Part 87

830 23 0
                                    

"Seronok shopping sayang?" tanya Shahin Adiy yang sedang melipat sejadah.

"Boleh la."

Ayra menanggalkan tudung. Kerongsang diletakkan dalam bekas kaca. Dia terus merebahkan diri atas katil. Kepenatan masih terasa. Kakinya lenguh-lenguh kerana berjalanan terlalu lama di dalam pusat beli belah Pavilion.

"Tak beli apa-apa ke?" soal Shahin Adiy kehairanan.

Ayra menggeleng. Matanya terpejam. Perbuatan Datin Fadhilah memberi kesan di hatinya. Sepanjang perjalanan pulang, dia hanya membisu. Dia tidak faham kenapa Datin Fadhilah memperlakukannya sedemikian rupa.

"Kenapa? Kad kredit abang kan ada." Shahin Adiy duduk di tepi katil. Dia membelai rambut isterinya.

"Malas nak guna." Ujar Ayra.

Kad kredit yang diberikan Shahin Adiy masih terselit kemas di dalam dompetnya. Dia sendiri tidak tahu apa yang hendak dibeli di Pavilion. Citarasanya hanyalah baju kurung, blaus dan tudung yang dijual di Jalan Masjid India. Shahin Adiy pernah membawanya ke sana sekali.

"La... ke situ pulak. Kan abang dah cakap, kalau nak beli apa-apa gunalah kad tu. Tak perlu minta izin dulu."

"Nanti abang bawa Ayra ke Jalan Masjid India. Kat situ baru Ayra akan jumpa barang yang Ayra nak."

Shahin Adiy tergelak kecil. Dia memahami sikap Ayra yang tidak suka berbelanja ke atas barang-barang yang mahal. Membazir katanya.

"Mama mesti banyak membeli, kan?"

Ayra mengangguk. Dia mengeluh kecil bila teringatkan sikap Datin Fadhilah. Hendak diberitahu kepada Shahin Adiy, bimbang pulak Shahin Adiy akan menuduhnya mengada-ngada. Mungkin juga Shahin Adiy tidak akan percaya jika dia ceritakan layanan dingin yang diterimanya semasa menemani Datin Fadhilah membeli-belah. Depan Shahin Adiy, Datin Fadhilah melayannya cukup baik dan hampir sempurna. Tapi, bila di belakang Shahin Adiy, terserlah sikap sebenar Datin Fadhilah. Ibu mentuanya itu masih belum dapat menerimanya sebagai menantu.

"Dah solat?"

"Cuti," balas Ayra sepatah. "Ayra nak ke dapur, tekak haus." Ayra terus bangun.

"Pergilah. Abang nak cas bateri handset. Kejap lagi abang turun."

Ayra meninggalkan bilik. Sempat matanya menjeling ke bilik Datin Fadhilah yang tertutup rapat pintunya. Dia terus berjalan ke dapur. Sebotol air oren dikeluarkan dari dalam peti ais. Dia menuangkannya ke dalam gelas. Ayra terus minum air, menghilangkan dahaga.

Mak Onah tidak kelihatan di dapur. Ayra terus mencari Mak Onah. Dia ingin berbual dengan perempuan tersebut yang lebih memahami sikap Datin Fadhilah berbanding dirinya. Mak Onah sudah lama berkhidmat dengan Datin Fadhilah. Pasti banyak yang dia tahu mengenai keluarga tersebut.

Ayra tidak ingin tahu apa-apa. Dia hanya ingin tahu kenapa Mak Onah berpesan kepadanya supaya berhati-hati.

Mak Onah sedang menyiram pokok bunga. Masyitah di sebelahnya. Ayra perhati sekeliling. Tiada sesiapa di sekitar. Datin Fadhilah sedang berehat di biliknya. Syamilah Aqilah belum pulang dari butik. Hisyam juga masih belum pulang dari pejabat. Haziq menghadiri latihan taekwando.

"Chitah, sini."

Ayra mendepangkan tangan. Masyitah berlari ke arahnya. Ayra terus memeluk, mencium pipi Masyitah lalu mendukungnya.

"Dah boleh jadi ibu." usik Mak Onah.

"Belum ada rezeki lagi Mak Onah."

"Insya-Allah, adalah rezeki tu nanti."

"Insya-Allah. Mak Onah, saya nak tanya sikit, boleh?" soal Ayra. Dia sekali lagi pandang sekeliling bagi memastikan tiada sesiapa di situ.

"Banyak pun tak apa." Mak Onah tergelak.

"Kenapa Mak Onah suruh saya berhati-hati dengan mama dan Kak Sya?"

