Part 62

811 24 0
                                    

Ayra berharap agar Syafiqah terus pergi ke rumah saudaranya. Jangan singgah di rumah. Ayra tak sanggup tengok Syafiqah 'diterkam' Nadira. Syafiqah tak tahu apa-apa. Kasihan dia. Esok barulah segalanya akan selesai. Nadira tidak akan mengesyaki Syafiqah lagi. Berkemungkinan besar, Nadira akan memusuhinya selamanya. Ayra harus bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Ayra sekejap-sekejap menghala pandangannya ke luar. Berdebar dadanya menanti kepulangan Syafiqah.

Nadira sedang lepak di ruang tamu sambil menonton televisyen. Api kemarahan yang sedang membakar hebat di dalam dirinya terpancar pada raut wajah. Menunggu masa sahaja untuk meletus. Dan masanya akan tiba sebaik sahaja Syafiqah melangkah masuk. Sekejap-sekejap Nadira menoleh ke jam dinding.

Ayra ke dapur. Dia menuang jus epal ke dalam gelas.

"Minum."

Ayra hulurkan segelas jus epal pada Nadira. Mungkin jus epal tersebut dapat menyejukkan hati Nadira. Bibirnya sejak tadi tak habis-habis mengutuk Syafiqah.

"Terima kasih."

Nadira menghirup seteguk air dan kemudian meletakkannya atas meja. Jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Kebiasaannya, inilah waktu Syafiqah tiba di rumah.

"Makan kerepek pisang ni."

Ayra menghulurkan kerepek pisang yang baru dibuka. Kerepek pisang itu dibeli daripada salah seorang muridnya. Nadira menggeleng.

"Makanlah. Kau belum makan lagi sejak balik sekolah tadi."

"Tak ada selera."

Sejak putus cinta, selera makannya terus hilang. Fikirannya jadi tak tenang. Semangatnya juga hilang. Kekecewaan di hati amat memedihkan. Hanya Shahin Adiy yang dapat mengubati kekecewaan itu. Nadira rindukan Shahin Adiy. Sudah lama mereka tidak bersua muka. Shahin Adiy cuba menjauhkan diri darinya.

"Kau tak perasan ke dengan Iqa? Dia tu macam membela saja."

"Entah, aku tak perasan pulak. Lagipun aku tak tahu orang yang membela ni macam mana. Sekadar tengok di tv saja. Tu pun biasanya orang-orang tua saja yang membela, warisan nenek moyang. Orang muda, aku tak tahu pulak."

"Orang muda pun ada jugak la Ayra. Macam Iqa tu la. Setiap malam Jumaat, mesti bau kemenyan dari bilik dia. Kau tak bau ke?"

Ayra geleng kepala. Sukar untuk mempercayai dakwaan Nadira.

Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu pagar dibuka. Serentak Ayra dan Nadira menoleh ke luar. Syafiqah sedang membuka pintu pagar.

"Balik jugak akhirnya. Siap dia!"

"Bertenang dulu. Apa kata kau siasat dulu. Mungkin kau salah sangka."

Ayra cuba melengahkan masa. Dia tak sanggup menyaksikan pertempuran besar di dalam rumah sewa. Lagipun, Syafiqah tak tahu apa-apa.

"Nak siasat apa lagi Ayra. Dah terang lagi bersuluh Iqa rampas tunang aku. Kau tak berada di tempat aku sekarang. Kalau kau berada di tempat aku, baru kau akan faham. Kau pun mesti akan buat apa yang aku akan buat. Takkan kita nak lepaskan lelaki yang kita sayang macam tu saja? Perampas pulak gadis yang macam Iqa. Meranalah hidup Shahin Adiy nanti bila tahu siapa kekasihnya yang sebenar. Hantu jembalang!!!"

Syafiqah melangkah masuk. Dia memberi salam. Senyuman terukir di wajahnya yang lesu.

"Aku nak cakap dengan kau sikit."

Syafiqah meletakkan kasut di atas rak lalu melabuhkan punggung berhadapan dengan Nadira.

"Ada apa Kak Dira?" soal Syafiqah.

"Kenapa kau sanggup rampas Adiy dari aku? Kau pun tahu kan, Adiy tu boyfriend aku. Kami dah nak kawin hujung tahun ni. Tapi kenapa kau sanggup halang kebahagiaan aku???"

"Rampas Abang Adiy? Iqa tak faham." Dahi Syafiqah berkerut seribu.

"Kau jangan buat-buat tak faham la. Aku tahu sekarang ni kau bercinta dengan Adiy. Mengaku sajalah!"

"Ya Allah. Kenapa Kak Dira cakap macam tu? Iqa tak ada apa-apa dengan Abang Adiy."

"Cukuplah dengan lakonan kau tu Iqa. Aku tahu kau rampas Adiy bukan dengan cara baik. Kau rampas dia dengan cara halus! Kalau bukan dengan pertolongan kawan jin kau tu, kau tak akan dapat Shahin Adiy!" Nadira sengaja menekan perkataan jin.

Raut wajah Syafiqah berubah. Air mata bergenang di kelopak matanya. Dia terus bangun lalu melarikan diri ke dalam bilik.

"Menangis pulak! Aku ni yang sepatutnya menangis, bukan dia!"

Nadira terus membebel, masih tidak puas hati.

* * *

Syafiqah dan Nadira sudah lena dibuai mimpi dalam bilik masing-masing. Ayra masih lagi di ruang tamu. Drama Melayu sedang bersiaran. Jam sudah melepasi angka satu pagi. Matanya masih belum mengantuk. Esok, dia kena bangun awal. Dia dah cuba paksa diri tidur, tapi gagal.

Apa yang telah berlaku petang tadi mengganggu fikirannya. Begitu juga dengan apa yang bakal terjadi esok. Petang tadi, Syafiqah jadi mangsa. Dirinya yang bersalah tapi Syafiqah pulak yang dituduh macam-macam.

'Berdosanya aku kerana membiarkan Dira mengutuk dan menghentam Iqa. Esok, entah apa pulak yang akan berlaku bila Dira dah tahu akulah yang menjadi punca pertunangannya dengan Shahin Adiy putus.'

Bunyi paip dari bilik mandi mematikan lamunannya. Darahnya tersirap. Sebentar kemudian Syafiqah keluar dari bilik air. Dia terus masuk ke dalam biliknya yang berhadapan dengan bilik air.

Ayra mengurut dada. Tak perasan pulak bila Syafiqah keluar dari bilik. Bulu romanya terus meremang. Cepat-cepat dia tutup suis televisyen dan kipas bila teringat cerita yang dibawa Nadira. 

Mak Datin, Isteri Cikgu (Tajuk Asal : Sebalik Senyuman)Where stories live. Discover now