Walaupun Nadira sudah ditahan pihak berkuasa, Ayra masih lagi ketakutan. Dia tidak berani berada seorang diri di vila. Mak Siti menemaninya sepanjang masa. Bayangan Nadira masih menghantuinya. Dia tidak menyangka Nadira sanggup mengambil tindakan tersebut. Gadis itu mahu membunuhnya semata-mata kerana mahu mendapatkan Shahin Adiy.
Majlis perkahwinannya akan berlangsung dua hari lagi. Rasa debar dan takut menguasai dirinya berbanding rasa gembira. Shahin Adiy memintanya supaya tidak terlalu memikirkan tindakan Nadira kerana rancangannya sudah gagal. Nadira pasti sudah serik untuk mengganggu mereka lagi. Dia pastinya akan merengkok di penjara untuk beberapa tahun atas dakwaan menyerang dan cubaan membunuh.
"Siapa nama perempuan yang serang kakak?" tanya Ayza.
"Nadira."
"Nama sebenar?"
"Nadira. Aku panggil Dira saja. Kenapa?"
"Mimi, kawan aku yang kerja di hotel tu cakap, perempuan tu daftar dengan nama lain. Kalau ndak silap aku, dia pakai nama Shasha."
"Shasha?"
Ayza mengangguk.
"Licik Si Dira tu." Ujar Ayra.
Nadira sudah merancang awal. Kalau rancangannya berjaya, tentu pihak polis tidak dapat mengesannya.
"Sanggup dia buat macam tu. Dia cinta Abang Adiy ya kak?"
"Ya. Tapi tindakannya tetap salah. Dia sudah musnahkan hidup dia."
"Macam-macam perangai manusia zaman sekarang ni." Tambah Mak Siti.
"Kerana Si Dira, aku dan Adiy berjumpa semula. Kesian juga Si Dira tu. Aku pun ndak tau mau cakap apa lagi."
"Ndak payah kakak simpati sama Si Dira. Dia cuba bunuh kakak, ingat ba!"
"Betul ba kata Ayza tu. Sekarang, mari kita sama-sama isikan gelas ni dalam beg."
Ayra dan Ayza menghampiri Mak Siti. Gelas-gelas kecil yang berada di dalam kotak dimasukkan ke dalam beg. Selain gelas, mereka juga memasukkan sebiji epal yang diikat reben dan kek cawan sebagai cenderamata kepada tetamu yang hadir.
"Kak, ada orang mau jumpa," ujar Khairi yang baru selesai membantu orang kampung mendirikan khemah.
"Siapa?" Terus berdebar dada Ayra.
"Kak tengoklah sendiri." Khairi terus menuju ke dapur. Dia mahu membasahkan tekak.
Ayra memandang emak dan adiknya. Kedua mereka mengangkat bahu. Semua tidak dapat mengagak siapakah yang ingin berjumpa dengannya.
Mak Siti menemani Ayra keluar. Dia tidak mahu Ayra bersendirian. Ayra masih trauma dengan kejadian tempoh hari.
Terkebil-kebil mata Ayra bila memandang seorang wanita yang sedang tercegat di bawah khemah.
"Syidah," bisik Mak Siti.
Syidah? Ayra hampir tidak cam melihat Syidah. Badannya tambah berisi berbanding dulu. Dia memakai baju T dan midi bunga-bunga kecil.
Syidah menghampiri Ayra. Dia menghadiahkan senyuman. Mak Siti kembali menyambung kerjanya.
"Mak aku yang suruh aku balik. Dia mau aku hadiri majlis perkahwinan kau. Boleh ba?"
"Eh, ndak apalah ba."
"Malu aku sama kau... sama Adiy..."
"Lupakan. Aku sudah maafkan. Adiy sudah ceritakan sama aku."
"Aku mau minta maaf sekali lagi."
"Sudah aku maafkan ba. Jom masuk, tolong aku isi beg."
Syidah yang masih tebal dengan rasa malu atas perbuatannya yang lalu melangkah masuk ke dalam vila. Ayra sedang meminta pertolongannya. Dia tak seharusnya menolak. Kesalahan lalu harus ditebus.
"Kau sudah berjaya sekarang. Cita-cita kau untuk menjadi cikgu sudah tercapai."
"Insya-Allah. Aku masih dalam kursus. Kau buat apa sekarang?"
"Aku kerja di KK, pembantu jurujual. Di mana kau tinggal sekarang?"
"Perak. Kalau ke semenanjung, jangan lupa hubungi aku."
"Ndak tau bila aku dapat ke sana."
"Mana tahu rezeki datang bergolek nanti."
Syidah terharu kerana Ayra melayannya masih sama seperti dulu. Dia rasa bersyukur sangat kerana Ayra masih sudi menerimanya sebagai kawan. 'Kenapalah aku jahat sangat dulu?' Syidah merengus.
Ayra masih sayangkan persahabatannya dengan Syidah. Gadis itu sudah memohon maaf. Dia tidak seharusnya menolak permohonan maaf Syidah itu. Syidah juga sudah menyedari kesalahannya.
Mereka sedang cuba memulihkan kembali persahabata yang pernah terjalin dulu.
Ayra juga sayangkan persahabatannya dengan Nadira. Sayangnya, Nadira sudah bertindak melampau. Dan sekarang, dia terpaksa menanggung segala perbuatannya. Ayra tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu Nadira.
Punca persahabatannya dengan Syidah dan Nadira tergugat hanya kerana lelaki. Lelaki bernama Shahin Adiy yang telah pun menjadi suaminya.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
Storie d'amoreAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...