Part 89

730 24 1
                                    

Ayra buka mata. Kepalanya masih terasa pening. Dia berada di dalam bilik sekarang. Ayra pandang ke kanan. Suaminya tiada di sebelah. Sesaat kemudian dia teringat suaminya kini berada di Jakarta.

Fikirannya menerawang jauh. Peristiwa semalam cuba dikembalikan ke dalam ingatan. Ayra memicit-micit dahinya. Pening masih terasa.

Selepas menunaikan solat maghrib, Ayra bergerak menemani kakak iparnya ke pertunjukan fesyen. Syamila Aqilah memandu sendiri keretanya dan Ayra duduk di sebelah. Mereka sampai ketika pertunjukan fesyen baru bermula. Syamila Aqilah mahu melihat fesyen terkini 'eveningwear' yang diperagakan. Dia mahu memenuhkan pakaian di butik D'Syamila dengan fesyen baru bagi menarik pelanggan.

Ayra duduk semeja dengan Syamila Aqilah ketika peragawati sedang berjalan di atas pentas. Syamila Aqilah leka memerhati pakaian yang melekat ditubuh peragawati-peragawati jelita itu. Mulutnya tidak berhenti memuji dan juga mengkritik pakaian yang diperagakan. Ayra hanya mendengar. Dia tidak berani komen apa-apa kerana tidak faham apa tujuannya berada di situ.

Yang ada dalam hatinya saat itu, dia mahu balik segera. Bukan balik ke rumah suaminya, tapi balik ke rumah sewanya di Kuala Kangsar.

"Hai!" sapa Nadira.

Satu lagi kejutan diterima Ayra apabila Nadira turut hadir dalam majlis tersebut. Pakaiannya, memang kena dengan majlis. Nadira mengenakan dress yang labuh dan terdedah di belakangnya. Kasut tumitnya panjang sejengkal. Ayra dah mula rasa tak sedap hati apabila Nadira turut berada dalam majlis tersebut. Segalanya bagai telah dirancang rapi.

Nadira rancak berbual dengan Syamila Aqilah. Hubungan mereka begitu akrab. Bukan setakat hati Datin Fadhilah yang ditawan Nadira, malah hati Syamila Aqilah juga. Ayra kagum dengan kehebatan Nadira mengambil hati bakal kakak iparnya. Mereka rancak berbual tentang fesyen. Topik yang membuatkan Ayra hanya mendengar. Tidak sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya.

Ayra meneguk air coca cola yang dihidangkan. Selepas itu kepalanya mula terasa pening. Dia nampak wajah Syamila Aqilah dan Nadira berbalam-balam. Kepalanya terus terlentok atas meja dan kemudian dia tidak ingat apa-apa lagi.

Sedar-sedar dia sudah berada di dalam bilik. Mungkin Syamila Aqilah dan Nadira yang telah mengangkatnya ke situ.

'Air apa yang aku minum semalam?' Ayra memicit dahi. Dia tidak pernah minum air yang boleh memeningkan kepalanya sebelum ini.

Penjelasan Syamila Aqilah diperlukan. Dia berharap bukan air arak yang telah diminumnya. Ayra terus bangun meninggalkan katil. Dia melangkah ke bilik air. Badan segera dibersihkan. Solat Isyak dan Subuh cepat-cepat digantikannya.

Usai memberi salam, terdengar ketukan di pintu. Dengan bertelekung, Ayra melangkah ke pintu. Dia memulas tombol. Pintu dibuka.

"Mama nak jumpa."

Tiada ucapan salam atau senyuman terukir di bibir Syamila Aqilah. Setelah menyampaikan pesanan, Syamila Aqilah terus berlalu.

Ayra melipat telekung. Dia memasukkannya semula ke dalam almari. Ayra meninggalkan bilik dengan rasa curiga.

'Kenapa mama mahu jumpa aku?'

Setiap langkah penuh debaran. Dia ke ruang tamu. Datin Fadhilah tidak kelihatan di situ. Dia terus melangkah ke luar, ke tempat kegemaran Datin Fadhilah beristirehat.

