'JEMPUTAN KE MAJLIS PERKAHWINAN SHAHIN ADIY & AYRA DI VILA CAHAYA, KUNDASANG.'
Terkejut Nadira apabila membaca 'acara' yang terpampang di dinding facebook Shahin Adiy. Lelaki itu menjemput rakan-rakan dan saudara maranya ke majlis perkahwinannya yang akan diadakan hujung minggu.
Belum sempat membuang lelah, dia telah menerima satu kejutan. Terasa bagai disiat-siat bila membaca baris-baris yang tertera pada jemputan tersebut. Lebih malang lagi kerana dia langsung tak dijemput.
Nadira terus menghubungi Datin Fadhilah. Dia memohon agar Datin Fadhilah meminta Shahin Adiy agar menangguhkan majlis tersebut. Datin Fadhilah memaklumkan yang dia telah meminta Syamila Aqilah menghantar pesanan facebook kepada Shahin Adiy. Mereka juga tidak setuju dengan tindakan Shahin Adiy itu.
Misi harus dijalankan segera. Dia tidak boleh mengharapkan pesanan Datin Fadhilah semata-mata bagi menangguhkan majlis. Pasti Shahin Adiy tidak akan mempedulikan permintaan keluarganya. Nadira tidak sanggup untuk membiarkan Ayra meraikan majlis perkahwinannya.
Nadira sudah berada dalam kereta yang disewa dari pihak hotel. Dia memandu menuju ke Vila Cahaya. Tidak susah hendak mengesan kedudukan vila tersebut. Yang penting ringan mulut untuk bertanya.
Nadira memerhati dari jauh. Sebentar kemudian, kelihatan Ayra dan Shahin Adiy meninggalkan vila. Mereka masuk ke dalam kereta dan terus berlalu. Nadira menarik nafas. Tekaannya benar. Pasangan tersebut tinggal di Vila Cahaya.
Tanpa membuang masa, Nadira terus ke vila. Dia menyusup ke bahagian belakang vila. Ada sebuah pintu di situ. Nadira cuba membukanya. Pintu tidak berkunci!
Nadira kembali ke hotel setelah selesai meninjau kawasan vila termasuk di bahagian dalam. Kelengkapan yang telah disediakan semasa berada di Kota Kinabalu lagi dikeluarkan dari dalam beg pakaiannya. Sarung tangan dan pisau kemudian dimasukkan ke dalam beg tangan.
Ketika matahari sudah tenggelam, Nadira kembali ke vila. Dia memarkir keretanya jauh dari vila. Jaket biru muda dan cermin mata ditanggalkan. Nadira mengikat rambut. Dengan penuh hati-hati, dia meninggalkan kereta. Perlahan-lahan dia menapak ke vila dengan pakaian hitam dan sarung tangan. Pisau dipegang kemas.
Dia berharap rancangannya akan berjaya.
Nadira terus menuju ke pintu belakang. Dia menolak daun pintu yang tidak berkunci lalu terus menyusup masuk.
* * *
Nadira bersembunyi dalam sebuah bilik kosong berhampiran pintu dapur. Dia melihat kelibat Shahin Adiy menuju ke dapur. Lelaki itu membuka peti ais. Dia mencari-cari sesuatu.
Shahin Adiy mencari sos tiram. Namun, botol sos tiram tidak kelihatan di dalam peti ais. Dia bercadang hendak menggoreng sawi dan udang.
Shahin Adiy terus ke bilik. Dia mengetuk pintu bilik air. Isterinya berada di dalam. Ayra terus menutup kepala paip apabila terdengar ketukan.
"Abang keluar kejap, nak beli sos tiram." Ujar Shahin Adiy yang terlupa untuk membeli sos tiram. Lain-lain barangan dapur ada kecuali sos tiram.
"Abang beli tisu sekali," jerit Ayra dari dalam bilik air.
"Okey. Abang keluar sekejap je."
Shahin Adiy terus meninggalkan bilik.