Mati terus ketawa Mak Onah. Dia merenung wajah ayu Ayra. Melalui mata Ayra, dapat diselami hati wanita itu yang sudah lama bersulam air mata. Penderitaan demi penderitaan menimpanya. Kebahagiaan yang dicarinya masih jauh.

"Mak Onah tak ada niat nak mengeruhkan hubungan Ayra dengan keluarga ni. Mak Onah cukup faham dengan sikap Datin Fadhilah dan anak-anaknya. Adiy, lembut orangnya. Mirip arwah. Fina, seorang yang tegas dan berani. Sya pulak, ikut perangai Datin hampir seratus peratus. Kalau mereka kata hitam, hitamlah. Tak boleh orang lawan. Kalau lawan, mereka tak akan berdiam diri."

Ayra sudah dapat menangkap makna tersirat yang ingin disampaikan Mak Onah. Kalau Datin Fadhilah kata tak suka padanya, bermakna sampai bila-bila pun Datin Fadhilah tak akan menyukainya. Apa yang dilakukan ibu mentuanya sebelum ini, pura-pura insaf rupa-rupanya hanyalah lakonan semata-mata. Datin Fadhilah ada agenda sendiri untuk memisahkannya dengan Shahin Adiy.

Ayra menghela nafas. Dia berdoa agar niat Datin Fadhilah tidak akan tercapai. Dia tidak ingin berpisah dengan Shahin Adiy. Dia mencintai suaminya! Ya, dia sudah jatuh cinta pada Shahin Adiy.

* * *

Selesai bengkel, Ayra terus bangun. Dua jam duduk, punggungnya terasa kebas. Pengacara majlis menjemput penceramah dan guru-guru untuk minum petang. Makanan sudah disediakan di luar. Ayra meninggalkan dewan. Perutnya belum terasa lapar. Ayra terus menuju ke pintu pagar Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar.

Ayra mengeluarkan telefon bimbit. Belum sempat menghubungi teksi, bahunya ditepuk kuat.

"Ayra, tunggu sekejap, aku ada hal nak cakap dengan kau."

Bahunya disentuh. Nadira! Ayra terus menepis tangan Nadira. Dia tidak nampak kelibat Nadira di dalam dewan. Mungkin Nadira duduk di belakang, sebab itulah dia tak perasan penyertaan gadis itu dalam bengkel Peningkatan Profesion Perguruan.

"Maaf, aku sibuk."

Ayra tidak pedulikan Nadira. Dia terus mengatur langkah. Melayan Nadira hanya akan mengundang padah. Ayra enggan tunduk dengan permintaan Nadira. Dia terus berjalan menuju ke pintu pagar.

"Kenapa dengan kau ni? Aku nak cakap sikit pun tak boleh ke? Untuk kebaikan kau jugak!"

'Untuk kebaikan aku?' Ayra menggeleng kepala. Dia sudah melangkah keluar dari PPD. Ayra menuju ke pondok bas. Nadira cuba menyainginya.

"Kau nak apa?"

"Aku nak kau tinggalkan Adiy. Tak perlulah kau nak bersaing dengan aku. Kau sendiri nampak, Datin Fadhilah sayangkan aku." Nadira berterus terang keinginannya.

Kalau itu sahaja yang ingin Nadira katakan, lebih baik jika dia tak layan dan pekakkan telinga. Nadira telah banyak menyakitkan hatinya. Ayra mendail nombor telefon teksi. Nadira bengang kerana Ayra langsung tak peduli dengan kata-katanya.

"Lebih baik kau undur diri. Kalau kau berkeras, sesuatu yang buruk akan berlaku. Sesuatu yang tak pernah kau jangkakan." Nadira memberi amaran keras.

Ayra menghubungi syarikat teksi Kuala Kangsar dan meminta teksi menjemputnya sekarang jugak.

"Datin tak pernah terima kau. Sedarlah diri tu sikit."

"Kau pun sama, sedarlah diri tu sikit. Adiy tak pernah sukakan kau. Dia suami aku sejak dulu lagi. Aku harap kau faham. Hentikanlah usaha kau untuk dapatkan dia. Buang masa saja!"

Terpinga-pinga Nadira bila ditempelak Ayra.

Puas hati Ayra bila tidak mendengar lagi kata-kata dari mulut Nadira. Gadis itu terus terdiam. Mukanya berkerut-kerut. Bibirnya herot ke kiri, ke kanan. Nadira terus bangun. Dia meninggalkan Ayra.

Sesuatu yang buruk?

Sesuatu yang tak dijangkakan?

Ayra menekup telinganya dengan kedua-dua belah tangan. Nadira tak habis-habis mengganggu hidupnya. 

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now