"Saya setuju. Tapi dengan satu syarat, Ayra perlu ikut saya. Saya mau dia berada di sisi saya selalu."
Ayra terkulat-kulat memandang wajah Shahin Adiy. Baru sebentar tadi lelaki itu berkeras menolak cadangan bapak supaya mereka dinikahkan malam itu juga. Tapi sekarang, Shahin Adiy tiba-tiba bersetuju pulak dengan permintaan bapak. Hairan!
"Aku ndak mau nikah lagi bapak," rayu Ayra.
Perbincangan berlaku di dalam bilik Vila Cahaya, antara Ayra, Pak Sudin, Mak Siti dan Shahin Adiy.
"Kau diam. Biar aku uruskan semua ni!"
"Tapi bapak..."
"Jangan lawan cakap bapak. Kalau kau nikah, kuranglah sikit rasa malu kami. Ingat Ayra, kau sudah conteng muka pada kami, orang tua kau sendiri. Malu kami."
Mak Siti bersuara sebak, kecewa dengan kejadian yang berlaku. Dia keluar mencari suami, anak pulak buat perangai. Berdua-duaan dengan bukan muhrim di vila. Sudah lama dia mendengar gosip orang kampung kononnya ada seorang gadis di kawasan tersebut selalu berdua-duaan dengan anak lelaki Dato' Jamil. Langsung dia tak menangkap, gadis yang dimaksudkan adalah anak sendiri.
"Tapi mak, aku ndak buat apa-apa. Si Raymond kasi tahu aku..."
"Sudahlah, jangan mereka cerita."
Pak Sudin memintas bicara Ayra. Dia mengarahkan isterinya supaya memanggil tok imam dan beberapa orang lagi ahli masjid yang terlibat dalam serbuan.
Mata Ayra bengkak kerana menangis tak berhenti sepanjang malam. Puas dia merayu agar Pak Sudin menarik balik keputusannya, namun gagal. Ayra juga merayu pada Shahin Adiy supaya menolak permintaan Pak Sudin yang mahu menyatukan mereka malam itu juga, namun Shahin Adiy tetap dengan keputusannya.
Ayra jelaskan pada Mak Siti tentang berita yang diterima daripada Raymond. Malangnya, Mak Siti menganggap dia hanya mereka cerita.
"Telinga aku ni sudah bernanah dengar tohmahan orang kampung pada kau. Dan sekarang segala umpatan mereka sudah terbukti. Orang kampung pasti bersorak-sorak sekarang. Aku malu Ayra. Aku ndak tahu mana mau letak muka aku ni. Sana sini orang bercakap pasal kau. Lebih baik kau terima saja permintaan bapak kau."
"Tapi mak... kami ndak pernah pun berdua-duaan dalam vila tu. Kami berbual-bual di luar saja."
"Luar ke dalam sama saja. Tetap berdua-duaan. Aku sangka kau buat ulangkaji dengan Syidah. Rupanya kau sedang bercinta dengan Si Adiy. Sudahlah. Jangan bantah arahan bapak kau."
Ayra langsung tidak menyedari hubungannya dengan Shahin Adiy menjadi buah mulut orang kampung. Bila Shahin Adiy berada di Kundasang, dia pasti tidak akan melepaskan peluang bertandang ke vila di kaki bukit itu. Namun, mereka tidak pernah masuk ke dalam vila berdua-duaan. Mereka hanya berbual di belakang rumah, menghadap pemandangan indah Gunung Kinabalu.
"Kau sudah malukan kami. Kau sudah tunjukkan contoh ndak baik pada adik-adik kau..."
Mak Siti mengesat air mata dengan lengan baju.
"Ada orang perangkap aku, mak."
Ayra yakin ada orang kampung yang iri hati padanya, sebab itulah mereka merancang untuk memalukannya. Tempiasnya, seluruh ahli keluarga turut menerima malu.
"Kau masih ndak mau mengaku salah ya! Orang kampung jumpa kau dengan Si Adiy di dalam vila."
"Aku ke sana sebab Si Raymond. Dia bilang bapak kena strok di vila. Aku mau semuka dengan dia."
"Aku sudah suruh Si Aydil panggil Si Raymond. Mak dia bilang sama Si Aydil, Si Raymond sudah bertolak ke KK pagi tadi. Kau mau reka cerita apa lagi sekarang?"
Ayra terdiam membisu. Raymond dah balik KK pagi tadi? Dia menarik nafas berat. Sah, ada orang yang telah memerangkap dirinya. Namun, tiada sesiapa yang percayakan dakwaannya itu. Pak Sudin dan Mak Siti turut tidak percaya dengan dakwaannya mengenai cerita Raymond. Hatinya hancur luluh.
Upacara akad nikah selesai. Jam 12.15 tengah malam, Ayra sah bergelar isteri kepada Shahin Adiy bin Jamil.
"Jam enam pagi esok kita bertolak." Pesan Shahin Adiy ketika melangkah keluar dari vila bersama ibu dan bapa mentuanya.
Majlis akad nikah berlangsung di Vila Cahaya tanpa pengetahuan orang tuanya. Shahin Adiy berhasrat untuk merahsiakan pernikahannya daripada pengetahuan orang tuanya. Mereka pasti tidak menyokong tindakannya itu tambah-tambah ibunya. Datin Fadhilah sudah ada calon pilihan untuknya.
"Aku ndak mau pergi dari sini." Ayra berkeras.
"Aku akan jemput kau pagi esok."
Shahin Adiy turut berkeras. Ayra sudah menjadi miliknya seperti mana yang diharapkan Pak Sudin dan Mak Siti. Kata-katanya harus dituruti Ayra.
Ayra masih bingung dengan sikap Shahin Adiy. Saat itu dalam fikirannya, semua yang berlaku dirancang rapi oleh Shahin Adiy. Kalau bukan dia yang merancang semua ni, pasti lelaki itu tidak akan bersetuju dengan permintaan Pak Sudin. Pasti Shahin Adiy akan berkeras menolak. Mula-mula sahaja lelaki itu menolak, tapi kemudiannya bersetuju.
'Aku benci lelaki tu.' Jerit Ayra.
"Aku ndak mau ikut kau!"
Ayra tetap dengan pendiriannya. Dia masih belum dapat menerima hakikat yang dirinya kini sudah sah bergelar isteri Shahin Adiy.
"Sudahlah. Ndak ada guna mau bertekak lagi. Segalanya sudah berlaku."
Mak Siti cuba menenangkan keadaan. Dia memimpin Ayra meninggalkan vila. Pak Sudin sudah menonong ke hadapan.
Shahin Adiy mengetap bibir. Dia menyampah dengan keluarga Pak Sudin yang mencari harta kekayaan dengan cara mudah.
'Kau tengoklah apa yang akan aku buat pada anak kau nanti!'
Please read, vote and shate. TQ
Please follow my ig : karya_zz
Please like my fb page : Karya ZZ
Terima kasih atas sokongan. Nantikan novel Kalung edisi terbaru!
YOU ARE READING
Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)
RomanceAyra dihantui mesej misteri dari seseorang yang tak dikenali. Namun pengirim mesej tahu kisah silamnya. Kisah silam yang ingin dilupakan Ayra sehingga membawa dia merantau dari Sabah ke Semananjung, dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Adiy ya...