Nadira yang mengekori lelaki itu cepat-cepat menyembunyikan diri di balik langsir. Dia menahan nafas. Setelah deruan enjin Pajero kedengaran semakin jauh, Nadira terus melangkah keluar dari tempat persembunyiannya. Pucuk dicita ulam mendatang. Dia memang menunggu saat itu. Saat di mana Ayra ditinggalkan bersendirian.
Perlahan-lahan dia menapak ke bilik utama. Dia harus menjalankan rancangannya secepat mungkin. Perbualan Shahin Adiy dengan isterinya tadi dapat ditangkap telinganya kerana dia berdiri tidak jauh dari bilik utama. Lelaki itu keluar untuk membeli sos tiram dan tisu.
Dalam masa sepuluh minit, Nadira harus selesai menjalankan misinya!
* * *
Ayra membuka pintu bilik air. Setapak melangkah, tiba-tiba terasa badannya ditolak ke dinding. Kedua belah tangannya pula ditarik ke belakang. Mulanya dia menyangka Shahin Adiy hendak bergurau dengannya. Sakit mukanya ditonyoh ke dinding konkrit. Tiba-tiba dia melihat pisau bersinar-sinar bermain di depan matanya. Jantungnya terus kehilangan rentak. Bukan Shahin Adiy yang menolaknya ke dinding.
"Dah banyak kali aku bagi amaran pada kau, tapi kau masih jugak tak mahu mengalah. Degil!"
Ayra tergamam mendengar suara Nadira.
"Kau nak apa?" jerit Ayra yang tak menyangka Nadira mengkorinya hingga ke Vila Cahaya.
"Tanya lagi. Kau kan tahu apa yang aku nak."
"Mana aku tahu apa yang kau nak!" bidas Ayra yang cuba melepaskan diri.
"Aku nak bunuh kaulah bodoh!"
Nadira terus menonyoh muka Ayra ke dinding. Dia meletakkan pisau pada leher Ayra. Bila-bila masa sahaja riwayat 'musuh'nya itu akan menemui titik tamat.
"Mengucap Dira. Kau tak boleh buat aku macam ni." Ayra terpaksa berlembut. Nadira sudah hilang kewarasannya.
"Kau yang kena mengucap, bukan aku! Aku akan hantar kau ke neraka sekarang!"
Nadira mengangkat tinggi pisau dalam genggamannya. Belum sempat menikam leher Ayra, tiba-tiba tangannya dipegang. Kuat! Dia tidak berdaya melawan. Badannya dijatuhkan.
Ayra terus berundur. Nyawanya yang bagai telur di hujung tanduk itu telah diselamatkan oleh suaminya.
"Telefon polis sekarang!" arah Shahin Adiy sambil menekan Nadira ke lantai. Kedua-dua tangan gadis itu ditarik ke belakang dan dipegang kemas.
Nadira meronta-ronta namun gagal untuk melepaskan diri. Dia menjerit-jerit persis orang gila.
Shahin Adiy tidak menyangk dompet yang tertinggal di bilik akan menyelamatkan keadaan. Dia hanya menyedari dompetnya tertinggal ketika sudah hampir separuh perjalanan. Dia terus berpatah balik untuk mengambil dompet.
Ketika menghampiri bilik, dia terdengar suara Nadira. Terkejut dia bila pisau di tangan Nadira yang sudah bersedia hendak menikam Ayra. Pantas Shahin Adiy mengambil tindakan pantas dengan memegang tangan Nadira dan menolak gadis itu ke lantai.
"Lepaskan aku," rayu Nadira lemah. "Aku... aku cuma bergurau."
Nadira tidak menyangka misinya gagal. Dia meronta lagi. Tenaga Shahin Adiy sukar dilawan.
"Kau terangkan pada pihak polis."
Ayra menggenggam erat telefonnya. Dia sudah menghubungi polis. Lututnya masih menggeletar. Dia tidak menyangka Nadira sanggup mengambil tindakan sejauh itu. Kalaulah Shahin Adiy tidak muncul tepat pad masanya, pasti dia sudah mati di tangan Nadira.
Beberapa minit kemudian terdengar siren polis.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...