Dari jauh, dia dapat melihat kerut di wajah Datin Fadhilah. Pasti ada yang tak kena. Dalam takut-takut, Ayra gagahi juga melangkah. Datin Fadhilah tidak keseorangan. Syamila Aqilah menemaninya.

"Assalamualaikum mama, Kak Sya."

Salam yang diberi tidak berjawab. Muka Datin Fadhilah dan Syamila Aqilah kelat semacam. Itu adalah petanda buruk buat Ayra.

"Apa ni? Jawab sekarang!"

Datin Fadhilah mencampak tiga keping gambar. Gambar-gambar bersaiz 4R itu berterabur atas meja. Buntang mata Ayra memandang gambar tersebut. Kelu lidahnya. Dahinya berkerut-kerut sehingga hampir mencantumkan kedua belah keningnya.

Gambar Dean sedang memeluknya! Menggeletar tangan Ayra memegang gambar tersebut. Dia dan Dean berada di dalam kereta. Melihat pakaian yang dipakainya, jelas gambar tersebut diambil semalam.

"Suami tak ada, kau keluar dengan jantan lain!" Datin Fadhilah menghambur kemarahan.

"Apa semua ni Kak Sya?" soal Ayra.

Dia memandang Syamila Aqilah, memohon penjelasan. Dia tahu Syamila Aqilah lebih tahu mengenai gambar-gambar tersebut.

"Eh, kenapa tanya Kak Sya pulak?" Syamila Aqilah mencebik.

"Kak Sya tahu apa yang berlaku semalam."

Ayra berharap agar Syamila Aqilah dapat memberi penjelasan bukan sahaja untuk Datin Fadhilah tapi untuk dirinya juga. Ayra nak sangat tahu apa yang telah berlaku semalam selepas dia tidak sedarkan diri.

"Jangan libatkan Kak Sya okey. Kak Sya tak tahu apa-apa."

"Kak Sya yang bawak Ayra ke pertunjukan fesyen semalam. Kak Sya jugak yang bawak Ayra balik."

"Eh, mana ada! Aku tak pernah bawak kau ke mana-mana."

Bagai hendak pitam Ayra mendengar kata-kata Syamila Aqilah. Bergenang air mata di kelopak matanya. Semua ini satu konspirasi. Konspirasi untuk memisahkannya dari Shahin Adiy.

"Adiy pasti kecewa kalau gambar ni sampai ke tangan dia."

"Mama memang nak gambar ni sampai ke tangan Adiy kan? Biar Adiy bencikan Ayra. Baru mama puas hati!"

"Kenapa kau nak salahkan mama pulak? Kau yang buat salah, bukan mama. Mama tak ada kena mengena. Mama dah terima Ayra sebagai menantu mama, tapi Ayra sendiri yang sia-siakan peluang yang mama bagi."

"Berterus terang saja mama. Mama sebenarnya tak pernah terima Ayra. Mama hanya berlakon depan Adiy. Ayra bukan bodoh, mama!"

"Berani kau tuduh mama! Tengking mama! Kalau Adiy tengok sikap kau sekarang ni, tentu muka kau ni dah kena tampar!"

"Ayra tak tengking mama. Ayra cuma bagi tahu kebenaran. Mama hanya berlakon baik. Kak Sya pun sama!"

"Kau jangan nak buat aku naik angin! Nama saja belajar tinggi. Tapi tak reti nak hormat orang tua!" bidas Datin Fadhilah.

"Mama tu, pandai ke nak hormat orang???"

"Berani kau cakap macam tu dengan mama! Baik kau keluar sekarang! Pergi!" Syamila Aqilah mengangkat tangannya menghala ke pintu pagar.

"Memang Ayra nak keluar dari sini. Ayra pun tak ingin tinggal di rumah ni. Seksa!"

"Pergi sekarang!"

Ayra terus mengorak langkah. Datin Fadhilah dan Syamila Aqilah berpandangan lalu mengukir senyum walaupun hati panas. Rancangan mereka berjaya. Ayra pasti tidak akan kembali lagi dalam hidup mereka. Dan mereka juga akan memastikan Ayra tidak kembali dalam hidup Shahin Adiy.

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now