya pulak?"
Hairan Ayra dengan pertanyaan Cikgu Salmah. 'Dia nampak aku keluar dengan Adiy pulak ke?'
"Anak saudara Kak Sal, tengah mencari. Doktor. Kak Sal terus teringat Ayra. Kalau Ayra belum berpunya, Kak Sal rasa tak salah kalau Ayra nak kenal-kenal dulu dengan anak buah Kak Sal tu."
"Doktor... tak padan dengan saya ni kak."
Ayra terus menarik diri. 'Nak cari jodoh untuk aku rupanya.'
"Dia budak baik. Akak tahulah sebab dia anak buah akak. Dia jenis tak reti nak bercinta cintun. Pemalu. Kak Sal rasa sesuai sangat dia dengan Ayra. Kebetulan, dia memang nak cari pasangan dari kalangan cikgu."
"Ramai lagi cikgu yang sepadan dengan anak buah Kak Sal tu."
"Tapi, akak tak kenal cikgu-cikgu lain tu. Yang akak kenal, Ayra sorang sajalah. Kenal-kenal dulu ye, boleh?"
'Aduh, macam mana aku nak terang kedudukan sebenar? Aku isteri orang.' Ayra tersepit. Mahu tolak terang-terangan, terasa dirinya tak beradab pulak. Mahu tolak perlahan-lahan, dirinya pulak yang terus didesak.
"Cikgu Hani tu, bapak dia doktor. Mak dia cikgu. Padanlah dengan anak buah Kak Sal tu."
Wajah Hani Natasha terbayang di ruang mata. Dia guru Bahasa Inggeris, tua setahun daripada Ayra.
"Sebenarnya, akak dah kenalkan mereka berdua. Tapi anak buah akak tu tak suka dengan sikap Cikgu Hani. Agresif sikit." Cikgu Salmah ketawa.
'Tak jadi dengan Cikgu Hani, terus nak bagi kat aku pulak???' Ayra menggerutu. 'Astaghfirullah, tak baik aku berperasaan begitu.'
"Mintak nombor telefon Ayra, boleh akak bagi anak buah akak tu. Borak-borak la kat telefon dulu ye."
"Maaf kak, sebenarnya... saya dah ada kawan."
Terpaksalah Ayra menggunakan ayat paling popular bila menolak harapan seseorang. Daripada membiarkan Cikgu Salmah terus berharap, lebih baik dihentikan segera.
"La... kenapa tak beritahu awal-awal. Kak Sal memang dah agak dah. Gadis macam Ayra ni mustahil masih solo. Dengan cikgu tu ye?" Cikgu Salmah tersenyum.
"Bukan!"
Ayra terus menggeleng. Dia tidak mahu Cikgu Salmah fikir dia dan Dean ada hubungan istimewa. Mereka hanya kawan biasa.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...