Part 16

970 32 0
                                    

"Lepak kat rak novel pulak dah. Kata nak beli buku berkaitan psikologi kanak-kanak!"

Dean merampas novel yang sedang khusyuk dibaca Ayra. Geram hatinya bila Ayra lekat di situ.

"Kejap la. Nak tengok novel-novel baru ni kejap aje. Kau tolong carikan buku psikologi untuk aku dulu ye."

Ayra bersuara lembut. Dia tidak boleh berganjak selagi tidak mencapai novel yang berkenan di hati.

"Aku dah tengok dah. Banyak jenis buku psikologi yang ada kat bahagian sana tu. Kau kena pilih sendiri yang mana bersesuaian."

"Alah, kita kan sekelas. Kita belajar benda yang sama. Takkan kau tak tahu pulak buku yang mana paling sesuai. Nak harapkan aku jugak!"

Ayra mengomel. Matanya masih tak lepas dari membaca sinopsis di belakang novel.

"Jom la. Sampai bila nak lekat kat sini. Perut aku dah lapar ni!"

Dean menepuk perutnya yang sengaja dikosongkan sejak petang tadi. Selain keluar menemani Ayra membeli buku, dia juga mempunyai perancangan lain. Dia mahu ajak Ayra makan malam bersama.

"Sabar la. Aku kan minat baca novel. Banyak novel baru yang ada ni."

"Fantasi penulis je tu. Bukannya betul pun! Rugi je baca. Pembaca novel pun dah jadi macam penulis novel. Asyik berangan 24 jam!"

"Banyak info apa yang kita boleh dapat dalam novel tau. Bukan fantasi semata-mata!" Panas hati Ayra bila hobinya diperlekeh.

"Ye ke banyak info? Setahu aku, info pasal cinta banyak la dalam setiap novel."

"Bukan info pasal cinta saja yang ada. Banyak lagi info yang kita boleh dapat dengan membaca novel. Pasal penyakit, pasal perniagaan, rumah tangga, kerjaya, tempat-tempat menarik seluruh dunia... banyak lagi tau!"

Ayra mencerlung wajah Dean. Dia mengetap bibir. Hatinya masih panas. Sewenang-wenang Dean mempersenda hobinya yang suka membaca novel.

"Hmm, yolah tu!"

Dean ketawa mengekek.

"Tu la kau... malas membaca lagi! Banyak yang ketinggalan."

Ayra mencebik. Dia sambung baca sinopsis.

"Yelah... aku faham. Aku akui kau tu memang ulat buku. Kalau seminggu tak baca novel, kau tak boleh hidup. Bersyukur para penulis novel sebab ada pembaca macam kau yang sentiasa menghargai mereka dengan membeli dan membaca karya-karya mereka."

"Tau tak apa."

Ayra meletakkan kembali novel yang dipegangnya ke rak. Sinopsis kurang menarik. Sinopsis juga memainkan peranan penting untuk menarik perhatian pembaca membeli novel. Kalau sinopsis kurang menarik, lambatlah sikit nak dihabiskan cetakan satu. Lainlah kalau penulis yang sudah ada nama. Mereka mempunyai pembaca setia yang akan membeli setiap kali terbit novel baru.

Matanya kemudian melekat pada novel-novel terlaris yang terpampang di dinding. Satu demi satu tajuk dibaca. Mulutnya kumat-kamit membaca tajuk dan nama penulis.

Tiba-tiba...

Ayra terus menoleh ke luar kedai! Dia terlihat kelibat seseorang di luar kedai buku. Sekali imbas dia sudah boleh cam kelibat makhluk itu.

Apa dia buat di sini? Jantungnya terus berdegup kencang.

"Kenapa?"

Dean turut memandang ke luar. Tiada apa yang menarik di sana. Dia menoleh ke wajah gadis di sebelahnya. Muka Ayra pucat! Macam baru nampak hantu.

"Nampak macam... er..."

Ayra terus merenung ke luar. Kelibat lelaki itu sudah tidak kelihatan. 'Mimpikah aku?'

"Siapa yang kau nampak?"

Dean mencari-cari seseorang yang dikenali di luar kedai. Tak nampak sesiapa pun di luar sana.

"Ah, lupakanlah."

Ayra mengalih pandangannya. Dia kembali memerhati novel di rak. 'Aku tersilap agaknya.'

"Siapa yang kau nampak? Classmate kita ke?"

"Tak. Teman lelaki Dira."

"Teman lelaki Dira?"

Dean terus memanjangkan leher, meninjau-ninjau orang yang lalu lalang di luar. Tak kelihatan pun lelaki yang dimaksudkan. Pagi tadi, semasa di dalam kelas, dia sempat menunjukkan gambar tunang Nadira pada Aisyah. Bukan main cemburu lagi Aisyah kerana Nadira mendapat pasangan hidup yang tampan dan bergaya. Terus dituduhnya lelaki itu rabun kerana memilih teman wanita seperti Nadira.

"Salah orang agaknya. Lupakanlah!"

"Tak nampak pun. Kau ni biar betul?" Dean menghela nafas. "Bukan mamat tu orang KL ke? Takkan boleh berada di sini pulak. Jangan-jangan kau ni dah angau dengan boyfriend kawan baik sendiri."

Dean menduga hati Ayra lagi. Gadis itu hanya mencebik bibir.

"Dira dah balik asrama. Boyfriend dia yang hantar tadi."

"Oh patutlah... Tak hairanlah kalau kau nampak lelaki tu kat sini. Aku ingatkan Dira masih di kampung."

"Apa hal dia ke sini?"

Pertanyaan yang tak diduga itu tiba-tiba keluar dari mulut Ayra.

"Itu pun masalah ke? Adalah tu. Mungkin mereka keluar makan atau tengok wayang ke... atau kedua-duanya sekali."

Ayra terasa bodoh kerana mengajukan pertanyaan tersebut. Nampak seperti dia pulak yang sibuk dengan hal orang. Malu pulak dia pada Dean. Nadira dan teman lelakinya mungkin keluar makan atau mungkin juga mahu menonton wayang. Yang pastinya, lelaki itu bukan mengekorinya! Teman lelaki Dira dan Shahin Adiy bukan orang yang sama. Ayra meyakinkan dirinya.

Shahin Adiy dah mati!

"Jom cari buku psikologi."

Ayra terus menuju ke rak yang tersusun buku-buku ilmu psikologi. Sambil membelek-belek buku yang dipamerkan di rak, fikirannya terbang melayang lagi pada kenangan lalu. Kenangan lalu yang tidak ingin diingat lagi. Namun sejak kemunculan teman lelaki Nadira dengan wajah dan suara yang sama, dia tidak dapat menepis kenangan lalu yang tiba-tiba segar kembali dalam ingatannya.

P/S: READ, VOTED & SHARE. TQ

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now