"Macam mana?"
"Alhamdulillah, lulus."
"Tahniah!"
Suhaila terus memeluk Ayra.
"Hebat kau, sekali ambik saja terus lulus."
Pelukan dilepaskan. Baru hari ini Suhaila nampak senyuman manis terukir di bibir Ayra. Dia tumpang gembira atas kejayaan sahabatnya itu lulus ujian memandu. Hanya sekali ujian, Ayra terus lulus. Suhaila teringat ketika dia mengambil ujian memandu. Tiga kali baru lulus.
"Aku pun tak sangka. Masa latihan, aku selalu gagal ujian bukit. Tapi hari ni alhamdulillah, aku lepas."
"Apa lagi, esok kita pergi tengok kereta."
Ayra tertawa dengan gurauan Suhaila. Cepat saja Suhaila mengajaknya ke pusat jualan kereta.
"Lesen belum dapat lagi. Tunggu lesen siap dulu, baru kita pergi tengok. Bukan kereta, motor tau!"
Ayra sudah merancang untuk mendapatkan sebuah motosikal bagi memudahkannya ulang-alik ke sekolah. Sejak tinggal dengan Suhaila, mujurlah gadis itu bermurah hati menghantarnya ke sekolah. Tidak mahu menyusahkan Suhaila, Ayra nekad untuk mendapatkan lesen motor dan kereta sekali gus. Kesibukannya menelaah buku undang-undang jalan raya serta menghadiri amali hampir setiap petang, mampu membantunya melupakan seketika masalah yang sedang dihadapinya.
"Ambik la kereta terus."
"Tunggu dah kerja tetap, baru aku beli. Sekarang kita masih dalam latihan. Elaun setiap bulan belum cukup untuk aku bayar ansuran kereta."
Ayra juga sedang mengumpul duit untuk pulang ke kampung halaman. Dia perlukan duit yang banyak untuk pulang ke kampung. Selain tiket, Ayra juga mahu membeli hadiah buat ibu, bapak dan adik-adiknya. Dia sudah tidak sabar menanti hujung tahun.
"Eh, Adiy kan..." Suhaila menutup mulut. "Maaf."
Suhaila cepat-cepat memohon maaf. Ayra sudah memintanya agar jangan menyebut nama Shahin Adiy lagi. Ayra tidak mahu memberatkan fikirannya.
"Dimaafkan."
Ayra menguntum senyum. Suhaila menarik nafas lega walaupun dia sebenarnya tidak suka dengan cara Ayra mendiamkan diri. Dia seolah-olah membiarkan saja masa untuk menentukan segalanya.
"Jom makan, aku belanja."
"Jom. Tapi, nak makan kat mana?" Suhaila tidak menolak lagi sebaik sahaja dipelawa.
"KFC. Boleh?"
"Boleh je. Dah lama aku tak makan ayam goreng KFC."
Mereka terus berjalan menuju ke tempat parkir. Suhaila membuka pintu keretanya. Dia menghidupkan suis enjin lalu terus memandu ke Pekan Kuala Kangsar untuk menjamu selera di restoran segera KFC yang dibuka 24 jam itu.
* * *
"Tolong ambikkan aku air. Haus."
"Kau nak air apa?" soal Nadira.
"Apa-apa saja."
Shahin Adiy mengipas-ngipas badannya dengan tuala. Cuaca petang itu agak panas. Shahin Adiy tetap berlatih berjalan. Dia memilih halaman tempat dia berlatih berjalan kerana jika jatuh, dia tidaklah merasa sakit.
Sebentar kemudian, Nadira datang dengan segelas air. Setiap petang Jumaat sehinggalah hari Ahad, Nadira akan berkampung di rumahnya semata-mata untuk membantunya. Entah kenapa, langsung tidak lahir di hatinya rasa untuk menghargai segala bantuan Nadira. Mungkin kerana Nadira melakukannya bukan kerana ikhlas tetapi kerana ingin mendapatkan sesuatu yang tak mungkin Shahin Adiy dapat menyerahkannya.
"Jom masuk, panas ni."
"Kalau kau panas, kau masuklah ke dalam. Aku nak berlatih lagi."
Shahin Adiy sudah mampu berjalan, namun sedikit terhinjut-hinjut. Kaki kirinya masih lemah berbanding kaki kanan.
"Aku tak kesah. Aku dah biasa berpanas di padang sekolah."
Shahin Adiy tidak pernah memaksa Nadira untuk berkorban kerananya. Gadis itu sendiri yang rela melakukannya.
"Bila lagi kau kursus di IPG?" soal Shahin Adiy yang duduk berehat sekejap di bangku.
"Ahad depan dah kena daftar."
"Berapa lama pulak kau kursus di IPG kali ni?"
"Sebulan. Dua minggu sebelum buka sekolah baru dapat cuti. Tapi kau tak payah risau, kuliah hari Isnin sampai Jumaat saja. Petang Jumaat aku ke sini." Ujar Nadira yang sebenarnya malas hendak mengikuti kursus di IPG.
Kalau boleh, dia sentiasa mahu berada di sisi Shahin Adiy. Hati lelaki itu sudah semakin hampir untuk ditawan. Shahin Adiy tidak lagi menolak pertolongannya seperti mula-mula dulu.
"Kau tak payah susah-susah ke sini. Lebih baik kau balik kampung. Sejak aku kemalangan, aku rasa kau belum sempat balik kampung lagi, kan?"
Kelat muka Nadira bila disindir Shahin Adiy.
"Er, mama dan abah yang suruh aku ke sini. Mereka tahu, kau lebih memerlukan aku daripada mereka." Nadira berdalih.
Padahal, sudah banyak kali ibunya menghubunginya, bertanya bila dia akan balik. Mereka merinduinya kerana dia sudah lama tidak pulang ke kampung.
"Aku dah banyak kali bagitahu kau. Aku harap aku tak payah nak ulang sebut lagi."
Sudah jenuh Shahin Adiy menolak bantuan Nadira. Sudah berbuih mulutnya memaklumkan kepada Nadira yang dia tidak memerlukan khidmat tenaga empat kerat gadis itu. Tapi Nadira buat-buat pekak. Tetap nak tunjuk baik. Sudahnya, Shahin Adiy biarkan saja.
Bagi Shahin Adiy, biarlah Allah yang membalas 'jasa baik' Nadira. Dia tidak mampu membalas 'kebaikan' gadis itu.
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...