Part 94

785 25 1
                                    

Terkejut Ayra apabila menerima tetamu petang itu. Ayra baru sahaja keluar dari bilik air ketika Suhaila memberi salam di luar pintu pagar. Dia meminta Suhaila tunggu sekejap sementara dia bersiap-siap.

Dia masih kepenatan. Semalam adalah hari yang sibuk baginya. Usahanya untuk menemui Shahin Adiy gagal kerana dihalang Datin Fadhilah. Ayra berpatah balik ke Hentian Duta. Dia tidak sempat mengejar bas paling akhir dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar yang bergerak jam 9.00 malam. Terpaksalah dia menunggu di situ sehingga pagi dan menaiki bas paling awal balik ke Kuala Kangsar.

Kunci yang tersangkut di dinding segera dicapai. Ayra membuka pintu.

"Kau sihat?"

Itulah pertanyaan pertama yang keluar dari mulut Suhaila.

"Fizikal sihat. Mental tak berapa sihat."

Sempat lagi Ayra buat lawak untuk menceriakan kehadiran sahabatnya.

"Banyak kali aku call kau tapi tak dapat. Kau tutup handset ke?" soal Suhaila.

Berpuluh kali dia menghubungi nombor telefon Ayra namun tidak berjaya. Dia mula rasa tak sedap hati.

"Aku dah buang kad SIM. Kau duduklah. Aku ke dapur kejap."

Suhaila terus menarik tangan Ayra.

"Kenapa? Kenapa kau buang kad SIM kau?"

Melihat wajah Ayra, Suhaila dapat mengagak sahabatnya itu sedang menanggung derita. Jelas raut wajahnya yang pucat. Matanya juga sedikit cengkung. Mungkin berita kemalangan Shahin Adiy sudah sampai ke telinga Ayra.

Suhaila mendapat tahu berita tersebut daripada Nadira. Dia tidak sengaja bertemu gadis itu di Maybank ketika sedang beratur di mesin ATM. Nadira dalam keadaan tergesa-gesa. Suhaila terus menyapanya. Nadira memberitahu yang dia mahu ke Kuala Lumpur segera untuk melawat Shahin Adiy yang kemalangan.

"Bila Adiy kemalangan?"

"Dua hari lepas."

"Macam mana keadaan Adiy?" soal Suhaila yang terkejut dengan berita tersebut.

"Aku pun belum sempat ziarahi Adiy. Semalam ada mesyuarat kat sekolah sampai petang," ujar Nadira.

"Ayra dah tahu?"

"Entah, manalah aku tahu." Nadira terus beredar menuju ke keretanya.

Terkejut Suhaila dengan berita tersebut. Terus dia menghubungi Ayra. Dia menyangka Ayra pasti sedang berada di sisi suaminya. Namun, nombor telefon Ayra gagal dihubungi. Suhaila mencuba lagi dan lagi. Dia rasa tak sedap hati dengan keadaan tersebut. Suhaila terus ke rumah sewa Ayra.

Suhaila tidak menyangka akan bertemu dengan Ayra di rumah sewa.

"Kenapa kau buang kad SIM? Rosak ke?"

"Tak adalah. Aku... aku ingat nak tukar nombor." Ujar Ayra yang masih belum berkesempatan untuk membeli kad SIM baru.

Kemaharan yang tak terkawal menyebabkan dia mengambil tindakan mematahkan kad SIM. Akibat perbuatannya yang tidak berfikir dahulu sebelum bertindak, rakan-rakan sukar untuk menghubungi. Dia sendiri sukar untuk berhubung.

"Kenapa? Ada masalah ke dengan nombor lama?"

"Ada masalah sikit. Kau dah tahu ke, Adiy kemalangan."

Suhaila mengangguk. "Aku dapat tahu dari Dira. Terserempak dengan dia kat Maybank tadi. Dia tergesa-gesa keluarkan duit. Nak ke KL katanya, melawat Adiy. Kau tak pergi ke?"

"Dah. Aku dah pergi semalam."

Ayra teringat sambutan dingin yang diterimanya. Datin Fadhilah tidak membenarkannya menemui Shahin Adiy.

"Macam mana keadaan Adiy?"

Ayra menjongket bahu. "Aku tak dapat jumpa dia."

"Kenapa? Waktu melawat dah habis?" soal Suhaila kehairanan.

Ayra menggeleng. "Datin Fadhilah tak bagi aku jumpa Adiy."

"Er... mak mentua kau?"

Ayra angguk kepala. Mukanya keruh. Perbalahannya dengan Datin Fadhilah menyukarkannya untuk melawat Shahin Adiy.

"Eh, kenapa pulak? Kau tu isteri Adiy. Kau ada hak ke atas suami kau tu. Dia tak ada kuasa nak halang kau."

"Aku ada masalah sikit dengan keluarga Adiy. Mereka tak dapat terima aku."

"Mereka? Maksud kau..."

"Mak dan kakak Adiy."

Suhaila mulai faham kedudukan Ayra yang mempunyai masalah denga keluarga mentuanya. Perpisahannya dulu mungkin juga disebabkan oleh keluarga Shahin Adiy. Suhaila membuat andaian.

"Kau tak nak pergi jumpa Adiy lagi?"

"Esok aku pergi. Aku baru balik dari KL pagi ni. Terpaksa ambik MC. Kalau aku pergi petang esok lepas sekolah, banyak masa sikit. Kalau tak berjaya jumpa Adiy jugak petang esok, aku boleh tidur di hotel bajet. Sabtu dan Ahad aku akan cuba lagi untuk jumpa dia."

"Kau pergi dengan bas ke?"

"Yelah Ila. Nak pergi dengan apa lagi. Takkanlah nak naik teksi dari sini."

"Kalau aku tahu jalan kat KL tu, boleh aku bawak kau."

"Tak apa, aku faham. KL bukan macam kat sini."

"Aku tak berani lagi nak drive kat jalan yang sibuk macam KL tu."

"Eh Ila, aku nak mintak tolong, boleh?"

"Cakap saja. Kau nak suruh aku buat apa."

"Tolong bawak aku jumpa Dean. Kau tahu tak rumah sewa dia?"

"Aku tak tahu. Tapi aku boleh call dia, tanya kat mana rumah sewa dia. Kau nak ajak Dean temankan kau ke KL ke?"

"Tak adalah. Aku ada urusan dengan dia. Urusan yang perlu diselesaikan segera. Sebelum aku buang kad SIM aku tu aku ada call dia banyak kali. Tapi tak berangkat. Nanti kau call dia, jangan sebut aku nak jumpa dia. Kau rekalah alasan. Nak buat assignment atau apa-apa saja."

"Aku call Dean sekarang."

Suhaila mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangan. Dia terus menghubungi nombor Dean. Ayra bukan setakat ada masalah dengan keluarga mentuanya, dia juga seperti ada masalah dengan Dean.

"Hello, aku ni, Ila."

Suhaila mengangkat ibu jari sebaik sahaja Dean menjawab panggilannya. Ayra menahan sabar. Memang Dean sengaja tidak mahu menjawab panggilannya.

Suhaila terus mengatur pertemuan. Dia mengajak Dean untuk siapkan tugasan bersama-sama. Tempat yang telah dipersetujui ialah Laman Budaya.

Ayra menghela nafas. Mujurlah dia tidak perlu menyerang lelaki itu di rumah sewanya. Jam 6.00 petang nanti dia akan mendapat jawapan daripada Dean mengenai gambar tersebut.

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now